08 Mei 2012

HARIAN METRO 08 MEI 2012: 600 SERTAI KAYUH BASIKAL 1MALAYSIA

Headline: 600 sertai kayuh basikal 1Malaysia
Publication: HM
Date of publication: May 8, 2012
Section heading: Main Section
Page number: 022
Byline / Author: Oleh Hai Rozzaman Jalal

LEDANG: Seramai 600 peminat sukan berbasikal dari seluruh negara menyertai Karnival Kayuhan 1Malaysia Johor sempena sambutan Hari Pekerja di Dataran Dewan Serbaguna Bukit Gambir, baru-baru ini.

Karnival anjuran Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) Johor dengan kerjasama Jawatankuasa Penyelarasan Mukim-mukim (JPMM) Dewan Undangan Negeri (DUN) Gambir itu bertujuan menghargai sambutan Hari Pekerja, selain memupuk gaya hidup sihat dalam kalangan penduduk.

Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Sumber Manusia, Sains, Teknologi Dan Inovasi Johor, M Asojan berkata, semua peserta memulakan kayuhan dari Dataran Dewan Serbaguna Bukit Gambir menuju Dataran Pulau Penarik, Sungai Mati.

"Pelepasan kali kedua menyaksikan peserta bermula dari Sungai Mati ke Tangkak yang dilepaskan Ahli Parlimen Ledang, Datuk Hamim Samuri.

"Mereka berehat di pekan Sagil sebelum Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tangkak, Goh Tee Tee dan Adun Bukit Serampang, Tahir Md Taat melakukan pelepasan terakhir iaitu peserta berkayuh semula ke Bukit Gambir.

"Semua peserta membuat kayuhan sejauh 50 kilometer dengan penuh bersemangat dan karnival diserikan dengan penyertaan bekas pelumba negara, M Kumaresan," katanya yang melakukan pelepasan di Dataran Dewan Serbaguna Bukit Gambir di sini.

Majlis penutupan karnival itu disempurnakan Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman di Dataran Dewan Serbaguna Bukit Gambir di sini.

Asojan berkata, bagi merancakkan karnival itu, pelbagai aktiviti diadakan termasuk lumba basikal, pertunjukan basikal BMX, pertandingan mewarna kanak-kanak, karaoke dan pameran beberapa agensi kerajaan.

Menurutnya, pertandingan lumba basikal diadakan di Jalan Gambir 6 dan 7, Bandar Baru Bukit Gambir yang berjaya menarik perhatian penduduk.

"Kami tidak sangka karnival ini menerima sambutan luar jangkaan termasuk peminat sukan berbasikal dari Selangor, Terengganu, Perak, Perlis dan Melaka.

"Menerusi karnival ini, kami yakin mampu menjalinkan persahabatan antara peserta negeri ini dan luar.

"Berikutan itu, kami berharap dapat mengadakan karnival sama pada masa akan datang," katanya.

04 Mei 2012

HARIAN METRO 04 MEI 2012: 38 BEKAS POLIS TERIMA SUMBANGAN

Headline: 38 bekas polis terima sumbangan
Publication: HM
Date of publication: May 4, 2012
Section heading: Main Section
Page number: 043

LEDANG: Seramai 38 bekas polis zaman darurat dan balu mereka menerima sumbangan sagu hati khas kerajaan pada satu majlis di Balai Polis Bukit Gambir, baru-baru ini.

Sumbangan cek bernilai RM3,000 seorang itu disampaikan Timbalan Ketua Polis Daerah Ledang, Deputi Superintendan Muhammad Salleh Abd Razak.

Muhammad Salleh berkata, semua penerima terbabit sebahagian bekas polis zaman darurat di seluruh negara yang layak menerima sumbangan sagu hati hasil keprihatinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Beliau berkata, sumbangan itu bukan saja bagi menghargai pengorbanan bekas polis terbabit, malah dapat sedikit sebanyak meringankan beban mereka.

"Kerajaan menghargai jasa bekas polis yang berjuang ketika zaman darurat kerana mereka sanggup berkorban demi menjaga keamanan negara," katanya dalam ucapan sebelum menyampaikan sumbangan kepada semua penerima terbabit.

Seorang penerima, A'sah Kaimi, 77, balu kepada Abdullah Sies yang berkhidmat sebagai anggota Home Guard dari 1942 hingga 1945 berkata, dia terharu kerana kerajaan masih menghargai pengorbanan arwah suaminya.

