21 April 2010

HARIAN METRO 21 APRIL 2010: TERKEJUT TERIMA NOTIS KOMPAUN


Headline: Terkejut terima notis kompaun
Publication: HM
Date of publication: Apr 21, 2010
Section heading: Main Section
Page number: 027
Byline / Author: Oleh Hai Rozzaman Jalal


LEDANG: Dia tidak pernah ke bandar Melaka menaiki motosikal tetapi mendapat notis kompaun pula.

Demikian dilema dialami Muhammad Zaini Abu Bakar, 36, yang terkejut apabila menerima surat notis tunggakan kompaun letak kenderaan yang dihantar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) pada 17 April lalu kerana kesalahan tidak mempamerkan kupon letak kereta setahun lalu.

Menurut pemandu lori yang tinggal di Kampung Parit Kassan, Bukit Gambir, di sini, lebih membimbangkan beliau jika kompaun sebanyak RM50 itu tidak dijelaskan dalam tempoh 14 hari dari tarikh notis itu dihantar, pihak MBMB akan mengambil tindakan mahkamah tanpa sebarang notis lanjut.

Namun begitu, setelah diteliti kandungan surat itu, Muhammad Zaini mendapati nombor pendaftaran kenderaan yang tertera JFM7683 adalah milik motosikalnya sedangkan notis kompaun itu menyatakan kesalahan tidak mempamerkan kupon letak kereta yang dikeluarkan pada 20 Januari 2009.

"Apa yang menjadi kemusykilan saya ialah kenapa kompaun itu mempamerkan nombor pendaftaran motosikal saya sedangkan saya tidak pernah ke Melaka menaiki motosikal.

"Malah, ia kesalahan membabitkan tempat letak kereta bukannya motosikal sebagaimana keterangan dalam surat yang dihantar," katanya di sini, semalam.

Muhammad Zaini yang tidak berpuas hati mengunjungi pejabat MBMB untuk meminta penjelasan mengenai notis tunggakan kompaun terbabit termasuk membawa geran motosikal dan laporan polis juga sudah dibuatnya.

Menurutnya, seorang pegawai di Jabatan Pengurusan Sistem Letak Kereta pihak berkuasa tempatan (PBT) itu mengeluarkan salinan gambar kenderaan yang disaman atas kesalahan tidak mempamerkan kupon letak kereta dan didapati ia sebuah kereta Proton Iswara dengan nombor pendaftaran JFM7983 sedangkan motosikal miliknya bernombor JFM7683.

Katanya, pegawai itu juga sudah mengakui kesilapan pihaknya dan membatalkan kompaun itu serta berjanji lebih teliti pada masa akan datang supaya kesilapan seumpama itu tidak berulang.

Muhammad Zaini melahirkan kesalnya kerana disebabkan perbezaan satu nombor yang jelas tertera dalam gambar yang mereka ambil, menyusahkan beliau yang terpaksa meninggalkan tugasnya serta mengeluarkan perbelanjaan tambahan semata-mata untuk menyelesaikan perkara itu.