04 Ogos 2012

HARIAN METRO 04 OGOS 2012: TUAH PENIAGA BEBOLA KAYA

Headline: Tuah peniaga bebola kaya
Publication: HM
Date of publication: Aug 4, 2012
Section heading: Main Section
Page number: 051
Byline / Author: Oleh Hai Rozzaman Jalal
LEDANG: Ramadan kali ini cukup bermakna kepada peniaga dan pengunjung Pasar Tani Ramadan di Kompleks Pasar Tani Kekal di Bukit Gambir di sini, apabila Sultan Johor, Sultan Ibrahim ibni Almarhum Sultan Iskandar berkenan mencemar duli berkunjung ke bazar itu, kelmarin.

Kunjungan baginda ke Pasar Tani Ramadan itu untuk membeli juadah berbuka sambil bertemu rakyat jelata.

Baginda meluangkan masa setengah jam melawat sekitar bazar itu sambil diiringi Pegawai Daerah Ledang, Ab Han Ramin; Pentadbir Tanah Daerah, Haironnazli Esa; dan Pegawai Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) Muar dan Ledang, Abd Malek Ramli.

Pengunjung yang mengetahui kunjungan Sultan Ibrahim menunggu seawal 4.30 petang semata-mata mahu bertemu baginda.

Peniaga bebola kaya, Halim A Rahman, 39, berkata, dia teruja dan bertuah apabila Sultan Ibrahim singgah di gerainya bertanya dan melihat cara pembuatan makanan berkenaan sebelum membeli juadah itu.

Selepas melawat bazar itu, baginda berangkat ke Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) Sri Jaya, Bukit Serampang bertemu penduduk dan mengagihkan bubur lambuk.

Sementara itu, Urus setia Pasar Tani Ramadan Bukit Gambir, Muhammad Najib Samsudin berkata, 50 peniaga menjual pelbagai juadah berbuka puasa di bazar berkenaan.

"Kami menyediakan 64 lot perniagaan di bazar ini. Sejak awal Ramadan, bazar ini sentiasa penuh dikunjungi pengunjung yang terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat.

"Selain mendapatkan juadah berbuka puasa, pengunjung turut berbelanja barangan basah, sayur-sayuran dan barangan dapur yang dijual di kompleks ini," katanya.

Menurutnya, pengurusan dan peniaga di kompleks itu melahirkan perasaan gembira, terharu dan menjunjung kasih atas kesudian Sultan Ibrahim melawat Pasar Tani Ramadan serta bermesra dengan pengunjung.

03 Ogos 2012

HARIAN METRO 03 OGOS 2012: RESAH MANDI DEBU

Headline: Resah mandi debu
Publication: HM
Date of publication: Aug 3, 2012
Section heading: Main Section
Page number: 032
Byline / Author: Oleh Hai Rozzaman Jalal

LEDANG: Keresahan penduduk Kampung Parit Kassan, Bukit Gambir di sini, yang berdepan masalah pencemaran habuk dan debu akibat kerja mengangkut tanah merah sejak sebulan lalu mendapat perhatian pihak berkuasa berkaitan.

Difahamkan, tanah berkenaan diangkut dari sebuah kuari sebelum dibawa ke tapak projek pembangunan berhampiran.

Berikutan masalah itu, penduduk mendakwa terpaksa membersihkan habuk dan debu di rumah mereka setiap hari dan berharap masalah itu diselesaikan segera kerana Aidilfitri bakal menjelang tidak lama lagi.

Penduduk, Zakaria Haiyun, 52, berkata, sikap kontraktor yang tidak menyiram jalan keluar masuk selain gagal membersihkan tanah tercicir menyebabkan kesihatan penduduk terjejas selain rumah dicemari habuk.

"Setiap hari, saya terpaksa menutup tingkap dan pintu bagi mengelak debu berterbangan dalam rumah. Kesan tapak kaki pula akan kelihatan di lantai selepas dipijak akibat debu.

"Akibat pencemaran itu, anak saya kini menghidap semput dan berharap masalah ini diselesaikan kontraktor secepat mungkin," katanya ketika pertemuan antara penduduk bersama kontraktor projek pembangunan berkenaan, baru-baru ini.

Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Gambir, M Asojan; Penghulu Mukim Grisek, Ishak Abu Bakar; Setiausaha Aduan Rakyat Facebook Parlimen Ledang dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Gambir, Ramli Abd Rahman; Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Parit Kassan, Mohd Hamzah Basar dan timbalannya, Mohd Janis Abu Bakar.

