31 Julai 2012

HARIAN METRO 31 JULAI 2012: BUKTI KERAJAAN BAWA KEJAYAAN

Headline: Bukti kerajaan bawa kejayaan
Publication: HM
Date of publication: Jul 31, 2012
Section heading: Main Section
Page number: 031
LEDANG: Masyarakat Cina di negara ini diminta terus memberikan sokongan padu kepada kerajaan sedia ada bagi memastikan perpaduan dan keamanan dinikmati sekarang berkekalan sekali gus menjamin masa depan mereka ke arah lebih baik.

Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman berkata, masyarakat Cina perlu memilih dan mengekalkan kerajaan sedia ada yang dapat menjaga masa depan semua kaum dan agama di negara ini.

Beliau berkata, kejayaan kerajaan membawa pembangunan dan keamanan negara sejak 55 tahun lalu terbukti apabila semua kaum dapat menikmatinya termasuk dalam bidang pendidikan.

Menurutnya, rakyat negara ini boleh menempa kejayaan dalam pelbagai bidang kerana kerajaan membuka seluas-luasnya peluang mendapatkan ilmu di peringkat awal persekolahan hingga ke institusi pengajian tinggi.

"Hanya pelajaran mampu menjadikan seseorang itu insan berjaya. Walaupun ibu bapa hanya bekerja kebun, tetapi anak-anak yang berjaya dalam pelajaran mampu mengubah kehidupan keluarga apabila mempunyai pekerjaan yang baik.

"Kerajaan sentiasa menyediakan kemudahan untuk rakyat mendapatkan pendidikan dengan membina dan menaik taraf bangunan sekolah bagi memberi keselesaan pelajar mengikuti proses pembelajaran," katanya pada majlis perasmian Program Mahasiswa Universiti Putra Malaysia (UPM) Bersama Komuniti Cina Serom di Dewan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Chung Hwa, Serom 3, di sini, baru-baru ini.

Hadir sama Ahli Parlimen Ledang, Hamim Samuri; Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tangkak, Goh Tee Tee; Pegawai Daerah Ledang, Ab Han Ramin dan Pengerusi Lembaga Pengarah SJKC Chung Hwa, Tan Teng Hao.

Pada majlis itu, Abdul Ghani meluluskan peruntukan sebanyak RM400,000 bagi membina bangunan baru tiga tingkat menggantikan bangunan lama yang diperbuat daripada papan.

Sementara itu, Tan berkata, wujud kesedaran dalam kalangan kaum Cina mengenai pentingnya pendidikan dalam kehidupan dan dapat menjamin masa depan anak-anak.

Beliau berkata, pendidikan menjadi aset penting untuk anak-anak bagi menjalani kehidupan yang lebih baik apabila berjaya hingga ke peringkat tertinggi.

Menurutnya, pengurusan sekolah berterima kasih kepada kerajaan terutama Menteri Besar yang meluluskan peruntukan bagi membina bangunan baru tiga tingkat membabitkan 15 kelas untuk kegunaan masyarakat Cina Serom.

26 Julai 2012

HARIAN METRO, 26 JULAI 2012: 16 TADIKA SERTAI SUKAN TAJ DAERAH LEDANG 2012

Headline: 16 tadika sertai sukan TAJ daerah Ledang 2012
Publication: HM
Date of publication: Jul 26, 2012
Section heading: Main Section
Page number: 046


LEDANG: Seramai 208 kanak-kanak dari 16 tadika mengambil bahagian dalam sukan Tadika Agama Johor (TAJ) Daerah Ledang 2012 kali keempat di Padang Awam Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) Sri Ledang, Bukit Serampang, baru-baru ini.

Setiap pasukan menyertai lima acara iaitu larian baton 50 meter, susun nombor, bawa bola ping pong dalam sudu, bomba kampung dan baling bola.

Pegawai Pendidikan Agama Daerah Ledang, Khalid Ithnin berkata, sukan amat penting bagi memberi pendedahan dan pengalaman kepada kanak-kanak TAJ.

"Kanak-kanak bukan hanya perlu mendapat pendidikan akademik, tetapi juga memerlukan pembangunan mental melalui sukan.

"Peserta bukan saja bersaing di peringkat daerah, malah ke peringkat negeri pada tahun depan," katanya.

Program itu dirasmikan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Serampang, Datuk Tahir Md Taat.

Turut hadir, Penyelia TAJ Johor, Zamri Wagiran; Pengurus Felda Sri Ledang, Md Nasir Md Shah; Ketua Kampung Felda Sri Ledang, Abd Mutalib Md Diah; dan Pengerusi Badan Kebajikan Sekolah Agama Felda Sri Ledang, Ahmad Malan.

Khalid berkata, pertandingan itu bukan hanya tertumpu kepada murid TAJ, tetapi turut membabitkan ibu bapa yang menyertai beberapa kategori disediakan.

Dalam pertandingan itu, TAJ Sekolah Agama (SA), Bukit Gambir muncul juara keseluruhan dan naib johan disandang TAJ SA Lughatil Arabiah, Tangkak, manakala TAJ SA Simpang 5, Pekan menduduki tempat ketiga.

