20 November 2010

HARIAN METRO 19 NOV 2010: DIDIK MURID CINTAI ALAM SEMULA JADI


Headline: Didik murid cintai alam semula jadi
Publication: HM
Date of publication: Nov 19, 2010
Section heading: Main Section
Page number: 002


LEDANG: Penyertaan 12 murid dari Indonesia dalam Program Pengantarabangsaan Perkhemahan Alam Semulajadi peringkat negeri memberikan pengalaman bermakna kepada duta kecil itu.

Program anjuran Jabatan Pelajaran Johor selama empat hari di Pusat Kokurikulum Johor Cawangan Ledang dekat Tangkak, baru-baru ini turut disertai 95 murid sekolah seluruh Johor.

Perkhemahan itu bermatlamat memberi pendedahan kepada murid mengenai sejarah serta kepentingan menjaga dan menghayati alam semula jadi selain menjalin hubungan dan berinteraksi dengan murid luar negara yang menyertainya.

Murid dari Bengkalis, Riau, Ryan Ferdy Maulana Yahya Gulika, 9, menyifatkan perkhemahan itu sangat menarik kerana ia memberikan pengalaman berguna apabila dapat bergaul dan berinteraksi dengan murid di negara ini.

Katanya, program penghayatan malam yang disertainya memberi kesan mendalam kerana ia sangat menakutkan apabila berjalan dalam suasana gelap dan mendengar pelbagai bunyi menyeramkan.

"Program ini bagus, sekiranya diberi peluang saya ingin datang lagi menyertai perkhemahan seperti ini kerana dapat bertemu dengan rakan baru di Malaysia," katanya.

Rara Aleva Vabian, 11, pula berasa seronok diberi peluang menyertai perkhemahan itu yang banyak memberi pengalaman melalui pelbagai aktiviti disediakan.

Murid dari Tembilahan Indragiri Hilir, Riau, itu berkata, di tempatnya tiada perkhemahan atau program sedemikian dan peluang menyertainya menjadi pengalaman yang cukup berharga.

Murid Tahun 6 Sekolah Kebangsaan Parit Kasan, Muhammad Ammar Ali, berkata program perkhemahan itu sangat menyeronokkan apabila dia dapat menambah rakan baru dari Indonesia di samping dapat mempelajari budaya mereka.

Sepanjang perkhemahan itu, katanya, peserta menyertai pelbagai aktiviti seperti ikhtiar hidup, kawad kaki, kembara berbasikal, debat, penghayatan malam dan persembahan malam kebudayaan.

"Selain memupuk rasa cinta dan menghargai alam semula jadi, peserta perkhemahan dapat menyemai dan mengamalkan sikap kerjasama serta permuafakatan dalam suasana perpaduan yang terjalin erat antara kaum," katanya.

Guru pengiring murid Indonesia, Zulkifal berkata, program perkhemahan alam semulajadi itu sesuatu yang menyeronokkan dan ia sumbangan besar kepada dunia pendidikan dua negara.

Katanya, beliau akan mengaplikasikan pengalaman yang diperoleh sepanjang program perkhemahan itu untuk dilaksanakan kepada murid di negaranya dan berharap kerjasama itu berterusan pada masa akan datang.

19 November 2010

HARIAN METRO 19 NOV 2010: 31 LEMBU DISEMBELIH


Headline: 31 lembu disembelih
Publication: HM
Date of publication: Nov 19, 2010
Section heading: Main Section
Page number: 028
Byline / Author: Oleh Hai Rozzaman Jalal


LEDANG: Sebanyak 31 lembu disembelih dalam program korban Umno Bahagian Ledang dan dagingnya diagihkan kepada golongan fakir miskin di setiap cawangan dalam usaha meneruskan tradisi tahunannya sempena Aidiladha.

Program Korban Perdana 2010 anjuran Biro Kebajikan Umno Bahagian Ledang itu diadakan di Masjid Jamek Kampung Parit Pulai di mana Umno Cawangan Parit Pulai sebagai tuan rumah.

