12 April 2012

HARIAN METRO 12 APRIL 2012: PELAJAR BERJAYA DAPAT IMBUHAN

 
Headline: Pelajar berjaya dapat imbuhan
Publication: HM
Date of publication: Apr 12, 2012
Section heading: Main Section
Page number: 036
Byline / Author: Oleh Hai Rozzaman Jalal


LEDANG: Ahli Parlimen Ledang, Hamim Samuri menunaikan janjinya dengan menyerahkan sumbangan komputer riba serta wang tunai kepada 45 pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2011 dari lapan sekolah dalam Parlimen Ledang, kelmarin.

Hamim berkata, sumbangan itu dilakukannya sejak 2006 bertujuan memberi semangat kepada pelajar yang bakal menduduki peperiksaan SPM dan STPM supaya bersungguh-sungguh serta fokus untuk berjaya.

"Ia pengiktirafan kepada mereka yang berjaya menyahut cabaran mendapat keputusan terbaik dalam peperiksaan itu.

"Sebelum ini, saya berjanji akan memberi komputer riba kepada pelajar yang mendapat semua A dalam peperiksaan itu bagi setiap sekolah serta RM200 kepada pelajar cemerlang lain," katanya pada penyampaian Anugerah Kecemerlangan SPM dan STPM 2011 Parlimen Ledang di Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Gambir.

Hadir sama, Pengetua SMK Bukit Gambir, Fauziah Mansor; Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), Abdul Hamid Majid dan pengetua sekolah sekitar Parlimen Ledang.

Hamim berkata, pendekatan itu menjadi pembakar semangat kepada calon dan ia terbukti apabila lebih daripada tiga pelajar mendapat keputusan cemerlang dan ia menunjukkan peningkatan memberangsangkan.

"Usaha bersungguh-sungguh pengetua, guru, pelajar dan ibu bapa mampu menghasilkan pencapaian cemerlang dalam kalangan pelajar yang menduduki peperiksaan berkenaan.

"Peningkatan dan pencapaian cemerlang setiap sekolah di Ledang perlu diteruskan dan saya akan sentiasa membantu sekolah mengadakan program kecemerlangan seperti kelas tambahan dan motivasi," katanya.

10 April 2012

HARIAN METRO 10 APRIL 2012: SK DUMPAR JOHAN TADARUS AL-QURAN

Headline: SK Dumpar johan tadarus al-Quran
Publication: HM
Date of publication: Apr 10, 2012
Section heading: Main Section
Page number: 026

MUAR: Sekolah Kebangsaan (SK) Dumpar di sini, muncul johan keseluruhan Majlis Tadarus al-Quran (MTQ) dan Festival Nasyid Zon Maharani berakhir kelmarin.

Setiausaha program, Zakaria Muhamad berkata, pertandingan disertai 19 sekolah dalam zon itu dan pertandingan mengikut kategori tilawah al-Quran, hafazan, bercerita kisah al-Quran, berzanji, tulisan khat, jawi dan nasyid.

Katanya, program anjuran Panitia Pendidikan Islam Zon Maharani itu membabitkan 300 murid yang menyertai pelbagai kategori dipertandingkan bagi memilih wakil ke peringkat daerah.

"SK Dumpar turut diumumkan johan keseluruhan lelaki apabila muncul johan pertandingan nasyid, naib johan hafazan dan naib johan dalam tulisan khat serta jawi.

"Selain itu, sekolah berkenaan mendapat tempat ketiga dalam pertandingan hafazan, tulisan khat dan bercerita kisah al-Quran bagi kategori perempuan, manakala johan keseluruhan perempuan disandang SK Convent," katanya di Dewan SK Dumpar, dekat Jalan Junid di sini, kelmarin.

Program dirasmikan Penyelia Pendidikan Islam, Pejabat Pelajaran Daerah Muar, Hussin Yusuf dan dihadiri Pengerusi Panitia Pendidikan Islam Zon Maharani, Hamim Lahuri.

