29 Mac 2013

HARIAN METRO, 29 MAC 2013: SERU GOLONGAN MUDA USAHAKAN KEBUN GETAH

Headline: Seru golongan muda usahakan kebun getah
Publication: HM
Date of publication: Mar 29, 2013
Section heading: Main Section
Page number: 039

Ledang: Golongan muda perlu meneruskan usaha ibu bapa mereka mengusahakan kebun getah kerana komoditi itu berpotensi meningkatkan pendapatan apabila diusahakan mengikut sistem amalan pertanian baik (GAP).

Ahli Parlimen Ledang Hamim Samuri berkata, inisiatif Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) menubuhkan Kelab Generasi Muda (KGM) RISDA amat tepat bagi menarik golongan itu meneruskan usaha berkenaan.

Penggunaan bahan rangsangan lateks yang diperkenalkan RISDA membantu meningkatkan penghasilan komoditi itu.

Melalui sistem torehan kekerapan rendah, pekebun kecil khasnya golongan muda boleh menoreh sekali setiap tiga hari. Ia boleh dilakukan melalui penggunaan lateks, katanya pada perasmian KGM RISDA, Sarapan Kasih Generasi Muda dan Kempen Penggunaan Bahan Rangsangan Lateks 2013 di Kampung Parit Haji Idris, Bukit Gambir, di sini, semalam.

Turut hadir Timbalan Pengarah RISDA Johor Mohd Soel Hussin, Pegawai RISDA Daerah Ledang/Muar Mohamad Arif Ismail dan Ketua Kampung Parit Haji Idris Ismail Sitam.

Hamim berkata, kerajaan banyak membantu pekebun kecil getah untuk meningkatkan pendapatan mereka bermula daripada penanaman pokok hingga mengeluarkan hasil selain khidmat nasihat daripada kakitangan RISDA.

HARIAN METRO, 29 MAC 2013: BERKAMPUNG 3 HARI

Headline: Berkampung 3 hari
Publication: HM
Date of publication: Mar 29, 2013
Section heading: Metro Plus
Page number: 005
Byline / Author: Oleh Hai Rozzaman Jalal
Ledang: Seramai 41 penuntut Fakulti Kejuruteraan Awam dan Sumber Alam Universiti Malaysia Pahang (UMP), yang berkampung selama tiga hari di Kampung Parit Jarum Darat, Bukit Gambir di sini, baru-baru ini, menimba pengalaman baru hasil Program Kejuruteraan Komuniti Ledang (KKL) 2013.

Program anjuran Persatuan Mahasiswa Kejuruteraan Awam dan Sumber Alam (PERKASA) itu menjadi medium terbaik mahasiswa pelbagai latar belakang menyelami corak kehidupan, keunikan budaya dan kesenian masyarakat setempat.

Pengarah program Khairull Azman Saleh berkata, KKL 2013 satu inisiatif pihaknya bersifat serampang tiga mata bagi mewujudkan jaringan sosial dalam kalangan masyarakat, pemimpin dan universiti.

Katanya, kesedaran sosial penting bagi memberi impak kepada pembentukan sahsiah penuntut selain mendedahkan suasana kehidupan bermasyarakat menerusi keluarga angkat masing-masing.

Selama tiga hari bersama keluarga angkat di Kampung Parit Jarum Darat, Parit Haji Idris dan Parit Kassan, kami dapat menyelami kehidupan masyarakat kampung serta keunikan budaya serta kesenian setempat.

Melalui program ini, ia dapat memberi kefahaman kepada peserta pentingnya menuntut ilmu dan menyumbang kembali ilmu dipelajari itu kepada masyarakat untuk kegunaan semua, katanya pada majlis perasmian penutup program itu di Balai Raya Parit Jarum Darat di sini, baru-baru ini.

Perasmian disempurnakan Ahli Parlimen Ledang Hamim Samuri.

Khairull berkata, KKL 2013 turut disertai tiga pelajar antarabangsa dari Yaman dan Sudan yang menuntut dalam bidang kejuruteraan di UMP.

Katanya, antara pengisian program termasuklah gotong-royong, ziarah komuniti, bengkel strategi pelajar cemerlang, perlawanan bola sepak dan malam karnival kesenian bagi mengeratkan silaturahim penduduk dan penuntut.

Sementara itu, Hamim berkata, KKL 2013 mempunyai matlamat sangat tinggi nilainya dalam melonjakkan kualiti hidup masyarakat kampung.

Katanya, ia perlu dijadikan peluang untuk membina masyarakat lebih maju berdasarkan misi yang dibawa dan menggunakan ilmu pengetahuan dalam kehidupan masyarakat kampung.

Masyarakat kampung sentiasa berfikiran terbuka untuk menerima perubahan dan boleh membuka minda seperti penggunaan internet yang membantu anak mereka belajar, katanya.

Penuntut dari Yaman, Aiman Hasan Hamood Al Masodi berkata, program KKL 2013 memberi peluang kepadanya mengenali budaya kehidupan tradisional masyarakat di Ledang yang amat menyeronokkan selain dapat belajar adat resam masyarakat Melayu.

19 Mac 2013

HARIAN METRO 19 MAC 2013: SAGIL C JUARA TAKRAW



Headline: Sagil C juara takraw
Publication: HM
Date of publication: Mar 19, 2013
Section heading: Main Section
Page number: 056
Byline / Author: Oleh Hai Rozzaman Jalal


Ledang: Pasukan Sagil C berjaya membawa pulang hadiah wang tunai RM1,000 selepas menjuarai Pertandingan Sepak Takraw Tertutup 2013 anjuran Jawatankuasa Penyelarasan Mukim-mukim (JPMM) Dewan Undangan Negeri (DUN) Gambir.