Pengerusi Biro Kebajikan, Abdul Rahim Talib berkata, program Korban Perdana itu disempurnakan perasmiannya oleh Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman selaku Ketua Bahagian.

Katanya, 25 lembu disembelih dan dilapah di kawasan masjid kampung itu oleh jawatankuasa biro dengan dibantu penduduk Kampung Parit Pulai serta cawangan berhampiran.

"Enam lembu dihantar ke beberapa lokasi lain antaranya Tanjung Agas, Sungai Mati, Masjid Jamek Bandar Tangkak dan Ibu Pejabat Polis Daerah Ledang untuk dilaksanakan ibadat korban di kawasan itu.

"Daging korban yang telah siap dibungkus diagihkan kepada penerima dari kalangan golongan fakir miskin di 138 cawangan di Ledang manakala 35 penerima pula di kalangan keluarga kurang berkemampuan di Kampung Parit Pulai dan sekitarnya," katanya pada program itu.

Hadir sama Ahli Parlimen Ledang, Hamim Samuri; Pegawai Daerah Ledang, Amran Abd Rahman; Ahli Dewan Negara, Senator Ahamat Yusop dan Ketua Kampung Parit Pulai, Mohd Som Leman.

Abdull Rahim berkata, dengan keadaan ekonomi yang stabil di mana harga komoditi getah dan kelapa sawit pada paras amat baik, lebih ramai penduduk kampung dapat melaksanakan ibadat korban tahun ini.

Katanya, Umno Bahagian Ledang berterima kasih kepada individu dan korporat yang turut sama melakukan ibadat korban secara berkelompok itu dan berharap bilangannya akan bertambah pada masa akan datang.

10 November 2010

BERITA HARIAN 09 NOV 2010: RAKYAT JANGAN TERJEBAK USAHA ROSAKKAN PERPADUAN


Headline: Rakyat jangan terjebak usaha rosakkan perpaduan
Publication: BH
Date of publication: Nov 9, 2010
Section heading: Sentral
Page number: 008

LEDANG: Masyarakat di negeri ini perlu berwaspada dan tidak terpengaruh dengan cubaan sesetengah pihak yang ingin berkuasa dengan cara memecahbelahkan perpaduan sedia ada.

Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman, berkata masyarakat perlu memelihara dan memperkukuhkan perpaduan di samping meneruskan suasana hidup aman yang dipupuk sejak 53 tahun lalu.

Katanya, usaha pihak tertentu untuk memecah-belahkan perpaduan di kalangan masyarakat berbilang kaum di negeri ini semata-mata ingin mencapai apa yang diimpikan tidak akan berjaya, jika masyarakat bersatu padu.

"Kita perlu pelihara perpaduan dan serentak dengan itu jangan terpengaruh dengan pihak yang hendak merubah negeri ini dengan cara memecah-belahkan masyarakat.

"Dalam suasana muhibah dan perpaduan yang kuat, jangan cuba terjebak dengan cubaan sesetengah pihak ingin menguasai negeri ini dengan cara yang tidak sihat bagi merealisasikan impian mereka," katanya berucap merasmikan Majlis Penyampaian Bungkusan Kepada Keluarga Miskin Sempena Perayaan Deepavali Peringkat Daerah Ledang di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim, Tangkak, di sini baru-baru ini.

Majlis anjuran Badan Amal Tenaga Isteri Wakil-wakil Rakyat Johor (JUITA) itu turut dihadiri Yang Dipertuanya, Datin Paduka Prof Dr Jamilah Jamilah Ariffin; Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Sumber Manusia, Sains, Teknologi dan Inovasi Johor, M Asojan; Ketua Perhubungan MIC Johor, Datuk K S Balakrishnan; Ahli Parlimen Ledang, Hamim Samuri dan Pegawai Daerah Ledang, Amran Abdul Rahman.

Abdul Ghani berkata, perpaduan yang erat antara kaum di negeri ini membolehkan semua masyarakat dapat bersama meraikan perayaan yang disambut sepanjang tahun.

