30 Oktober 2012

HARIAN METRO, 30 OKTOBER 2012: SME BANK SUMBANG WANG ZAKAT RM25,000

Headline: SME Bank sumbang wang zakat RM25,000
Publication: HM
Date of publication: Oct 30, 2012
Section heading: Main Section
Page number: 030



LEDANG: Empat Jawatan Kuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dan sebuah surau di Tangkak menerima sumbangan wang zakat berjumlah RM25,000 daripada SME Bank sebagai tanggungjawab sosial korporat (CSR) institusi kewangan itu, pada Aidiladha lalu.

Sumbangan wang zakat masing-masing berjumlah RM5,000 itu diterima JKKK Sialang, Tanjung Labuh, Seri Maamor, Padang Lerek 1 dan 2 dan Surau Anjung Batu, untuk diagihkan kepada golongan asnaf di kampung berkenaan.

Pengarah Pusat Pembangunan Usahawan SME Bank, Dr Sheikh Ghazali Sheikh Abod berkata, selain sumbangan itu, tujuh lembu turut disumbangkan kepada penduduk kampung untuk majlis korban dan dagingnya diagihkan kepada golongan memerlukan.

"Program julung kali ini memberi peluang kepada kami untuk turun padang bagi bertemu dan beramah mesra bersama penduduk kampung.

"Keuntungan yang diraih SME Bank wajib dikongsi bersama masyarakat dan kami menyalurkannya melalui pengeluaran zakat untuk diagihkan kepada lapan asnaf yang berhak menerimanya," katanya pada majlis Korban Perdana dan Sumbangan Wang Zakat 2012 anjuran Umno Bahagian Ledang dan SME Bank di Kampung Sialang, Tangkak, baru-baru ini.

Program berkenaan dirasmikan Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman dan dihadiri Ahli Parlimen Ledang, Hamim Samuri; Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tangkak, Goh Tee Tee; Pegawai Daerah Ledang, Ab Han Ramin; dan Ketua Kampung Sialang, Mohd Yusof Ahmad.

Sheikh Ghazali berkata, SME Bank akan terus menjalankan aktiviti berbentuk kemasyarakatan.

29 Oktober 2012

HARIAN METRO, 29 OKTOBER 2012: 48 LEMBU DIKORBAN

Headline: 48 lembu dikorban
Publication: HM
Date of publication: Oct 29, 2012
Section heading: Main Section
Page number: 022

LEDANG: Sebanyak 48 lembu dikorbankan pada majlis Korban Perdana dan Sumbangan Wang Zakat 2012 anjuran Umno Bahagian Ledang dan SME Bank di Kampung Sialang, Tangkak, semalam.

Program tahunan anjuran Biro Kebajikan Umno Bahagian Ledang itu disertai penduduk Kampung Sialang dan kampung berhampiran yang bergotong-royong melapah dan mengagihkan daging.

Pengerusi penganjur, Datuk Abdul Rahim Talib berkata, 31 daripada 48 lembu disembelih pada program berkenaan manakala selebihnya diagihkan kepada pengurusan masjid, surau dan jabatan kerajaan di Parlimen Ledang.

Katanya, tahun ini pihaknya menerima sumbangan lembu untuk program korban daripada syarikat korporat dan individu di mana daging berkenaan diagihkan kepada golongan fakir miskin dan kurang berkemampuan.

"Kami berterima kasih kepada pihak yang memberi sumbangan lembu untuk program korban perdana ini dan berharap jumlah lembu dikorbankan tahun depan akan bertambah sebagai tanda syukur atas nikmat dan rezeki dikurniakan Allah," katanya pada majlis berkenaan.

Program dirasmikan Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman dihadiri Ahli Parlimen Ledang, Hamim Samuri; Pengarah Pusat Pembangunan Usahawan SME Bank, Dr Sheikh Ghazali Sheikh Abod; Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tangkak, Goh Tee Tee; Pegawai Daerah Ledang, Ab Han Ramin dan Ketua Kampung Sialang, Mohd Yusof Ahmad.

Abdul Rahim berkata, SME Bank menyumbangkan tujuh ekor lembu untuk dikorbankan di Masjid Kampung Sialang, selain menyerahkan wang zakat berjumlah RM25,000 kepada lima kampung sekitar.

Katanya, daging korban itu diagihkan kepada penerima di kampung berhampiran menerusi ketua kampung atau ketua cawangan.

27 Oktober 2012

BH 27 OKTOBER 2012: BOLA LENSA MSSD LEDANG


HARIAN METRO, 27 OKTOBER 2012: 28 PESERTA J-QAF KHATAM


Headline: 28 peserta J-QAF khatam
Publication: HM
Date of publication: Oct 27, 2012
Section heading: Main Section
Page number: 046
LEDANG: Seramai 28 murid tahun enam Sekolah Kebangsaan (SK) Simpang 5 Darat yang mengikuti program J-QAF sejak 2007 berjaya khatam membaca al-Quran dan menerima sijil masing-masing, kelmarin.

Penyelia Pendidikan Islam, Pejabat Pelajaran Daerah Muar/Ledang, Hussin Yusof berkata, program J-QAF diperkenalkan pada 2005 oleh Kementerian Pelajaran bertujuan melatih dan memperkenalkan pelajaran Jawi, al-Quran, Arab dan fardu ain kepada murid tahun satu hingga enam.

Katanya, melalui program itu, murid diharap dapat menguasai pelajaran asas secara berperingkat di sekolah dan menyambungnya di rumah dengan bimbingan ibu bapa.