Menurutnya, arwah suaminya menyertai Home Guard bagi membantu pasukan keselamatan menjaga keselamatan kampung daripada ancaman komunis.

"Sumbangan ini amat bermakna bagi keluarga kami apabila jasa arwah dihargai kerajaan biarpun dia meninggal dunia pada 1987.

"Saya bersyukur dan terharu. Semoga apa dilakukan kerajaan ini mendapat balasan baik," katanya ditemani anak lelakinya, Ibrahim Abdullah, 56.

Seorang lagi penerima, Koo Yaw Koui, 51, berkata sumbangan itu akan digunakan untuk keperluan ibunya, Tay Mui Hian, 91, yang terlantar akibat sakit tua di di Jalan Poh Ai.

HARIAN METRO 04 MEI 2012: KEMPEN CAT BANGUNAN CERIAKAN TANGKAK


Headline: Kempen cat bangunan ceriakan Tangkak
Publication: HM
Date of publication: May 4, 2012
Section heading: Metro Plus
Page number: 001
Byline / Author: Oleh Hai Rozzaman Jalal

LEDANG: Bandar Tangkak bakal menjadi lebih ceria dan menarik menerusi kempen mengecat bangunan dan premis perniagaan yang dijalankan Majlis Daerah Tangkak (MDT).

Yang Dipertuanya, Ab Han Ramin berkata, kempen bermula awal Januari lalu itu satu langkah MDT menceria dan mengindahkan setiap bangunan serta premis perniagaan di daerah itu.

Katanya, setiap pemilik bangunan dan premis perniagaan di kawasan pentadbiran MDT diminta mengecat bangunan mereka dengan warna ditetapkan mengikut jalan atau pekan.

"Pelaksanaan kempen ini diharap dapat menceria dan mengindahkan bandar Tangkak dan pekan di Ledang yang menjadi salah satu destinasi pelancongan.

"Kami percaya melalui kempen ini, bangunan dicat dengan warna seragam dapat menarik perhatian pengunjung sekali gus meningkatkan ekonomi peniaga," katanya ketika ditemui di sini, baru-baru ini.

Ab Han berkata, pemilik bangunan dan premis perniagaan diberi masa selama dua bulan bagi melaksanakan kempen itu, malah MDT memberi kelonggaran kepada pemilik untuk melanjutkan tempoh sekiranya mereka belum mampu melaksanakannya.

Katanya, kerjasama antara MDT dengan pemilik bangunan dan agensi kerajaan lain di daerah membolehkan hasrat menjadikan bandar Tangkak dan pekan kecil di daerah ini ceria serta menarik sepanjang masa.

"Setakat ini, pemilik bangunan kedai di Jalan Muar, Jalan Payamas, Jalan Solok, Jalan Sialang dan jalan-jalan utama di bandar Tangkak sudah mengambil inisiatif mengecat premis mereka dengan warna seragam ditetapkan.

"Kami berharap pemilik bangunan di kawasan Bukit Gambir, Kundang Ulu, Gersik, Sagil, Serom, Sungai Mati dan Kesang menyahut kempen ini ," katanya.

02 Mei 2012

HARIAN METRO, 02 MEI 2012: KONGSI KEUNTUNGAN

Headline: Kongsi keuntungan
Publication: HM
Date of publication: May 2, 2012
Section heading: Main Section
Page number: 026
Byline / Author: Oleh Hai Rozzaman Jalal

LEDANG: Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia Negeri Johor (PKMMNJ) Daerah Ledang menjalankan tanggungjawab sosialnya dengan menyalurkan sumbangan kepada beberapa pihak yang memerlukan bantuan.

Pengerusinya, Zabridin Ahmad berkata, persatuan ditubuhkan pada 2008 itu kini disertai 113 ahli selaku badan bukan kerajaan (NGO) Melayu yang beridentitikan perniagaan.

Katanya, nikmat yang diperoleh ahli persatuan dapat dikongsi bersama melalui aktiviti kebajikan dengan membantu golongan yang memerlukan selain mengeluarkan zakat.

"Sejak penubuhan PKMMNJ di daerah ini, kami sentiasa peka dengan menjalinkan hubungan silaturahim bersama masyarakat sekeliling melalui program kebajikan yang dirancang sepanjang tahun.