Berikutan itu, Hussin berharap setiap murid dapat mempelajari al-Quran sejak kanak-kanak bagi mendalami maksud terkandung di dalamnya.

Katanya, pembabitan murid dalam pertandingan itu dapat mencungkil bakat dan kebolehan mereka ke tahap lebih tinggi selain menjadi amalan hidup.

HARIAN METRO 10 APRIL 2012: IBU BAPA PERLU BANTU KEJAYAAN

Headline: Ibu bapa perlu bantu kejayaan
Publication: HM
Date of publication: Apr 10, 2012
Section heading: Main Section
Page number: 027

LEDANG: Ibu bapa bertanggungjawab membentuk keyakinan anak masing-masing dengan memberikan perhatian sepenuhnya terhadap pelajaran mereka bagi mengecapi kecemerlangan akademik dan membesar menjadi insan matang.

Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman berkata, ibu bapa tidak seharusnya bergantung sepenuhnya kepada pengurusan sekolah bagi membolehkan anak mereka mencapai prestasi akademik cemerlang.

Beliau berkata, tidak dinafikan kebelakangan ini terdapat ibu bapa terlalu ghairah melihat anak mereka mencapai keputusan peperiksaan membanggakan hingga memberi tekanan kepada cahaya mata masing-masing.

Menurutnya, perkara itu seharusnya dielakkan dan sekiranya anak mereka lemah dalam pelajaran, ibu bapa seharusnya mengkaji punca perkara itu berlaku dan mengambil langkah bagi mengatasinya.

"Ia termasuk menghantar anak ke kelas tambahan, selain memberi dorongan kepada mereka mengatasi kelemahan.

"Malah ibu bapa seharusnya bekerjasama dengan pengurusan sekolah bagi membantu murid atau pelajar yang lemah dalam akademik ini," katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Mesyuarat Agung Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Kali Ke-39 Sekolah Kebangsaan Parit Kasan (SKPK), baru-baru ini.

Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Gambir, M Asojan; Ketua Penolong Pegawai Daerah Ledang, Mustaffa Kamal Shamsuddin; Yang Dipertua PIBG, Padil Md Amin dan Guru Besar, Nik Fauziah Nik Yusoh.

05 April 2012

HARIAN METRO 05 APRIL 2012: JASA BANTU 10 WARGA EMAS TERLANTAR SAKIT

Headline: Jasa bantu 10 warga emas terlantar sakit
Publication: HM
Date of publication: Apr 5, 2012
Section heading: Main Section
Page number: 030

LEDANG: Prihatin dengan nasib warga emas yang terlantar sakit, Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa) Daerah Ledang berkunjung ke 10 kediaman golongan berkenaan di beberapa kampung sekitar Kesang, kelmarin untuk menziarah serta menyampaikan sumbangan barangan keperluan harian selain wang tunai.

Pegawainya, Mohd Fadli Saat berkata, pihaknya terpanggil menziarahi golongan berkenaan bagi mendapatkan gambaran sebenar sakit mereka serta bantuan yang boleh disalurkan.

Menurut Mohd Fadli, kunjungan berkenaan dibuat sempena program Jasa Prihatin yang turut disertai Pengarah Jasa Negeri Johor, Muhammad Abu Bakar.

"Kami mendapat maklumat 10 warga emas di kampung di sekitar Kesang uzur akibat sakit tua serta angin ahmar. Kami datang untuk menziarah bagi bertanyakan khabar serta menghulurkan sumbangan.

"Ia diharap dapat mengurangkan beban keluarga mereka dan pada masa sama, kami akan cuba bantu golongan itu dari semasa ke semasa," katanya.

Menurut Fadli, selain menziarahi warga emas yang uzur, program Jasa Prihatin turut membantu beberapa penduduk di sekitar daerah berkenaan seperti di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Serom, Tangkak dan Gambir.