Seorang lagi penduduk dikenali sebagai Nor, 30, pula mendakwa lori membawa muatan tanah itu dipandu laju tanpa mempedulikan keselamatan penduduk terutama ibu bapa yang menjemput anak pulang dari sekolah.

"Tindakan sewajarnya perlu diambil pihak berkaitan dan jangan tunggu hingga berlaku perkara tidak diingini menimpa penduduk," katanya.

Sementara itu, Asojan berkata, dalam perbincangan itu, kontraktor terbabit setuju memenuhi permintaan penduduk.

01 Ogos 2012

HARIAN METRO 01 OGOS 2012: SERTAI KARNIVAL RAYA EK!

Headline: Sertai Karnival Raya Ek!
Publication: HM
Date of publication: Aug 1, 2012
Section heading: Main Section
Page number: 035

LEDANG: Pengusaha dan usahawan industri kecil dan sederhana (IKS) di daerah ini dipelawa menyertai Karnival Raya Ek! anjuran Persatuan Pengusaha Kecil Sederhana Bumiputera (PPKSB) Ledang bermula 3 hingga 18 Ogos depan di pekarangan Pusat Perniagaan Anjung Batu, Tangkak.

Karnival sempena Aidilfitri itu memberi peluang kepada usahawan Bumiputera memasarkan produk mereka.

Setiausaha penganjur, Nurul Farhana Abdullah berkata, karnival berlangsung dua minggu anjuran bersama Majlis Pembangunan Pertanian Parlimen Ledang, Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) Jabatan Pertanian Daerah Ledang dan Pertubuhan Peladang Kawasan Ledang.

Katanya, karnival itu bertujuan mempromosikan Pusat IKS Ledang kepada penduduk tempatan dan luar daerah selain memberi peluang perniagaan kepada usahawan sekitar daerah ini.

"Karnival itu satu aktiviti persatuan dalam usaha memperkenalkan produk IKS dikeluarkan pengusaha Bumiputera di daerah ini kepada orang ramai khususnya penduduk Ledang.

"Ahli terdiri pengusaha makanan seperti kerepek, kek, biskut dan barangan IKS menjadikan Pusat IKS Ledang ini sebagai pusat sehenti memasarkan produk yang mereka hasilkan," katanya di sini.

Katanya, pengusaha dan usahawan yang mahu mendapatkan ruang niaga boleh menghubungi penganjur di talian  06-9784054  atau  010-8926689  (Hanna) dan  019-6075913  (Suhaimi).

31 Julai 2012

HARIAN METRO 31 JULAI 2012: BUKTI KERAJAAN BAWA KEJAYAAN

Headline: Bukti kerajaan bawa kejayaan
Publication: HM
Date of publication: Jul 31, 2012
Section heading: Main Section
Page number: 031
LEDANG: Masyarakat Cina di negara ini diminta terus memberikan sokongan padu kepada kerajaan sedia ada bagi memastikan perpaduan dan keamanan dinikmati sekarang berkekalan sekali gus menjamin masa depan mereka ke arah lebih baik.

Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman berkata, masyarakat Cina perlu memilih dan mengekalkan kerajaan sedia ada yang dapat menjaga masa depan semua kaum dan agama di negara ini.

Beliau berkata, kejayaan kerajaan membawa pembangunan dan keamanan negara sejak 55 tahun lalu terbukti apabila semua kaum dapat menikmatinya termasuk dalam bidang pendidikan.

Menurutnya, rakyat negara ini boleh menempa kejayaan dalam pelbagai bidang kerana kerajaan membuka seluas-luasnya peluang mendapatkan ilmu di peringkat awal persekolahan hingga ke institusi pengajian tinggi.

"Hanya pelajaran mampu menjadikan seseorang itu insan berjaya. Walaupun ibu bapa hanya bekerja kebun, tetapi anak-anak yang berjaya dalam pelajaran mampu mengubah kehidupan keluarga apabila mempunyai pekerjaan yang baik.

"Kerajaan sentiasa menyediakan kemudahan untuk rakyat mendapatkan pendidikan dengan membina dan menaik taraf bangunan sekolah bagi memberi keselesaan pelajar mengikuti proses pembelajaran," katanya pada majlis perasmian Program Mahasiswa Universiti Putra Malaysia (UPM) Bersama Komuniti Cina Serom di Dewan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Chung Hwa, Serom 3, di sini, baru-baru ini.

