12 Disember 2012

BH 12 DISEMBER 2012: GADIS INGIN KAHWIN CARI BAPA JADI WALI

Headline: Gadis ingin kahwin cari bapa jadi wali
Publication: BH
Date of publication: Dec 12, 2012
Section heading: Main Section
Page number: 020

Ledang: Seorang gadis yang akan melangsungkan perkahwinan minggu depan, buntu apabila bapa kandungnya gagal dikesan selepas berpisah dengan ibunya, Aripah Salleh, 58, kira-kira 21 tahun lalu.

Nurul Azura Mohd Sham (gambar), 28, dari Kampung Sungai Senduk, Grisek, berkata bapanya, Mohd Sham Md Esa, 50-an, yang berasal dari Kuala Pilah, Negeri Sembilan, gagal dikesan.

Dia amat memerlukan kehadiran bapanya untuk menjadi wali pernikahannya.

"Sejak bapa meninggalkan kami sekeluarga, tiada sebarang berita mengenainya, malah kami sudah berusaha mengesan termasuk di kampung asal di Kuala Pilah namun tidak berhasil.

Menghilang diri

"Ahli keluarga di Kuala Pilah sendiri pun tidak tahu di mana bapa berada kerana sudah lama menghilangkan diri tanpa khabar berita," katanya.

Azura anak sulong daripada dua beradik, berkata segala persiapan untuk majlis perkahwinannya di kampung sudah siap termasuk mengedarkan kad jemputan.

Dia berharap sesiapa mengenali atau mempunyai maklumat bapanya boleh menghubunginya di talian  06-972 8651  dan  018-263 3442  atau bapa saudaranya, Amir Hamzah Hashim di talian  012-303 9252 .

11 Disember 2012

07 Disember 2012

HARIAN METRO, 07 DISEMBER 2012: TRADISI BERADAT, PROGRAM ERAT SILATURAHIM


 
Oleh Hai Rozzaman Jalal
am@hmetro.com.my
PIBG anjur program khatan beramai-ramai

LEDANG: Setiap kali musim cuti sekolah, sudah pasti kawasan kampung atau perumahan digamit dengan paluan kompang dan semburan air bomba bagi meraikan kumpulan kanak-kanak untuk berkhatan secara beramai-ramai.

Tradisi rumpun Melayu itu perlu diteruskan bukan saja kerana ia menjimatkan perbelanjaan ibu bapa, malah lebih menceriakan majlis yang diadakan dan pada masa sama, mengeratkan silaturahim antara penduduk.

Baru-baru ini, seramai 16 murid Sekolah Kebangsaan (SK) Sengkang Bukit Gambir di sini, berusia antara 9 hingga 12 tahun mengambil bahagian dalam majlis berkhatan beramai-ramai anjuran Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah itu.
Aktiviti bagi mengembalikan semula budaya dan adat Melayu tidak bercanggah dengan syariat Islam
Yang Dipertua PIBG, Sharif Mohamed berkata, program itu dapat mengeratkan hubungan masyarakat setempat terutama guru dan ibu bapa membabitkan penyertaan anak dan aktiviti gotong-royong dianjurkan.

“Kami mahu mengembalikan semula budaya dan adat Melayu yang tidak bercanggah dengan syariat Islam melalui majlis berkhatan beramai- ramai.

“Penyertaan ibu bapa dalam program ini dapat menjimatkan kos membuat kenduri doa selamat di mana mereka mengadakannya secara berkelompok di sekolah,” katanya pada majlis itu di Dewan Sri Bestari, sekolah itu, baru-baru ini.

Perasmian majlis disempurnakan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Gambir, M Asojan, dan turut dihadiri Guru Besar sekolah itu, Basir Konit; Guru Penolong Kanan (GPK) 1, Jailani Ahamad; GPK Hal Ehwal Murid, Noraini Md Dom dan ibu bapa peserta.

Sharif berkata, semua murid dikhatankan oleh Dr Mohd Jalil Sharif dari Pusat Perubatan Keluarga dan lebih menarik, Mohd Jalil adalah bekas murid sekolah berkenaan.

“Kejayaan Mohd Jalil membuka tiga klinik di Bukit Gambir, Labis dan Jementah dekat sini, diharapkan menjadi contoh kepada murid sekolah ini supaya berjaya dalam apa jua bidang diceburi kelak,” katanya.

Sebelum dikhatankan, semua peserta dimandikan dalam upacara bersiram hasil kerjasama anggota Bomba dan Penyelamat Bukit Gambir.

Sementara itu, Asojan berkata, program berkhatan beramai-ramai itu dapat mengembalikan nostalgia lama masyarakat Melayu yang sering berkhatan di rumah secara berkelompok.

Katanya, kerjasama semua pihak menjayakan program itu amat penting kerana ia dapat merapatkan silaturahim masyarakat setempat. 
Menurutnya, kerajaan sentiasa memberikan tumpuan kepada pembangunan pendidikan di semua peringkat bagi melahirkan modal insan berjaya dalam pelbagai bidang.
SUMBER: HARIAN METRO (METROPLUS), 07 DISEMBER 2012