"Kami menghulurkan bantuan membaiki atap rumah penduduk yang bocor dengan menyumbangkan bahan binaan seperti kayu dan zink," katanya.

BERITA HARIAN 05 APRIL 2012: GURU BESAR, PELAJAR INDONESIA LAWAT SMK SAGIL

BERITA HARIAN 05 APRIL 2012: 11 TABIKA RAI MAULIDUR RASUL

03 April 2012

HARIAN METRO 03 APRIL 2012: JASA BANTU IBU TUNGGAL BAIKI RUMAH

Headline: Jasa bantu ibu tunggal baiki rumah
Publication: HM
Date of publication: Apr 3, 2012
Section heading: Main Section
Page number: 026

LEDANG: Seorang ibu tunggal yang hidup dalam kemiskinan terpaksa mendiami rumah usang di Kampung Bekoh, Tangkak di sini, bersama anak dan cucunya.

Lebih menyedihkan, setiap kali hujan, bahagian dapur rumah Gayah Tawil, 65, dibasahi air hujan dan terpaksa ditadah menggunakan besen.

Menurut Gayah, pendapatan anak lelakinya yang hanya bekerja kampung tidak mencukupi untuk mengganti zink dan akibat bimbang ia diterbangkan angin ia terpaksa ditindih dengan kayu.

"Saya pernah membuat permohonan bagi mendapatkan rumah di bawah Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) namun hampa.

"Saya tinggal bersama tiga anak dan tiga cucu di rumah ini, walaupun anak bekerja, pendapatan diperoleh tidak mencukupi untuk mengganti zink yang bocor," katanya yang ditemui pada program gotong-royong anjuran Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa) Daerah Ledang untuk membaik pulih kerosakan rumah berkenaan.

Gayah yang bersyukur dengan bantuan berkenaan berkata, keluarganya kini tidak perlu risau lagi apabila hujan.

"Terima kasih kerana membantu golongan berpendapatan rendah seperti kami," katanya.

Program Jasa Prihatin itu turut dihadiri Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tangkak, Goh Tee Tee dan Pegawai Jasa Daerah Ledang, Mohd Fadli Saat.

Mohd Fadli berkata, pihaknya simpati dengan keadaan rumah Gayah yang uzur dan menyalurkan bantuan berupa bahan binaan seperti zink dan kayu.

"Kerja menggantikan zink yang bocor itu dijalankan secara gotong-royong bersama penduduk Kampung Bekoh bagi meringankan beban keluarga berkenaan," katanya.

Sementara itu, Goh berkata, melalui program Jasa Prihatin, ia memberi peluang kepada pemimpin bertemu penduduk kampung sambil beramah mesra dan menyelami masalah dihadapi mereka.

24 Mac 2012

HARIAN METRO 24 MAC 2012: 12 KELUARGA TERIMA BANTUAN


Headline: 12 keluarga terima bantuan
Publication: HM
Date of publication: Mar 24, 2012
Section heading: Main Section
Page number: 042

LEDANG: Semua 12 keluarga mangsa ribut di Kampung Sawah Ring, di sini, akan menerima bantuan kecemasan menerusi Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Ledang dan Baitulmal Majlis Agama Islam Johor (Maij) bagi meringankan beban mereka.

Ahli Parlimen Ledang, Hamim Samuri berkata, bantuan itu bagi membantu mangsa ribut membaiki kerosakan rumah dan mengganti peralatan musnah akibat bencana itu.

Katanya, mangsa perlu bersabar dengan dugaan dan bersyukur kerana tiada sebarang kemalangan jiwa berlaku.

"Kami bersimpati dengan nasib keluarga terbabit kerana akibat ribut, rumah mereka rosak teruk menyebabkan mereka kini terpaksa menumpang di balai raya," katanya.