Hadir sama Ahli Parlimen Ledang, Hamim Samuri; Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tangkak, Goh Tee Tee; Pegawai Daerah Ledang, Ab Han Ramin dan Pengerusi Lembaga Pengarah SJKC Chung Hwa, Tan Teng Hao.

Pada majlis itu, Abdul Ghani meluluskan peruntukan sebanyak RM400,000 bagi membina bangunan baru tiga tingkat menggantikan bangunan lama yang diperbuat daripada papan.

Sementara itu, Tan berkata, wujud kesedaran dalam kalangan kaum Cina mengenai pentingnya pendidikan dalam kehidupan dan dapat menjamin masa depan anak-anak.

Beliau berkata, pendidikan menjadi aset penting untuk anak-anak bagi menjalani kehidupan yang lebih baik apabila berjaya hingga ke peringkat tertinggi.

Menurutnya, pengurusan sekolah berterima kasih kepada kerajaan terutama Menteri Besar yang meluluskan peruntukan bagi membina bangunan baru tiga tingkat membabitkan 15 kelas untuk kegunaan masyarakat Cina Serom.

26 Julai 2012

HARIAN METRO, 26 JULAI 2012: 16 TADIKA SERTAI SUKAN TAJ DAERAH LEDANG 2012

Headline: 16 tadika sertai sukan TAJ daerah Ledang 2012
Publication: HM
Date of publication: Jul 26, 2012
Section heading: Main Section
Page number: 046


LEDANG: Seramai 208 kanak-kanak dari 16 tadika mengambil bahagian dalam sukan Tadika Agama Johor (TAJ) Daerah Ledang 2012 kali keempat di Padang Awam Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) Sri Ledang, Bukit Serampang, baru-baru ini.

Setiap pasukan menyertai lima acara iaitu larian baton 50 meter, susun nombor, bawa bola ping pong dalam sudu, bomba kampung dan baling bola.

Pegawai Pendidikan Agama Daerah Ledang, Khalid Ithnin berkata, sukan amat penting bagi memberi pendedahan dan pengalaman kepada kanak-kanak TAJ.

"Kanak-kanak bukan hanya perlu mendapat pendidikan akademik, tetapi juga memerlukan pembangunan mental melalui sukan.

"Peserta bukan saja bersaing di peringkat daerah, malah ke peringkat negeri pada tahun depan," katanya.

Program itu dirasmikan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Serampang, Datuk Tahir Md Taat.

Turut hadir, Penyelia TAJ Johor, Zamri Wagiran; Pengurus Felda Sri Ledang, Md Nasir Md Shah; Ketua Kampung Felda Sri Ledang, Abd Mutalib Md Diah; dan Pengerusi Badan Kebajikan Sekolah Agama Felda Sri Ledang, Ahmad Malan.

Khalid berkata, pertandingan itu bukan hanya tertumpu kepada murid TAJ, tetapi turut membabitkan ibu bapa yang menyertai beberapa kategori disediakan.

Dalam pertandingan itu, TAJ Sekolah Agama (SA), Bukit Gambir muncul juara keseluruhan dan naib johan disandang TAJ SA Lughatil Arabiah, Tangkak, manakala TAJ SA Simpang 5, Pekan menduduki tempat ketiga.

25 Julai 2012

HARIAN METRO, 25 JULAI 2012: NASI AYAM PASAR TANI RAMADAN BUKIT GAMBIR


HARIAN METRO, 25 JULAI 2012: RELA BANTU POLIS TANGANI JENAYAH

Headline: Rela bantu polis tangani jenayah
Publication: HM
Date of publication: Jul 25, 2012
Section heading: Main Section
Page number: 037

LEDANG: Seramai 498 anggota Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (Rela) Mukim Bukit Gambir, di sini, terbabit dalam Program Rondaan Malam bagi membantu polis menangani dan mencegah jenayah.

Pegawai Rela Daerah Ledang, Mohd Al-Rashidy Amran berkata, program itu akan diperluaskan di seluruh daerah berkenaan dalam tempoh terdekat.

"Ia program yang mampu memberi manfaat kepada orang ramai. Kami harap kerjasama dengan polis ini dapat dikukuhkan lagi melalui program lain yang akan dirancang.

"Pada masa sama, program ini juga membantu mengurangkan indeks jenayah," katanya pada pelancaran Program Rondaan Malam dan taklimat keselamatan di Pusat Operasi Rela Mukim Bukit Gambir, semalam.