Katanya, rakyat Johor seharusnya menghargai cara hidup harmoni yang diamalkan setiap kaum kerana mereka dapat menikmati kesejahteraan dan dapat meraikan perayaan seperti Deepavali dengan lebih ceria.

05 November 2010

BERITA HARIAN 04 NOV 2010: KESAN KELUARGA BERGAJI BAWAH RM2,000


Headline: Kesan keluarga bergaji bawah RM2,000
Publication: BH
Date of publication: Nov 4, 2010
Section heading: Sentral
Page number: 006

LEDANG: Kerajaan Johor akan memulakan pendekatan mengesan keluarga yang berpendapatan bulanan kurang RM2,000 mulai tahun depan bagi membolehkan anak mereka diberi bantuan memasuki pusat latihan kemahiran.

Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman, berkata kerajaan negeri berharap langkah itu sekurang-kurangnya membolehkan anak daripada keluarga berpendapatan rendah ini mendapat bantuan kerajaan negeri mendapatkan latihan kemahiran di peringkat sijil dan diploma dalam tempoh dua hingga empat tahun akan datang.

"Kita akan memilih anak yang mempunyai kelulusan di peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) untuk diberi latihan kemahiran dan kita perlu membantu keluarga berpendapatan rendah ini tidak kira di mana mereka tinggal," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Penyampaian Bungkusan Kepada Keluarga Miskin Sempena Perayaan Deepavali Peringkat Daerah Ledang anjuran Badan Amal Tenaga Isteri Wakil-wakil Rakyat Negeri Johor (JUITA) di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim, Tangkak.

Abdul Ghani berkata, dengan pendekatan itu, golo ngan berpendapatan rendah akan mempunyai anak atau ahli keluarga yang terlatih untuk mendapatkan tempat dan peluang pekerjaan yang dapat mempertingkatkan ekonomi keluarga.

Katanya, kemahiran diperlukan untuk mendapatkan pekerjaan yang disediakan dan beliau percaya melalui program itu sebanyak 30 peratus rakyat Johor mempunyai pendapatan bulanan di bawah RM3,000.

04 November 2010

HARIAN METRO 03 NOV 2010: PASTIKAN ANAK MISKIN IKUTI LATIHAN KEMAHIRAN


Headline: Pastikan anak miskin ikuti latihan kemahiran
Publication: HM
Date of publication: Nov 3, 2010
Section heading: Main Section
Page number: 002

LEDANG: Anak keluarga berpendapatan bulanan di bawah RM2,000 di negeri ini akan ditawarkan memasuki pusat latihan kemahiran bermula tahun depan.

Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman berkata, bagi memastikan objektif berkenaan tercapai, kerajaan negeri melalui pelbagai agensinya akan mengesan keluarga yang berpendapatan sedemikian.

"Harapan kita, sekurang-kurangnya dalam tempoh dua hingga empat tahun akan datang, anak keluarga berpendapatan rendah ini bakal menerima bantuan daripada kerajaan negeri untuk mendapatkan latihan kemahiran di peringkat sijil dan diploma.

"Pemilihan pula membabitkan anak berkelulusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan kerajaan negeri melakukannya sebagai satu daripada kaedah membantu meningkatkan ekonomi setiap keluarga tanpa mengira kaum," katanya.

HARIAN METRO 03 NOV 2010: RAKYAT JOHOR DISARAN HARGAI CARA HIDUP HARMONI


Headline: Rakyat Johor disaran hargai cara hidup harmoni
Publication: HM
Date of publication: Nov 3, 2010
Section heading: Main Section
Page number: 030

LEDANG: Rakyat di negeri ini perlu berwaspada dan tidak terpengaruh dengan cubaan segelintir pihak yang ingin berkuasa dengan cara memecahbelahkan perpaduan sedia terjalin.

Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman berkata, rakyat perlu memelihara dan memperkukuhkan perpaduan di samping meneruskan suasana hidup aman yang dipupuk sejak 53 tahun lalu.

"Usaha pihak tertentu untuk memecahbelahkan perpaduan di kalangan rakyat berbilang kaum di negeri ini semata-mata bagi mencapai apa yang diimpikan tidak akan berjaya sekiranya masyarakat bersatu padu.