"Empat tahun berturut-turut kami menyalurkan sumbangan Tabung Kecemerlangan Pelajar Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) kepada sekolah terpilih bagi meningkatkan kecemerlangan pelajar yang menduduki peperiksaan itu," katanya ketika berucap pada majlis Makan Malam PKMMNJ Daerah Ledang serta Perasmian Penubuhan dan Mesyuarat Agung Tahunan Pertama Koperasi Kontraktor dan Usahawan Melayu Ledang Berhad (Kopmel) di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim, dekat Tangkak.

Majlis itu dirasmikan Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman dan turut dihadiri Ahli Parlimen Ledang, Hamim Samuri; Ahli Dewan Negara, Senator Ahamat Yusop serta Yang Dipertua PKMMNJ, Mahmood Amir.

Zabridin berkata, pada penghujung 2010, persatuan menubuhkan Kopmel sebagai usaha memberi pulangan kepada ahli atas pelaburan yang dibuat dan berharap usahawan di Ledang terus maju dalam perniagaan.

Pada majlis itu, PKMMNJ Daerah Ledang turut menyampaikan sumbangan RM5,000 kepada Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) Tangkak, Tabung Kecemerlangan UPSR Sekolah Kebangsaan Parit Bunga (RM3,000), Pertubuhan Kebajikan Anak-Anak Yatim Islam (PKAYIL) Ledang (RM3,000) dan Pusat Penjagaan Warga Emas Nur Ehsan 2, Parit Bunga (RM2,500).

Sementara itu, Abdul Ghani mempelawa ahli PKMMNJ di negeri ini menyertai projek membina penempatan semula untuk 2,000 keluarga di Pengerang yang terbabit pembangunan hab minyak dan gas.

Katanya, kerajaan negeri diberi tanggungjawab untuk membina penempatan bagi memindahkan keluarga yang terbabit projek itu di atas tanah seluas 202 hektar.

Menurutnya, projek penempatan itu perlu disiapkan menjelang Mac 2013.

26 April 2012

HARIAN METRO 26 APRIL 2012: PROTON PREVE MASUK PEKAN

Headline: Proton Preve masuk pekan
Publication: HM
Date of publication: Apr 26, 2012
Section heading: Main Section
Page number: 034

LEDANG: Program Proton Preve Jelajah Ledang anjuran Kenari Bernas Sdn Bhd selaku wakil pengedar Proton di daerah ini satu inisiatif syarikat berkenaan memperkenalkan kereta terbaru itu kepada penduduk setempat.

Program bermula di premis syarikat itu di Bandar Tangkak menjadikan sekitar daerah Ledang sebagai lokasi penjelajahan dan konvoi berkenaan turut diiringi 20 penunggang motosikal berkuasa tinggi daripada Muar Bikers Club.

Pelepasan konvoi disempurnakan Ahli Parlimen Ledang, Hamim Samuri dan kumpulan itu singgah di Pekan Sagil, Bukit Gambir, Serom, Sungai Mati, Tanjung Agas dan Kesang.

Hamim berkata, program itu mencipta sejarah kerana ia julung kali diadakan.

"Penduduk Ledang dapat menyaksikan dengan lebih dekat Proton Prevé tanpa perlu ke pusat pameran apabila konvoi berkenaan singgah di pekan kecil

"Rakyat bangga dengan kejayaan Proton mengeluarkan kereta terbaru ini dan ia membuktikan negara semakin maju.

"Kami mesti kekalkan kerajaan sekarang dan jangan rosakkan perpaduan serta kejayaan yang sudah dikecapi demi keselesaan generasi akan datang," katanya.

Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tangkak, Goh Tee Tee; Ketua Pergerakan Pemuda Umno Bahagian Ledang, Zaidi Abd Majid; Ketua MIC Bahagian Ledang, T Murugiah; dan Pengurus Kenari Bernas Sdn Bhd, Ee Boon Keng.

25 April 2012

HARIAN METRO 25 APRIL 2012: SASAR TAMBAH AHLI PEMADAM

Headline: Sasar tambah ahli Pemadam
Publication: HM
Date of publication: Apr 25, 2012
Section heading: Main Section
Page number: 035


LEDANG: Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (Pemadam) Daerah Ledang menyasarkan menambah keahlian di kalangan masyarakat Tionghua dan India dalam usaha membasmi kegiatan penagihan serta pengedaran dadah dengan lebih berkesan.

Yang Dipertuanya, Ab Han Ramin berkata, walaupun Ledang mempunyai bilangan ahli Pemadam paling ramai di negeri ini, namun ia belum cukup membantu mengatasi masalah dadah yang semakin mencabar.