Pelancaran dilakukan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Gambir, M Asojan, manakala taklimat keselamatan disampaikan Ketua Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ledang, Asisten Superintendan Azmi Ali.

Turut hadir Ketua Perhubungan Rela Mukim Bukit Gambir, Mohd Yasir Mohed dan penolongnya, Lim Kim Yeow.

Pada masa sama, Al-Rashidy turut berharap lebih ramai anggota masyarakat menyertai Rela.

"Anggota Rela dibayar elaun dan dilindungi insurans ketika bertugas," katanya.

Sementara itu, Asojan berkata, setiap anggota Rela perlu mempunyai jati diri dan disiplin tinggi kerana ia mencerminkan semangat serta sikap sebenar mereka dalam pasukan.

HARIAN METRO, 25 JULAI 2012: TERAP AMALAN BERPANDU AGAMA

Headline: Terap amalan berpandu agama
Publication: HM
Date of publication: Jul 25, 2012
Section heading: Main Section
Page number: 037
Byline / Author: Oleh Hai Rozzaman Jalal

LEDANG: Lima bayi menyertai majlis bercukur pada program Pengamalan Modul Keluarga Sakinah anjuran Yayasan Pembangunan Keluarga Darul Takzim (YPKDT) Daerah Ledang di Surau Al-Redha, Kampung Parit Jarum Darat, Bukit Gambir di sini, kelmarin.

Program anjuran bersama Jawatankuasa Surau Al-Redha dan Umno Cawangan Parit Jarum Darat itu dimulakan dengan perarakan peserta sambil selawat menuju ke surau berkenaan.

Majlis bercukur mengikut modul Keluarga Sakinah itu dilaksanakan Penggerak Keluarga Sakinah Dewan Undangan Negeri (DUN) Gambir, Mohamad Amin Apah.

Mengikut modul itu, rambut bayi yang dicukur ditimbang dan dinilai dengan harga pasaran emas semasa sebelum wangnya disedekahkan kepada golongan miskin.

Pengerusi Surau Al-Redha, Saad Adnan berkata, selain mencukur rambut bayi, majlis akikah turut diadakan selain penyerahan taklif ibu bapa kepada 23 remaja yang sudah akil baligh.

"Melalui pendekatan mengikut modul Keluarga Sakinah, masyarakat Islam dapat mengetahui dengan lebih mendalam berkaitan amalan yang betul berpandukan agama bukan mengikut adat yang dilakukan masyarakat terdahulu.

"Masyarakat kampung dapat memahami modul sebenar berkaitan kaedah mencukur rambut bayi di mana sebelum ini mereka mengamalkan adat potong jambul yang bercampur dengan budaya agama lain.

"Amalan mencukur rambut pada hari ketujuh selepas kelahiran sebagaimana terkandung dalam Modul Keluarga Sakinah mempunyai hikmah dari segi kesihatan dan kemasyarakatan," katanya.

Program itu dirasmikan Pegawai Daerah Ledang, Ab Han Ramin dan turut dihadiri Pegawai Tadbir YPKDT Ledang, Aisyah 'Izzaty Mohd Isnin serta Ketua Kampung Parit Haji Idris, Ismail Sitam.

Ab Han dalam ucapannya berkata, Modul Keluarga Sakinah banyak memberi kefahaman kepada masyarakat.

"Modul itu cukup lengkap sebagai panduan umat Islam khasnya ibu bapa dalam membuat persediaan bermula daripada kelahiran bayi, alam kanak-kanak hinggalah ke alam remaja.

"Corak didikan yang betul berteraskan agama perlu diterapkan terhadap anak sejak awal lagi dan Modul Keluarga Sakinah mampu mendidik mereka menjadi generasi pelapis yang berilmu," katanya.

24 Mei 2012

HARIAN METRO, 24 MEI 2012: KERJASAMA BERSIH KUBUR


Headline: Kerjasama bersih kubur
Publication: HM
Date of publication: May 24, 2012
Section heading: Main Section
Page number: 038
LEDANG: Lebih 150 penduduk serta 60 anggota Briged Waqaf Johor Corporation (JCorp) bergotong-royong membersihkan Tanah Perkuburan Islam Serom 8 dan Surau Omar Hassan di Kampung Serom 8, di sini, baru-baru ini.

Pengerusi jawatankuasa kampung itu, Ithnin Kassim berkata, program berkenaan anjuran bersama JCorp dan Pejabat Agama Daerah Ledang.