Naib juara disandang pasukan 1Malaysia Bukit Gambir A yang menerima RM800 manakala 1Malaysia Bukit Gambir B, ketiga, RM500 dan MTSC Sengkang, keempat, RM300.

Pengerusi JPMM DUN Gambir M Asojan berkata, 17 pasukan menyertai pertandingan di Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Gambir itu.

"Pertandingan ini memberi peluang kepada peminat sepak takraw mengembangkan bakat di samping menghidupkan semula permainan itu yang mula ditinggalkan golongan muda," kata Asojan yang juga ADUN Gambir.

"Setiap pemain memiliki kepakaran dan kebolehan tersendiri. JPMM DUN Gambir bercadang menganjurkan Pertandingan Sepak Takraw Tertutup Ledang pada Ogos dengan hadiah lebih lumayan."

11 Mac 2013

BH 11 MAC 2013: JOHOR MILIKI 15 JENIS ZAPIN

Headline: Johor miliki 15 jenis zapin
Publication: BH
Date of publication: Mar 11, 2013
Section heading: Sentral
Page number: 002

Ledang: Yayasan Warisan Johor (YWJ) mengenal pasti 15 jenis tarian zapin di negeri itu, yang akan terus dikembangkan dalam usaha menyemarakkan aktiviti kesenian dan kebudayaan.

Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman, berkata kajian selama 15 tahun di peringkat akar umbi mendapati setiap daerah di Johor mempunyai jenis tarian zapin sendiri.

Lahir kumpulan tarian

Katanya, kerajaan negeri menerusi YWJ turut membangunkan kebolehan guru tarian zapin untuk dikembangkan di seluruh Johor dalam usaha melahirkan kumpulan tarian zapin bermutu tinggi.

"Pendekatan menerusi YWJ melatih dan melahirkan kumpulan tarian zapin di setiap daerah dapat menonjolkan kesenian itu sebagai jati diri Johor, selain ghazal dan keroncong.

"Pembentukan kumpulan kebudayaan di setiap peringkat sama ada daerah atau kampung, dapat menyemarakkan aktiviti seni dan budaya masyarakat," katanya ketika merasmikan Program Merakyatkan Seni Budaya `Sentuhan Rakyat', di Kompleks Sukan Tok Laji Kampung Kesang Tasek, di sini.

Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Luar Bandar Dan Wilayah, Kesenian, Kebudayaan Dan Warisan negeri, Asiah Md Arif; Timbalan Ketua Pengarah Kebudayaan Dan Kesenian Negara, Mesran Mohd Yusof serta Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara Johor, Abdul Hamid Muhamad.

Abdul Ghani berkata, kemajuan sesebuah negeri akan menjadi tempang jika tumpuan hanya diberikan kepada usaha membangunkan ekonomi atau berbentuk kebendaan semata-mata.

Pembangunan seimbang

Katanya, pembangunan seni budaya juga perlu sejajar dengan pembangunan ekonomi lebih-lebih lagi negeri ini terkenal dan kaya dengan pelbagai kesenian serta kebudayaan masyarakat berbilang kaum.

"Pengisian program Merakyatkan Seni Budaya ini wajar dibawa ke peringkat masyarakat tempatan, yang mengamalkan cara hidup yang padat dengan budaya dan adat sebati dengan kehidupan mereka," katanya.

09 Mac 2013

HARIAN METRO, 09 MAC 2013: 420 TONG SISA PEPEJAL MUDAH ALIH DIAGIH

Headline: 420 tong sisa pepejal mudah alih diagih
Publication: HM
Date of publication: Mar 9, 2013
Section heading: Main Section
Page number: 049

Ledang: Sebanyak 420 tong sisa pepejal mudah alih diagihkan kepada pemilik premis perniagaan dan perumahan sekitar Tangkak di sini, dalam usaha menjadikan persekitaran bandar itu sentiasa bersih.

Yang Dipertua Majlis Daerah Tangkak (MDT) Ab Han Ramin berkata, objektif utama pengedaran tong sampah itu untuk meningkatkan kesedaran dan mendidik orang ramai berkaitan kaedah pembuangan sampah lebih sempurna.

Penggunaan tong sampah sesuai, seragam, tahan lasak dan mesra alam memberi keselesaan kepada penduduk membuang sampah sekali gus memelihara alam sekitar.

Bersesuaian visi menjadikan MDT sebagai perbandaran maju dan tersohor menjelang 2015, bandar Tangkak dipilih sebagai projek perintis mengamalkan cara pengurusan sampah yang betul selain mengelakkan pembuangan sampah secara haram.

Pada peringkat awal, pelaksanaan penggunaan tong sampah mudah alih dilakukan di premis perniagaan di jalan utama meliputi Jalan Solok, Jalan Muar, Jalan Payamas dan Jalan Sialang, katanya pada Gerak Mesra Zon Bandar Tangkak 2013 dan Penyampaian Tong Sampah Baru di Perhentian Bas dan Teksi Bandar Tangkak.

Program berkenaan anjuran bersama MDT, Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (PPSPPA) dan Southern Waste Management Environment Sdn Bhd (SWM).