25 Julai 2012

HARIAN METRO, 25 JULAI 2012: NASI AYAM PASAR TANI RAMADAN BUKIT GAMBIR


HARIAN METRO, 25 JULAI 2012: RELA BANTU POLIS TANGANI JENAYAH

Headline: Rela bantu polis tangani jenayah
Publication: HM
Date of publication: Jul 25, 2012
Section heading: Main Section
Page number: 037

LEDANG: Seramai 498 anggota Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (Rela) Mukim Bukit Gambir, di sini, terbabit dalam Program Rondaan Malam bagi membantu polis menangani dan mencegah jenayah.

Pegawai Rela Daerah Ledang, Mohd Al-Rashidy Amran berkata, program itu akan diperluaskan di seluruh daerah berkenaan dalam tempoh terdekat.

"Ia program yang mampu memberi manfaat kepada orang ramai. Kami harap kerjasama dengan polis ini dapat dikukuhkan lagi melalui program lain yang akan dirancang.

"Pada masa sama, program ini juga membantu mengurangkan indeks jenayah," katanya pada pelancaran Program Rondaan Malam dan taklimat keselamatan di Pusat Operasi Rela Mukim Bukit Gambir, semalam.

Pelancaran dilakukan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Gambir, M Asojan, manakala taklimat keselamatan disampaikan Ketua Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ledang, Asisten Superintendan Azmi Ali.

Turut hadir Ketua Perhubungan Rela Mukim Bukit Gambir, Mohd Yasir Mohed dan penolongnya, Lim Kim Yeow.

Pada masa sama, Al-Rashidy turut berharap lebih ramai anggota masyarakat menyertai Rela.

"Anggota Rela dibayar elaun dan dilindungi insurans ketika bertugas," katanya.

Sementara itu, Asojan berkata, setiap anggota Rela perlu mempunyai jati diri dan disiplin tinggi kerana ia mencerminkan semangat serta sikap sebenar mereka dalam pasukan.

HARIAN METRO, 25 JULAI 2012: TERAP AMALAN BERPANDU AGAMA

Headline: Terap amalan berpandu agama
Publication: HM
Date of publication: Jul 25, 2012
Section heading: Main Section
Page number: 037
Byline / Author: Oleh Hai Rozzaman Jalal

LEDANG: Lima bayi menyertai majlis bercukur pada program Pengamalan Modul Keluarga Sakinah anjuran Yayasan Pembangunan Keluarga Darul Takzim (YPKDT) Daerah Ledang di Surau Al-Redha, Kampung Parit Jarum Darat, Bukit Gambir di sini, kelmarin.

Program anjuran bersama Jawatankuasa Surau Al-Redha dan Umno Cawangan Parit Jarum Darat itu dimulakan dengan perarakan peserta sambil selawat menuju ke surau berkenaan.

Majlis bercukur mengikut modul Keluarga Sakinah itu dilaksanakan Penggerak Keluarga Sakinah Dewan Undangan Negeri (DUN) Gambir, Mohamad Amin Apah.

Mengikut modul itu, rambut bayi yang dicukur ditimbang dan dinilai dengan harga pasaran emas semasa sebelum wangnya disedekahkan kepada golongan miskin.

Pengerusi Surau Al-Redha, Saad Adnan berkata, selain mencukur rambut bayi, majlis akikah turut diadakan selain penyerahan taklif ibu bapa kepada 23 remaja yang sudah akil baligh.

"Melalui pendekatan mengikut modul Keluarga Sakinah, masyarakat Islam dapat mengetahui dengan lebih mendalam berkaitan amalan yang betul berpandukan agama bukan mengikut adat yang dilakukan masyarakat terdahulu.

"Masyarakat kampung dapat memahami modul sebenar berkaitan kaedah mencukur rambut bayi di mana sebelum ini mereka mengamalkan adat potong jambul yang bercampur dengan budaya agama lain.

"Amalan mencukur rambut pada hari ketujuh selepas kelahiran sebagaimana terkandung dalam Modul Keluarga Sakinah mempunyai hikmah dari segi kesihatan dan kemasyarakatan," katanya.

Program itu dirasmikan Pegawai Daerah Ledang, Ab Han Ramin dan turut dihadiri Pegawai Tadbir YPKDT Ledang, Aisyah 'Izzaty Mohd Isnin serta Ketua Kampung Parit Haji Idris, Ismail Sitam.

Ab Han dalam ucapannya berkata, Modul Keluarga Sakinah banyak memberi kefahaman kepada masyarakat.

"Modul itu cukup lengkap sebagai panduan umat Islam khasnya ibu bapa dalam membuat persediaan bermula daripada kelahiran bayi, alam kanak-kanak hinggalah ke alam remaja.

"Corak didikan yang betul berteraskan agama perlu diterapkan terhadap anak sejak awal lagi dan Modul Keluarga Sakinah mampu mendidik mereka menjadi generasi pelapis yang berilmu," katanya.