"Kita perlu pelihara perpaduan dan jangan terpengaruh dengan pihak yang hendak mengubah negeri ini dengan cara memecahbelahkan masyarakat serta suasana muhibah sedia terjalin," katanya di sini, baru-baru ini.

Beliau ditemui pada majlis Penyampaian Bungkusan Kepada Keluarga Miskin Sempena Perayaan Deepavali Peringkat Daerah Ledang, di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim, Tangkak.

Turut hadir Pengerusi Jawatan kuasa Perpaduan, Sumber Manusia, Sains, Teknologi dan Inovasi Johor, M Asojan; Ketua Perhubungan MIC Johor, Datuk K S Balakrishnan; Ahli Parlimen Ledang, Hamim Samuri dan Pegawai Daerah Ledang, Amran Abdul Rahman.

Menurut Abdul Ghani, perpaduan erat di negeri ini membolehkan semua lapisan masyarakat dapat bersama meraikan perayaan pelbagai kaum yang disambut sepanjang tahun.

"Rakyat Johor seharusnya menghargai cara hidup harmoni yang diamalkan membabitkan pelbagai kaum dan kerana itulah, kita dapat merayakan pelbagai perayaan seperti Deepavali dengan lebih ceria.

"Saya berharap perayaan Deepavali dapat dijadikan landasan untuk menerapkan semangat hormat menghormati di semua peringkat lapisan masyarakat tanpa mengira kaum," katanya.

HARIAN METRO 03 NOV 2010: JUITA PELAWA IBU TUNGGAL IKUTI KURSUS


Headline: Juita pelawa ibu tunggal ikuti kursus
Publication: HM
Date of publication: Nov 3, 2010
Section heading: Main Section
Page number: 030

LEDANG: Badan Amal Tenaga Isteri Wakil-wakil Rakyat Negeri Johor (Juita) mempelawa ibu tunggal di negeri ini mengikuti kursus anjurannya bagi mempertingkatkan kemahiran untuk meningkatkan ekonomi diri serta keluarga.

Yang Dipertuanya, Datin Paduka Prof Dr Jamilah Ariffin berkata, melalui program Juitaku Sayang, ibu tunggal yang tidak mempunyai punca pendapatan tetap akan diberi kursus kemahiran dengan kerjasama Yayasan Pembangunan Keluarga Negeri Johor bagi membolehkan mereka berdikari.

"Juita menganjurkan kursus kemahiran dan latihan untuk ibu tunggal sejak 2003 membabitkan bidang jahitan, penyediaan makanan dan minuman, penjagaan bayi serta urutan refleksologi.

"Dengan kemahiran itu, ibu tunggal boleh mengembangkannya untuk menjana pendapatan keluarga serta membolehkan mereka keluar daripada kelompok kemiskinan," katanya.

Beliau ditemui pada majlis Penyampaian Bungkusan Kepada Keluarga Miskin Sempena Perayaan Deepavali Peringkat Daerah Ledang, di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim, Tangkak, baru-baru ini.

Majlis dirasmikan Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman dan dihadiri Pengerusi Jawatan kuasa Perpaduan, Sumber Manusia, Sains, Teknologi dan Inovasi Johor, M Asojan; Ketua Perhubungan MIC Johor, Datuk K S Balakrishnan; Ahli Parlimen Ledang, Hamim Samuri dan Pegawai Daerah Ledang, Amran Abdul Rahman.

Jamilah berkata, pendekatan itu turut diberikan kepada anak ibu tunggal yang memerlukan kemahiran bagi membantu keluarga mereka menambah pendapatan selain untuk diri sendiri.

Sementara itu, seramai 100 keluarga miskin dan kurang upaya menerima sumbangan duit raya berjumlah RM200 serta barangan keperluan harian juga pakaian daripada Juita.

Ia membabitkan 70 keluarga miskin di kalangan kaum India serta 30 lagi membabitkan kaum Melayu, Cina serta Orang Asli.