"Tanah perkuburan seluas empat hektar ini tempat persemadian jenazah penduduk Kampung Serom 5, 6 dan 8 serta Seri Jaya, Parit Pulai, Parit Bunga Raya Hujung juga Simpang 5 Darat.

"Peserta menyertai majlis tahlil sebelum bergotong-royong membersihkan kawasan persekitaran kubur selain mengecat batu nesan," katanya.

Program dirasmikan Ahli Parlimen Ledang, Hamim Samuri dan dihadiri Kadi Daerah Ledang, Sulaiman Maidin; Pengurus Besar Jabatan Khidmat Hartanah JCorp, Shamsudin Md Yunos; Pengerusi Sahabat Dakwah Daerah Ledang, Ab Majid Mistam dan Ketua Kampung Serom 8, Amjah Marzuki.

Selain membersihkan tanah perkuburan, anggota Briged Waqaf JCorp turut membantu membersih dan mengecat Surau Omar Hassan selain membersihkan kawasan persekitaran kampung berkenaan.

17 Mei 2012

HARIAN METRO, 17 MEI 2012: KATIL GANTI TILAM NIPIS

Headline: Katil ganti tilam nipis
Publication: HM
Date of publication: May 17, 2012
Section heading: Main Section
Page number: 041
Byline / Author: Oleh Hai Rozzaman Jalal

LEDANG: Kehidupan harian sepasang suami isteri warga emas di Kampung Anjung Batu, Tangkak di sini, kini lebih selesa apabila mereka mampu tidur di atas katil selain diberikan bantuan kerusi roda, baru-baru ini.

Sebelum ini, Samat Marhaban, 82 dan isteri, Tah Atan, 68, hanya tidur beralaskan tikar dan tilam nipis di atas lantai dan pada masa sama, pergerakan Tah terbatas akibat sakit kaki dialaminya.

Penyelia Perhubungan Parlimen Kemas Ledang, Norhiah Mohd Said berkata, keadaan sekeliling rumah Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) didiami pasangan itu sejak 2000 pula dipenuhi barangan lusuh dan terpakai yang dikutip menjadikannya semak serta tidak terurus.

"Sehubungan itu, Jabatan Kemajuan Masyarakat Daerah Ledang, Pergerakan Pemuda dan Wanita Umno Bahagian Ledang serta Kelab Sepak Takraw Seri Tanjung, Tangkak yang simpati dengan keadaan warga emas berkenaan tampil membersihkan kediaman terbabit.

"Selain membersih, kami turut membasuh bahagian dalam rumah serta mengecatnya," katanya.

Hadir sama Ahli Parlimen Ledang, Hamim Samuri, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tangkak, Goh Tee Tee; Ketua Pergerakan Pemuda Umno Bahagian Ledang, Zaidi Abd Majid dan Ketua Umno Cawangan Anjung Batu, Abu Othman.

Sementara itu, Hamim berkata, pihaknya turut menyumbangkan sebuah kerusi roda serta membaik pulih pendawaian elektrik rumah berkenaan.

"Bagi memberi keselesaan kepada pasangan ini, Goh turut menyumbangkan katil, tilam, tikar getah dan perabot untuk kegunaan mereka.

"Pada masa sama, pasangan ini turut menerima bantuan daripada Majlis Agama Islam Johor (Maij) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM300 setiap bulan sejak lima tahun lalu," katanya.

Hamim berharap, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tempatan di daerah berkenaan sedia tampil membantu sekiranya terdapat warga emas atau golongan kurang berkemampuan.

16 Mei 2012

HARIAN METRO, 16 MEI 2012: 'TAK PERLU KONGSI MOTOR'


Headline: `Tak perlu kongsi motor'
Publication: HM
Date of publication: May 16, 2012
Section heading: Main Section
Page number: 025

LEDANG: "Saya tidak perlu berkongsi motosikal lagi dengan adik-beradik untuk berulang ke tempat kerja," kata kakitangan Hospital Tangkak, Mohd Izuddin Mohamad Shukor, 28, yang memenangi motosikal Honda EX5 pada cabutan bertuah sempena Kembara Mahkota Johor (KMJ) 2012 di Kampung Kesang Tasek, Sungai Mati, di sini, semalam.

Izuddin berkata, lebih menggembirakan, hadiah berkenaan disampaikan sendiri Sultan Johor, Sultan Ibrahim ibni Almarhum Sultan Iskandar.

Katanya, kurniaan motosikal itu menjadi hadiah cukup bermakna baginya yang sebelum ini terpaksa berkongsi motosikal dengan adik-beradik lain.