24 April 2012

HARIAN METRO 24 APRIL 2012: MAUT DISERANG AMUKAN LEBAH

Headline: Maut diserang amukan lebah
Publication: HM
Date of publication: Apr 24, 2012
Section heading: Main Section
Page number: 018
Byline / Author: Oleh Hai Rozzaman Jalal


LEDANG: "Pada mulanya saya sangka keadaan suami yang disengat lebah tidak serius, namun apabila tiba di lokasi dan melihat tubuh kaku suami dengan mukanya penuh kesan sengatan, saya terkejut dan hanya terdiam.

"Lebih menyedihkan apabila mengenangkan kesakitan dialami suami akibat disengat sebelum meninggal dunia," kata Norlidah A Rahim, 49, isteri kepada Ramdan Harun, 54, yang meninggal dunia akibat serangan lebah, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 9.30 pagi itu, Ramdan yang juga polis bantuan sedang meronda di kawasan sekitar Ladang Bukit Serampang di sini.

Ramdan yang menunggang motosikal dikatakan meronda sendirian sebelum diserang sekumpulan lebah.

Norlidah berkata, beberapa hari sebelum kejadian, suaminya hanya mengadu keletihan dan tidak menunjukkan sebarang perubahan pelik.

"Saya tidak menyangka apa-apa dan beranggapan dia letih. Sehari sebelum kejadian, suami bersungguh-sungguh mahu mendapatkan rawatan bekam dan sempat melakukannya di Tangkak.

"Malah pada pagi kejadian, dia sempat bersarapan di rumah pada jam 6 pagi sebelum keluar bertugas," katanya ketika ditemui di Kuarters Kakitangan Ladang Sagil, semalam.

Menurut Norlidah, pada jam 9.45 pagi, dia dikejutkan dengan panggilan telefon daripada seorang penduduk di Sengkang mengatakan suaminya terjatuh akibat serangan lebah.

"Saya sedih melihat keadaan suami namun reda dengan kejadian," katanya.

Penolong Pengurus Ladang Sagil, S Karthigesu berkata, kejadian berlaku jam 9.30 pagi ketika Ramdan meronda di lokasi.

Katanya, sebelum kejadian, Ramdan meronda di Ladang Sagil dan pada jam 7.30 pagi, melaporkan diri untuk meronda di sekitar Ladang Bukit Serampang.

"Kami dapati lebah menyerang Ramdan datang dari kebun getah di Kampung Hang Tuah, Sengkang dan ia dipercayai mengamuk akibat diganggu burung helang," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ledang, Superintendan Harun Idris mengesahkan kejadian.

Katanya, jenazah mangsa dibawa ke Hospital Tangkak untuk bedah siasat sebelum dituntut keluarganya.

12 April 2012

HARIAN METRO 12 APRIL 2012: PELAJAR BERJAYA DAPAT IMBUHAN

 
Headline: Pelajar berjaya dapat imbuhan
Publication: HM
Date of publication: Apr 12, 2012
Section heading: Main Section
Page number: 036
Byline / Author: Oleh Hai Rozzaman Jalal


LEDANG: Ahli Parlimen Ledang, Hamim Samuri menunaikan janjinya dengan menyerahkan sumbangan komputer riba serta wang tunai kepada 45 pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2011 dari lapan sekolah dalam Parlimen Ledang, kelmarin.

Hamim berkata, sumbangan itu dilakukannya sejak 2006 bertujuan memberi semangat kepada pelajar yang bakal menduduki peperiksaan SPM dan STPM supaya bersungguh-sungguh serta fokus untuk berjaya.

"Ia pengiktirafan kepada mereka yang berjaya menyahut cabaran mendapat keputusan terbaik dalam peperiksaan itu.

"Sebelum ini, saya berjanji akan memberi komputer riba kepada pelajar yang mendapat semua A dalam peperiksaan itu bagi setiap sekolah serta RM200 kepada pelajar cemerlang lain," katanya pada penyampaian Anugerah Kecemerlangan SPM dan STPM 2011 Parlimen Ledang di Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Gambir.

Hadir sama, Pengetua SMK Bukit Gambir, Fauziah Mansor; Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), Abdul Hamid Majid dan pengetua sekolah sekitar Parlimen Ledang.

Hamim berkata, pendekatan itu menjadi pembakar semangat kepada calon dan ia terbukti apabila lebih daripada tiga pelajar mendapat keputusan cemerlang dan ia menunjukkan peningkatan memberangsangkan.