Menurutnya, pembacaan al-Quran di kalangan anak-anak perlu diteruskan sepanjang masa walaupun mereka sudah khatam kitab suci itu.

"Penguasaan mereka membaca dan khatam al-Quran dalam usia muda satu pencapaian membanggakan dan menerusi program J-QAF, murid diajar di sekolah walaupun waktunya singkat dan terhad.

"Bagaimanapun, ia memerlukan komitmen semua pihak dan kami memohon kerjasama ibu bapa untuk mengajar anak-anak membaca al-Quran di rumah sama ada sendiri atau mencari guru mengaji," katanya ketika merasmikan Majlis Khatam al-Quran dan Penyampaian Sijil J-QAF Murid Tahun Enam SK Simpang 5 Darat di sini, kelmarin.

HARIAN METRO, 27 OKTOBER 2012: IMAM SHARIF MERIAH SAMBUTAN AIDILADHA KAMPUNG PARIT KASSAN

Headline: Imam Sharif meriah sambutan Aidiladha Kampung Parit Kassan
Publication: HM
Date of publication: Oct 27, 2012
Section heading: Main Section
Page number: 002

LEDANG: Kunjungan Imam Masjid Abbad, Makkah, Al Hafiz Mohammad Sharif Mohammad Imrani ke Surau Parit Kassan, Kampung Parit Hassan, Bukit Gambir di sini, menambah keceriaan persiapan sambutan Aidiladha penduduk kampung itu, petang kelmarin.

Mohammad Sharif atau lebih dikenali sebagai Imam Sharif tiba di surau berkenaan atas jemputan bendahari dua surau berkenaan, Mohd Janis Abu Bakar.

Ketua Kampung Parit Kassan, Mohd Hamzah Basar berkata, penduduk kampung gembira menerima kunjungan mesra Imam Sharif yang bertemu kariah dan beramah mesra.

Katanya, Imam Sharif menjadi imam program Ramadan di Melaka sejak 1999 dan sepanjang Ramadan lalu, beliau mengimamkan solat tarawih di masjid dan surau terpilih di negeri berkenaan.

"Kami bertuah kerana Imam Sharif sudi meluangkan masa dan memenuhi undangan kariah dengan datang ke kampung ini walaupun pada waktu singkat.

"Dalam kunjungan itu, Imam Sharif sempat mengimamkan solat Asar dan menyertai majlis tahlil bersama penduduk kampung di kediaman Mohd Janis," katanya di sini.

Imam Masjid Jamek Parit Kassan, Mohd Taha Husnan berkata, kunjungan kali pertama Imam Sharif yang bertugas sebagai imam dan guru al-Quran di Masjid Abbad, Makkah, ke kampungnya memberi peluang penduduk bertemu dengannya untuk bertanya beberapa perkara berkaitan agama.

Katanya, walaupun kunjungan itu tidak rasmi penduduk kampung gembira dapat beramah mesra bersama beliau yang fasih berbahasa Melayu selain merapatkan silaturahim.

"Kami berharap, dia sudi kembali ke kampung kami menerusi acara keagamaan rasmi yang bakal diadakan kelak," katanya.

25 Oktober 2012

HARIAN METRO, 25 OKTOBER 2012: SARAN PEKEBUN KECIL DAPATKAN SKIDIC

Headline: Saran pekebun kecil dapatkan Skidic
Publication: HM
Date of publication: Oct 25, 2012
Section heading: Main Section
Page number: 051

LEDANG: Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), menyarankan pekebun kecil dan syarikat perladangan sawit di negeri ini merebut peluang mendapatkan Skim Diskaun Cantas (Skidic), bagi membeli mesin menuai buah sawit bermotor dikenali sebagai `Cantas'.

Ketua Wilayah Selatan MPOB, Zulkifli Shawal, berkata kerajaan menyediakan skim diskaun itu kepada pekebun kecil dan syarikat perladangan sawit bagi menjimatkan mereka menggunakan teknologi menuai tandan sawit dan memotong pelepah sawit bermotor.

Katanya, melalui skim itu kerajaan memperuntukkan sebanyak RM5.3 juta bagi memberi peluang kepada pekebun kecil membeli mesin Cantas dengan diskaun RM1,000 setiap unit.

Menurutnya, tawaran mendapatkan Skidic berakhir hujung tahun ini atau sehingga peruntukan disediakan kerajaan habis diagihkan.

"Setakat ini, sebanyak RM2.3 juta diskaun sudah diberikan kepada pemohon dan baki RM3.1 juta lagi boleh dipohon berdasarkan 'siapa cepat dia dapat'.

"Pekebun kecil sawit perlu merebut peluang ini dengan memohon Skidic untuk membeli mesin Cantas berharga antara RM2,500 hingga RM4,400 seunit," katanya ketika merasmikan Program Jom Guna Cantas Wilayah Selatan Zon Ledang anjuran MPOB di Kompleks Mohd Janis Sdn Bhd, Bukit Gambir di sini, semalam.

Hadir sama, Felo Penyelidik Kanan NKEA MPOB, Adzmi Hassan; Ketua Kumpulan Unit Perundingan dan Implementasi Projek MPOB, Zulkifli Abd Manaf; Ketua Pejabat MPOB Cawangan Tangkak, Ab Rahman Mohamed dan Pengarah Urusan Mohd Janis Sdn Bhd, Mohd Janis Abu Bakar.

Seramai 150 peserta terdiri daripada peniaga, penuai, koperasi dan pekebun kecil sawit menghadiri program pengenalan dan demonstrasi penggunaan mesin berkenaan.