"Syukur, dengan hadiah ini, saya dapat berulang dari rumah di Muar untuk ke tempat kerja di Tangkak," katanya.

HARIAN METRO, 16 MEI 2012: PERENCAH MI BANDUNG DALAM PEK

Headline: Perencah mi bandung dalam pek
Publication: HM
Date of publication: May 16, 2012
Section heading: Main Section
Page number: 027

LEDANG: Keenakan mi bandung Muar mendorong Mohamad Zain Solihin, 47, menghasilkan perencah segera dalam bentuk pek secara komersial.

Pengalaman diperoleh ketika berniaga kecil-kecilan selepas tamat persekolahan menimbulkan minat Mohamad Zain untuk memiliki perniagaan dengan produk jenama sendiri.

Bermodalkan RM6,000, Zain yang juga anak jati Kampung Parit Jarum Tengah, Bukit Gambir memulakan perniagaan memproses perencah mi bandung, mi rebus dan soto sejak 2004.

"Saya memulakan perniagaan ini dengan isteri, Siti Zubaidah Mohamad yang berumur 45 tahun. Dengan menggunakan jenama Demuara, kami dibantu sembilan kakitangan untuk menjayakannya.

"Saya menggunakan resipi sendiri untuk menghasilkan semua perencah berkenaan dan syukur, ia mendapat sambutan menggalakkan," katanya ketika ditemui di kilang Demuara Enterprise di Jalan Raja, Parit Jarum Tengah semalam.

Bapa kepada lima anak itu berkata, selain membeli sendiri peralatan memproses perencah, Jabatan Pertanian dan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) turut menyalurkan bantuan mesin di bawah program industri kecil dan sederhana (IKS).

Katanya, ketiga-tiga perencah Demuara itu bukan setakat dipasarkan di kedai runcit dan pasar raya di sekitar daerah berkenaan malah turut diedarkan ke seluruh Johor, Melaka, Negeri Sembilan, Kuala Lumpur dan Selangor.

"Hampir 20 tan perencah Demuara dihasilkan sepanjang 2011 dan kami merancang menambah pengeluaran sehingga tiga tan pada setiap bulan pada masa depan.

"Pada masa sama, kami juga bersyukur kerana berjaya memberi peluang pekerjaan kepada penduduk setempat melalui perniagaan ini," katanya yang turut mendapat bimbingan daripada Jabatan Pertanian Daerah Ledang.

Menurut Zain, selain memasarkan perencah Demuara ke kedai runcit atau pasar raya, pihaknya turut menerima pesanan secara atas talian dan penghantaran dilakukan menggunakan kurier ke seluruh negara termasuk Sabah, Sarawak dan Singapura.

08 Mei 2012

HARIAN METRO 08 MEI 2012: 600 SERTAI KAYUH BASIKAL 1MALAYSIA

Headline: 600 sertai kayuh basikal 1Malaysia
Publication: HM
Date of publication: May 8, 2012
Section heading: Main Section
Page number: 022
Byline / Author: Oleh Hai Rozzaman Jalal

LEDANG: Seramai 600 peminat sukan berbasikal dari seluruh negara menyertai Karnival Kayuhan 1Malaysia Johor sempena sambutan Hari Pekerja di Dataran Dewan Serbaguna Bukit Gambir, baru-baru ini.

Karnival anjuran Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) Johor dengan kerjasama Jawatankuasa Penyelarasan Mukim-mukim (JPMM) Dewan Undangan Negeri (DUN) Gambir itu bertujuan menghargai sambutan Hari Pekerja, selain memupuk gaya hidup sihat dalam kalangan penduduk.

Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Sumber Manusia, Sains, Teknologi Dan Inovasi Johor, M Asojan berkata, semua peserta memulakan kayuhan dari Dataran Dewan Serbaguna Bukit Gambir menuju Dataran Pulau Penarik, Sungai Mati.

"Pelepasan kali kedua menyaksikan peserta bermula dari Sungai Mati ke Tangkak yang dilepaskan Ahli Parlimen Ledang, Datuk Hamim Samuri.

"Mereka berehat di pekan Sagil sebelum Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tangkak, Goh Tee Tee dan Adun Bukit Serampang, Tahir Md Taat melakukan pelepasan terakhir iaitu peserta berkayuh semula ke Bukit Gambir.