"Usaha bersungguh-sungguh pengetua, guru, pelajar dan ibu bapa mampu menghasilkan pencapaian cemerlang dalam kalangan pelajar yang menduduki peperiksaan berkenaan.

"Peningkatan dan pencapaian cemerlang setiap sekolah di Ledang perlu diteruskan dan saya akan sentiasa membantu sekolah mengadakan program kecemerlangan seperti kelas tambahan dan motivasi," katanya.

10 April 2012

HARIAN METRO 10 APRIL 2012: SK DUMPAR JOHAN TADARUS AL-QURAN

Headline: SK Dumpar johan tadarus al-Quran
Publication: HM
Date of publication: Apr 10, 2012
Section heading: Main Section
Page number: 026

MUAR: Sekolah Kebangsaan (SK) Dumpar di sini, muncul johan keseluruhan Majlis Tadarus al-Quran (MTQ) dan Festival Nasyid Zon Maharani berakhir kelmarin.

Setiausaha program, Zakaria Muhamad berkata, pertandingan disertai 19 sekolah dalam zon itu dan pertandingan mengikut kategori tilawah al-Quran, hafazan, bercerita kisah al-Quran, berzanji, tulisan khat, jawi dan nasyid.

Katanya, program anjuran Panitia Pendidikan Islam Zon Maharani itu membabitkan 300 murid yang menyertai pelbagai kategori dipertandingkan bagi memilih wakil ke peringkat daerah.

"SK Dumpar turut diumumkan johan keseluruhan lelaki apabila muncul johan pertandingan nasyid, naib johan hafazan dan naib johan dalam tulisan khat serta jawi.

"Selain itu, sekolah berkenaan mendapat tempat ketiga dalam pertandingan hafazan, tulisan khat dan bercerita kisah al-Quran bagi kategori perempuan, manakala johan keseluruhan perempuan disandang SK Convent," katanya di Dewan SK Dumpar, dekat Jalan Junid di sini, kelmarin.

Program dirasmikan Penyelia Pendidikan Islam, Pejabat Pelajaran Daerah Muar, Hussin Yusuf dan dihadiri Pengerusi Panitia Pendidikan Islam Zon Maharani, Hamim Lahuri.

Berikutan itu, Hussin berharap setiap murid dapat mempelajari al-Quran sejak kanak-kanak bagi mendalami maksud terkandung di dalamnya.

Katanya, pembabitan murid dalam pertandingan itu dapat mencungkil bakat dan kebolehan mereka ke tahap lebih tinggi selain menjadi amalan hidup.

HARIAN METRO 10 APRIL 2012: IBU BAPA PERLU BANTU KEJAYAAN

Headline: Ibu bapa perlu bantu kejayaan
Publication: HM
Date of publication: Apr 10, 2012
Section heading: Main Section
Page number: 027

LEDANG: Ibu bapa bertanggungjawab membentuk keyakinan anak masing-masing dengan memberikan perhatian sepenuhnya terhadap pelajaran mereka bagi mengecapi kecemerlangan akademik dan membesar menjadi insan matang.

Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman berkata, ibu bapa tidak seharusnya bergantung sepenuhnya kepada pengurusan sekolah bagi membolehkan anak mereka mencapai prestasi akademik cemerlang.

Beliau berkata, tidak dinafikan kebelakangan ini terdapat ibu bapa terlalu ghairah melihat anak mereka mencapai keputusan peperiksaan membanggakan hingga memberi tekanan kepada cahaya mata masing-masing.

Menurutnya, perkara itu seharusnya dielakkan dan sekiranya anak mereka lemah dalam pelajaran, ibu bapa seharusnya mengkaji punca perkara itu berlaku dan mengambil langkah bagi mengatasinya.

"Ia termasuk menghantar anak ke kelas tambahan, selain memberi dorongan kepada mereka mengatasi kelemahan.

"Malah ibu bapa seharusnya bekerjasama dengan pengurusan sekolah bagi membantu murid atau pelajar yang lemah dalam akademik ini," katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Mesyuarat Agung Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Kali Ke-39 Sekolah Kebangsaan Parit Kasan (SKPK), baru-baru ini.

Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Gambir, M Asojan; Ketua Penolong Pegawai Daerah Ledang, Mustaffa Kamal Shamsuddin; Yang Dipertua PIBG, Padil Md Amin dan Guru Besar, Nik Fauziah Nik Yusoh.