23 Mac 2012

HARIAN METRO 23 MAC 2012: BUMBUNG RUNTUH KETIKA SAMBUT HARI LAHIR


Headline: Bumbung runtuh ketika sambut hari lahir
Publication: HM
Date of publication: Mar 23, 2012
Section heading: Main Section
Page number: 061

LEDANG: Hasrat seorang wanita menikmati kek sempena sambutan ulang tahun kelahirannya ke-48 tahun, Selasa lalu, tidak kesampaian apabila ribut dan hujan lebat menyebabkan bumbung serta beranda rumahnya runtuh lalu menghempap kek berkenaan.

Dalam kejadian kira-kira jam 3.30 petang, Zaleha Yusak, 48, bersedia meraikan sambutan hari lahirnya di rumah di Jalan Benteng, Kampung Sawah Ring, dekat Bukit Gambir, sebelum tiba-tiba ribut kuat menyebabkan bumbung rumahnya runtuh.

Kejadian itu bukan saja merosakkan rumahnya, malah 11 rumah lain di kampung sama apabila bumbung rumah diterbangkan ribut selain dihempap pokok.

Zaleha berkata, ketika kejadian dia dalam perjalanan pulang ke rumah selepas dijemput suaminya, Othman Subari, 48.

"Apabila tiba di hadapan rumah, saya hanya mampu menangis melihat keadaan rumah, namun bersyukur tiada sebarang kejadian tidak diingini berlaku.

"Ini kali kedua rumah saya rosak dipukul ribut selepas kali pertama pada 2006. Bagaimanapun, jika dibandingkan kali ini lebih teruk," katanya ketika ditemui di rumahnya, dekat sini, semalam.

Sementara itu, Ketua Kampung Sawah Ring, Hussin Mohamed berkata, selain rumah penduduk, tiga warung menjual makanan, surau dan pondok menunggu bas mengalami kerosakan akibat ribut itu.

Katanya, mangsa ribut berkenaan kini ditempatkan di Balai Raya Sawah Ring buat sementara dan Jabatan Kebajikan Masyarakat Ledang sudah memberi bantuan segera seperti makanan dan selimut kepada mereka.

Menurutnya, Pegawai Daerah Ledang, Ab Han Ramin; Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Gambir, M Asojan; Penghulu Mukim Grisek, Ishak Abu Bakar dan wakil Ahli Parlimen Ledang, Hamim Samuri turut melawat mangsa serta menghulurkan bantuan.

11 Mac 2012

HARIAN METRO 10 MAC 2012: 5 MURID HARUM NAMA SEKOLAH DIIKTIRAF


Headline: 5 murid harum nama sekolah diiktiraf
Publication: HM
Date of publication: Mar 10, 2012
Section heading: Main Section
Page number: 034

LEDANG: Lima murid Sekolah Kebangsaan (SK) Simpang 5 Darat menerima hadiah galakan atas kejayaan mereka mengharumkan nama sekolah dengan mencatat pencapaian cemerlang dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) tahun lalu.

Ahli Parlimen Ledang, Hamim Samuri berkata, kerjasama antara sekolah dan ibu bapa membantu kecemerlangan murid dalam pelajaran.

Katanya, penguasaan ilmu bermula dari peringkat sekolah rendah dan perlu dipertingkatkan dari semasa ke semasa untuk membina kecemerlangan.

"Sekolah menjadi tempat bermulanya segala kemajuan dengan penguasaan ilmu diperoleh murid di peringkat rendah dikembangkan hingga ke peringkat lebih tinggi.

"Ilmu dituntut perlu dimanfaatkan untuk kemajuan dan kebajikan masyarakat setempat selain menjadikannya sebagai sumber ilmiah bagi menjalani kehidupan penuh cabaran.

"Saya berharap hadiah ini menjadi pembakar semangat dan rangsangan mereka belajar bersungguh-sungguh," katanya pada majlis sumbangan hadiah sempena Mesyuarat Agung Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SK Simpang 5 Darat kali ke-37, kelmarin.

Hadir sama, Yang Dipertua PIBG, Mohd Noh Abd Montalib serta Guru Besar, Mansor Tahir.