"Semua peserta membuat kayuhan sejauh 50 kilometer dengan penuh bersemangat dan karnival diserikan dengan penyertaan bekas pelumba negara, M Kumaresan," katanya yang melakukan pelepasan di Dataran Dewan Serbaguna Bukit Gambir di sini.

Majlis penutupan karnival itu disempurnakan Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman di Dataran Dewan Serbaguna Bukit Gambir di sini.

Asojan berkata, bagi merancakkan karnival itu, pelbagai aktiviti diadakan termasuk lumba basikal, pertunjukan basikal BMX, pertandingan mewarna kanak-kanak, karaoke dan pameran beberapa agensi kerajaan.

Menurutnya, pertandingan lumba basikal diadakan di Jalan Gambir 6 dan 7, Bandar Baru Bukit Gambir yang berjaya menarik perhatian penduduk.

"Kami tidak sangka karnival ini menerima sambutan luar jangkaan termasuk peminat sukan berbasikal dari Selangor, Terengganu, Perak, Perlis dan Melaka.

"Menerusi karnival ini, kami yakin mampu menjalinkan persahabatan antara peserta negeri ini dan luar.

"Berikutan itu, kami berharap dapat mengadakan karnival sama pada masa akan datang," katanya.

04 Mei 2012

HARIAN METRO 04 MEI 2012: 38 BEKAS POLIS TERIMA SUMBANGAN

Headline: 38 bekas polis terima sumbangan
Publication: HM
Date of publication: May 4, 2012
Section heading: Main Section
Page number: 043

LEDANG: Seramai 38 bekas polis zaman darurat dan balu mereka menerima sumbangan sagu hati khas kerajaan pada satu majlis di Balai Polis Bukit Gambir, baru-baru ini.

Sumbangan cek bernilai RM3,000 seorang itu disampaikan Timbalan Ketua Polis Daerah Ledang, Deputi Superintendan Muhammad Salleh Abd Razak.

Muhammad Salleh berkata, semua penerima terbabit sebahagian bekas polis zaman darurat di seluruh negara yang layak menerima sumbangan sagu hati hasil keprihatinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Beliau berkata, sumbangan itu bukan saja bagi menghargai pengorbanan bekas polis terbabit, malah dapat sedikit sebanyak meringankan beban mereka.

"Kerajaan menghargai jasa bekas polis yang berjuang ketika zaman darurat kerana mereka sanggup berkorban demi menjaga keamanan negara," katanya dalam ucapan sebelum menyampaikan sumbangan kepada semua penerima terbabit.

Seorang penerima, A'sah Kaimi, 77, balu kepada Abdullah Sies yang berkhidmat sebagai anggota Home Guard dari 1942 hingga 1945 berkata, dia terharu kerana kerajaan masih menghargai pengorbanan arwah suaminya.

Menurutnya, arwah suaminya menyertai Home Guard bagi membantu pasukan keselamatan menjaga keselamatan kampung daripada ancaman komunis.

"Sumbangan ini amat bermakna bagi keluarga kami apabila jasa arwah dihargai kerajaan biarpun dia meninggal dunia pada 1987.

"Saya bersyukur dan terharu. Semoga apa dilakukan kerajaan ini mendapat balasan baik," katanya ditemani anak lelakinya, Ibrahim Abdullah, 56.

Seorang lagi penerima, Koo Yaw Koui, 51, berkata sumbangan itu akan digunakan untuk keperluan ibunya, Tay Mui Hian, 91, yang terlantar akibat sakit tua di di Jalan Poh Ai.

HARIAN METRO 04 MEI 2012: KEMPEN CAT BANGUNAN CERIAKAN TANGKAK


Headline: Kempen cat bangunan ceriakan Tangkak
Publication: HM
Date of publication: May 4, 2012
Section heading: Metro Plus
Page number: 001
Byline / Author: Oleh Hai Rozzaman Jalal

LEDANG: Bandar Tangkak bakal menjadi lebih ceria dan menarik menerusi kempen mengecat bangunan dan premis perniagaan yang dijalankan Majlis Daerah Tangkak (MDT).

Yang Dipertuanya, Ab Han Ramin berkata, kempen bermula awal Januari lalu itu satu langkah MDT menceria dan mengindahkan setiap bangunan serta premis perniagaan di daerah itu.

Katanya, setiap pemilik bangunan dan premis perniagaan di kawasan pentadbiran MDT diminta mengecat bangunan mereka dengan warna ditetapkan mengikut jalan atau pekan.