05 April 2012

HARIAN METRO 05 APRIL 2012: JASA BANTU 10 WARGA EMAS TERLANTAR SAKIT

Headline: Jasa bantu 10 warga emas terlantar sakit
Publication: HM
Date of publication: Apr 5, 2012
Section heading: Main Section
Page number: 030

LEDANG: Prihatin dengan nasib warga emas yang terlantar sakit, Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa) Daerah Ledang berkunjung ke 10 kediaman golongan berkenaan di beberapa kampung sekitar Kesang, kelmarin untuk menziarah serta menyampaikan sumbangan barangan keperluan harian selain wang tunai.

Pegawainya, Mohd Fadli Saat berkata, pihaknya terpanggil menziarahi golongan berkenaan bagi mendapatkan gambaran sebenar sakit mereka serta bantuan yang boleh disalurkan.

Menurut Mohd Fadli, kunjungan berkenaan dibuat sempena program Jasa Prihatin yang turut disertai Pengarah Jasa Negeri Johor, Muhammad Abu Bakar.

"Kami mendapat maklumat 10 warga emas di kampung di sekitar Kesang uzur akibat sakit tua serta angin ahmar. Kami datang untuk menziarah bagi bertanyakan khabar serta menghulurkan sumbangan.

"Ia diharap dapat mengurangkan beban keluarga mereka dan pada masa sama, kami akan cuba bantu golongan itu dari semasa ke semasa," katanya.

Menurut Fadli, selain menziarahi warga emas yang uzur, program Jasa Prihatin turut membantu beberapa penduduk di sekitar daerah berkenaan seperti di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Serom, Tangkak dan Gambir.

"Kami menghulurkan bantuan membaiki atap rumah penduduk yang bocor dengan menyumbangkan bahan binaan seperti kayu dan zink," katanya.

BERITA HARIAN 05 APRIL 2012: GURU BESAR, PELAJAR INDONESIA LAWAT SMK SAGIL

BERITA HARIAN 05 APRIL 2012: 11 TABIKA RAI MAULIDUR RASUL

03 April 2012

HARIAN METRO 03 APRIL 2012: JASA BANTU IBU TUNGGAL BAIKI RUMAH

Headline: Jasa bantu ibu tunggal baiki rumah
Publication: HM
Date of publication: Apr 3, 2012
Section heading: Main Section
Page number: 026

LEDANG: Seorang ibu tunggal yang hidup dalam kemiskinan terpaksa mendiami rumah usang di Kampung Bekoh, Tangkak di sini, bersama anak dan cucunya.

Lebih menyedihkan, setiap kali hujan, bahagian dapur rumah Gayah Tawil, 65, dibasahi air hujan dan terpaksa ditadah menggunakan besen.

Menurut Gayah, pendapatan anak lelakinya yang hanya bekerja kampung tidak mencukupi untuk mengganti zink dan akibat bimbang ia diterbangkan angin ia terpaksa ditindih dengan kayu.

"Saya pernah membuat permohonan bagi mendapatkan rumah di bawah Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) namun hampa.

"Saya tinggal bersama tiga anak dan tiga cucu di rumah ini, walaupun anak bekerja, pendapatan diperoleh tidak mencukupi untuk mengganti zink yang bocor," katanya yang ditemui pada program gotong-royong anjuran Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa) Daerah Ledang untuk membaik pulih kerosakan rumah berkenaan.

Gayah yang bersyukur dengan bantuan berkenaan berkata, keluarganya kini tidak perlu risau lagi apabila hujan.

"Terima kasih kerana membantu golongan berpendapatan rendah seperti kami," katanya.

Program Jasa Prihatin itu turut dihadiri Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tangkak, Goh Tee Tee dan Pegawai Jasa Daerah Ledang, Mohd Fadli Saat.

Mohd Fadli berkata, pihaknya simpati dengan keadaan rumah Gayah yang uzur dan menyalurkan bantuan berupa bahan binaan seperti zink dan kayu.

"Kerja menggantikan zink yang bocor itu dijalankan secara gotong-royong bersama penduduk Kampung Bekoh bagi meringankan beban keluarga berkenaan," katanya.

Sementara itu, Goh berkata, melalui program Jasa Prihatin, ia memberi peluang kepada pemimpin bertemu penduduk kampung sambil beramah mesra dan menyelami masalah dihadapi mereka.