08 Mac 2012

HARIAN METRO 08 MAC 2012: PROMOSI KHAMIS DITERUSKAN


Headline: Promosi Khamis diteruskan
Publication: HM
Date of publication: Mar 8, 2012
Section heading: Main Section
Page number: 033

LEDANG: Pengurusan Kompleks Pasar Tani Kekal Bukit Gambir di sini, meneruskan Program Promosi Hari Khamis yang diperkenalkan sejak tahun lalu yang disertai 31 pengusaha bagi mempromosikan barangan dijual kepada orang ramai dengan harga rendah.

Usaha itu dilakukan hasil kejayaan menarik ramai pengunjung apabila menawarkan pelbagai produk baru kepada pelanggan dengan harga berpatutan.

Ahli Jawatankuasa Biro Promosinya, Royhamirul Elias berkata, promosi setiap Khamis itu sebahagian usaha menarik lebih ramai pengguna berbelanja dan mendapatkan barangan keperluan harian selain perkhidmatan disediakan di premis berkenaan.

Menurutnya, tahun ini promosi itu diubah suai berbanding tahun lalu apabila beberapa peniaga mengambil bahagian setiap minggu, tetapi kali ini hanya satu premis memperkenalkan barangan dan dijual kepada orang ramai dengan harga lebih murah berbanding biasa.

"Premis yang memperkenalkan produk mereka sempena promosi itu akan memberikan diskaun kepada pelanggan selain menaja beberapa baucar sebagai hadiah kuiz diadakan.

"Pengunjung yang memenangi baucar boleh menukarkannya di premis yang menaja promosi pada hari berkenaan dan dimaklumkan beberapa premis lain akan menawarkan diskaun membabitkan barangan terpilih," katanya.

Katanya, promosi itu akan diadakan sepanjang tahun sebagai usaha menarik lebih ramai pengunjung berbelanja selain membantu memperkenalkan perniagaan yang beroperasi di bangunan itu.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Sumber Manusia, Sains, Teknologi Dan Inovasi Johor, M Asojan berkata, peniaga perlu kreatif dan berdaya saing bagi mempromosikan barangan mereka bagi menghadapi persaingan peniaga asing.

06 Mac 2012

HARIAN METRO 05 MAC 2012: MASJID JAMEK AL TAKZIM SIAP


Headline: Masjid Jamek Al Takzim siap
Publication: HM
Date of publication: Mar 5, 2012
Section heading: Main Section
Page number: 025

LEDANG: Lebih 600 penduduk Kampung Simpang 5 Darat, Bukit Gambir gembira apabila masjid baru bernilai RM1.7 juta, Masjid Jamek Al Takzim yang dibina sejak Februari tahun lalu siap sepenuhnya.

Pengerusi masjid, Mohd Noh Abd Montalib, 71, berkata, dengan siapnya rumah ibadat itu, ia mampu memberi keselesaan kepada jemaah untuk beribadat serta menjalankan kegiatan keagamaan.

Katanya, masjid itu juga menjadi mercu tanda warga kampung berkenaan yang sebelum ini menggunakan rumah ibadat dibina daripada kayu.

"Ruang solat Masjid Jamek Al Takzim ini mampu menampung 500 jemaah pada satu-satu masa," katanya.

12 Februari 2012

HARIAN METRO 11 FEBRUARI 2012: ARAH PULIHARA PERIGI BERJASA


Headline: Arah pulihara perigi berjasa
Publication: HM
Date of publication: Feb 11, 2012
Section heading: Main Section
Page number: 031
Byline / Author: Oleh Hai Rozzaman Jalal


LEDANG: Penduduk di sekitar Pekan Bukit Gambir mungkin tidak mengetahui atau lupa dengan kewujudan sebuah perigi yang menjadi sumber bagi mereka mendapatkan air ketika kawasan berkenaan dilanda banjir besar pada 2006.