"Pelaksanaan kempen ini diharap dapat menceria dan mengindahkan bandar Tangkak dan pekan di Ledang yang menjadi salah satu destinasi pelancongan.

"Kami percaya melalui kempen ini, bangunan dicat dengan warna seragam dapat menarik perhatian pengunjung sekali gus meningkatkan ekonomi peniaga," katanya ketika ditemui di sini, baru-baru ini.

Ab Han berkata, pemilik bangunan dan premis perniagaan diberi masa selama dua bulan bagi melaksanakan kempen itu, malah MDT memberi kelonggaran kepada pemilik untuk melanjutkan tempoh sekiranya mereka belum mampu melaksanakannya.

Katanya, kerjasama antara MDT dengan pemilik bangunan dan agensi kerajaan lain di daerah membolehkan hasrat menjadikan bandar Tangkak dan pekan kecil di daerah ini ceria serta menarik sepanjang masa.

"Setakat ini, pemilik bangunan kedai di Jalan Muar, Jalan Payamas, Jalan Solok, Jalan Sialang dan jalan-jalan utama di bandar Tangkak sudah mengambil inisiatif mengecat premis mereka dengan warna seragam ditetapkan.

"Kami berharap pemilik bangunan di kawasan Bukit Gambir, Kundang Ulu, Gersik, Sagil, Serom, Sungai Mati dan Kesang menyahut kempen ini ," katanya.

02 Mei 2012

HARIAN METRO, 02 MEI 2012: KONGSI KEUNTUNGAN

Headline: Kongsi keuntungan
Publication: HM
Date of publication: May 2, 2012
Section heading: Main Section
Page number: 026
Byline / Author: Oleh Hai Rozzaman Jalal

LEDANG: Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia Negeri Johor (PKMMNJ) Daerah Ledang menjalankan tanggungjawab sosialnya dengan menyalurkan sumbangan kepada beberapa pihak yang memerlukan bantuan.

Pengerusinya, Zabridin Ahmad berkata, persatuan ditubuhkan pada 2008 itu kini disertai 113 ahli selaku badan bukan kerajaan (NGO) Melayu yang beridentitikan perniagaan.

Katanya, nikmat yang diperoleh ahli persatuan dapat dikongsi bersama melalui aktiviti kebajikan dengan membantu golongan yang memerlukan selain mengeluarkan zakat.

"Sejak penubuhan PKMMNJ di daerah ini, kami sentiasa peka dengan menjalinkan hubungan silaturahim bersama masyarakat sekeliling melalui program kebajikan yang dirancang sepanjang tahun.

"Empat tahun berturut-turut kami menyalurkan sumbangan Tabung Kecemerlangan Pelajar Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) kepada sekolah terpilih bagi meningkatkan kecemerlangan pelajar yang menduduki peperiksaan itu," katanya ketika berucap pada majlis Makan Malam PKMMNJ Daerah Ledang serta Perasmian Penubuhan dan Mesyuarat Agung Tahunan Pertama Koperasi Kontraktor dan Usahawan Melayu Ledang Berhad (Kopmel) di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim, dekat Tangkak.

Majlis itu dirasmikan Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman dan turut dihadiri Ahli Parlimen Ledang, Hamim Samuri; Ahli Dewan Negara, Senator Ahamat Yusop serta Yang Dipertua PKMMNJ, Mahmood Amir.

Zabridin berkata, pada penghujung 2010, persatuan menubuhkan Kopmel sebagai usaha memberi pulangan kepada ahli atas pelaburan yang dibuat dan berharap usahawan di Ledang terus maju dalam perniagaan.

Pada majlis itu, PKMMNJ Daerah Ledang turut menyampaikan sumbangan RM5,000 kepada Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) Tangkak, Tabung Kecemerlangan UPSR Sekolah Kebangsaan Parit Bunga (RM3,000), Pertubuhan Kebajikan Anak-Anak Yatim Islam (PKAYIL) Ledang (RM3,000) dan Pusat Penjagaan Warga Emas Nur Ehsan 2, Parit Bunga (RM2,500).

Sementara itu, Abdul Ghani mempelawa ahli PKMMNJ di negeri ini menyertai projek membina penempatan semula untuk 2,000 keluarga di Pengerang yang terbabit pembangunan hab minyak dan gas.

Katanya, kerajaan negeri diberi tanggungjawab untuk membina penempatan bagi memindahkan keluarga yang terbabit projek itu di atas tanah seluas 202 hektar.

Menurutnya, projek penempatan itu perlu disiapkan menjelang Mac 2013.