Ketika itu kawasan berkenaan terputus bekalan air berikutan loji di Sungai Muar ditenggelami banjir dan penduduk terpaksa mencari sumber air bersih lain untuk keperluan harian.

Beberapa perigi digali dan sebuah daripadanya terletak di kawasan Balai Bomba dan Penyelamat Bukit Gambir serta masih kekal hingga kini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Gambir, M Asojan berkata, berikutan sejarah perigi berkenaan yang menjadi sumber bekalan air penduduk ketika itu, beliau mengarahkan Jabatan Bomba dan Penyelamat Bukit Gambir mengekalkan serta menjaga perigi berkenaan dengan baik.

"Kita tidak dapat menjangka apa akan berlaku pada masa depan. Oleh itu kita perlu mengekalkan sumber air ini sebagai alternatif penduduk mendapatkan air bersih jika keadaan mendesak," katanya, semalam.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bukit Gambir, Penolong Penguasa Bomba Mohd Shazarul Afidz Mohd Khairudin berkata, pihaknya sentiasa membersihkan perigi berkenaan dan tidak menghalang masyarakat di pekan itu mendapatkan bekalan air daripada perigi itu.

"Kami akan terus menjaganya kerana ia memberi banyak manfaat bukan saja kepada kami, malah penduduk sekitar.

"Sesiapa saja boleh datang untuk mengambil air dan kami juga berharap, masyarakat dapat bersama-sama menjaganya demi kepentingan semua pihak," katanya.

11 Februari 2012

HARIAN METRO 10 FEBRUARI 2012: BALAI BOMBA RM8j

Headline: Balai Bomba RM8j
Publication: HM
Date of publication: Feb 10, 2012
Section heading: Main Section
Page number: 026
Byline / Author: Oleh Hai Rozzaman Jalal


LEDANG: Balai Bomba dan Penyelamat Bukit Gambir di sini, yang dibina dengan kos RM8.8 juta dan mula beroperasi sejak 15 Disember lalu, mampu memperluaskan lagi perkhidmatan agensi berkenaan kepada penduduk di sekitar daerah ini.

Ketuanya, Penolong Penguasa Bomba, Mohd Shazarul Afidz Mohd Khairudin, berkata balai bomba itu menempatkan dua jentera serta dua bot dengan kekuatan 17 anggota serta pegawai.

"Kawasan yang berada di bawah bidang kuasa kami membabitkan Pekan Sungai Mati, Serom, Sengkang, Bukit Serampang, Kundang Ulu dan Grisek manakala di seberang Sungai Muar pula ialah Pekan Panchor, Pagoh, Liang Batu serta Lenga.

"Tugas kami bukan terhad kepada usaha memadamkan kebakaran saja, malah menangkap ular, menyelamatkan haiwan mahupun membersihkan pokok tumbang yang menghalang lalu lintas," katanya pada majlis taklimat kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Gambir, M Asojan serta pemimpin masyarakat di balai berkenaan, semalam.

Menurut Shazarul, sejak beroperasi, pihaknya sudah mengendalikan 10 kes khidmat khas dan enam kes kebakaran.

Sementara itu, Asojan berkata, kewujudan balai bomba di kawasan berkenaan membuktikan keprihatinan kerajaan bagi memenuhi keperluan rakyat berikutan pertambahan penduduk di sana.

"Jalinan mesra antara anggota bomba dengan masyarakat setempat perlu terus dipertahankan bagi mewujudkan hubungan baik dan kerjasama di kalangan mereka.

"Kami akan mengadakan program ramah mesra di antara pemimpin masyarakat dengan kakitangan agensi berkenaan dalam masa terdekat bagi mengeratkan lagi silaturahim," katanya.

Menurut Asojan, peranan bomba sukarela juga penting bagi membantu Jabatan Bomba dan Penyelamat menjalankan operasi mengawal kebakaran.

"Bomba sukarela boleh mendalami pengetahuan dan pengalaman dengan menyertai latihan," katanya.