24 Mac 2012

HARIAN METRO 24 MAC 2012: 12 KELUARGA TERIMA BANTUAN


Headline: 12 keluarga terima bantuan
Publication: HM
Date of publication: Mar 24, 2012
Section heading: Main Section
Page number: 042

LEDANG: Semua 12 keluarga mangsa ribut di Kampung Sawah Ring, di sini, akan menerima bantuan kecemasan menerusi Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Ledang dan Baitulmal Majlis Agama Islam Johor (Maij) bagi meringankan beban mereka.

Ahli Parlimen Ledang, Hamim Samuri berkata, bantuan itu bagi membantu mangsa ribut membaiki kerosakan rumah dan mengganti peralatan musnah akibat bencana itu.

Katanya, mangsa perlu bersabar dengan dugaan dan bersyukur kerana tiada sebarang kemalangan jiwa berlaku.

"Kami bersimpati dengan nasib keluarga terbabit kerana akibat ribut, rumah mereka rosak teruk menyebabkan mereka kini terpaksa menumpang di balai raya," katanya.

23 Mac 2012

HARIAN METRO 23 MAC 2012: BUMBUNG RUNTUH KETIKA SAMBUT HARI LAHIR


Headline: Bumbung runtuh ketika sambut hari lahir
Publication: HM
Date of publication: Mar 23, 2012
Section heading: Main Section
Page number: 061

LEDANG: Hasrat seorang wanita menikmati kek sempena sambutan ulang tahun kelahirannya ke-48 tahun, Selasa lalu, tidak kesampaian apabila ribut dan hujan lebat menyebabkan bumbung serta beranda rumahnya runtuh lalu menghempap kek berkenaan.

Dalam kejadian kira-kira jam 3.30 petang, Zaleha Yusak, 48, bersedia meraikan sambutan hari lahirnya di rumah di Jalan Benteng, Kampung Sawah Ring, dekat Bukit Gambir, sebelum tiba-tiba ribut kuat menyebabkan bumbung rumahnya runtuh.

Kejadian itu bukan saja merosakkan rumahnya, malah 11 rumah lain di kampung sama apabila bumbung rumah diterbangkan ribut selain dihempap pokok.

Zaleha berkata, ketika kejadian dia dalam perjalanan pulang ke rumah selepas dijemput suaminya, Othman Subari, 48.

"Apabila tiba di hadapan rumah, saya hanya mampu menangis melihat keadaan rumah, namun bersyukur tiada sebarang kejadian tidak diingini berlaku.

"Ini kali kedua rumah saya rosak dipukul ribut selepas kali pertama pada 2006. Bagaimanapun, jika dibandingkan kali ini lebih teruk," katanya ketika ditemui di rumahnya, dekat sini, semalam.

Sementara itu, Ketua Kampung Sawah Ring, Hussin Mohamed berkata, selain rumah penduduk, tiga warung menjual makanan, surau dan pondok menunggu bas mengalami kerosakan akibat ribut itu.

Katanya, mangsa ribut berkenaan kini ditempatkan di Balai Raya Sawah Ring buat sementara dan Jabatan Kebajikan Masyarakat Ledang sudah memberi bantuan segera seperti makanan dan selimut kepada mereka.

Menurutnya, Pegawai Daerah Ledang, Ab Han Ramin; Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Gambir, M Asojan; Penghulu Mukim Grisek, Ishak Abu Bakar dan wakil Ahli Parlimen Ledang, Hamim Samuri turut melawat mangsa serta menghulurkan bantuan.

11 Mac 2012

HARIAN METRO 10 MAC 2012: 5 MURID HARUM NAMA SEKOLAH DIIKTIRAF


Headline: 5 murid harum nama sekolah diiktiraf
Publication: HM
Date of publication: Mar 10, 2012
Section heading: Main Section
Page number: 034

LEDANG: Lima murid Sekolah Kebangsaan (SK) Simpang 5 Darat menerima hadiah galakan atas kejayaan mereka mengharumkan nama sekolah dengan mencatat pencapaian cemerlang dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) tahun lalu.

Ahli Parlimen Ledang, Hamim Samuri berkata, kerjasama antara sekolah dan ibu bapa membantu kecemerlangan murid dalam pelajaran.

Katanya, penguasaan ilmu bermula dari peringkat sekolah rendah dan perlu dipertingkatkan dari semasa ke semasa untuk membina kecemerlangan.

"Sekolah menjadi tempat bermulanya segala kemajuan dengan penguasaan ilmu diperoleh murid di peringkat rendah dikembangkan hingga ke peringkat lebih tinggi.

"Ilmu dituntut perlu dimanfaatkan untuk kemajuan dan kebajikan masyarakat setempat selain menjadikannya sebagai sumber ilmiah bagi menjalani kehidupan penuh cabaran.

"Saya berharap hadiah ini menjadi pembakar semangat dan rangsangan mereka belajar bersungguh-sungguh," katanya pada majlis sumbangan hadiah sempena Mesyuarat Agung Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SK Simpang 5 Darat kali ke-37, kelmarin.

Hadir sama, Yang Dipertua PIBG, Mohd Noh Abd Montalib serta Guru Besar, Mansor Tahir.

08 Mac 2012

HARIAN METRO 08 MAC 2012: PROMOSI KHAMIS DITERUSKAN


Headline: Promosi Khamis diteruskan
Publication: HM
Date of publication: Mar 8, 2012
Section heading: Main Section
Page number: 033

LEDANG: Pengurusan Kompleks Pasar Tani Kekal Bukit Gambir di sini, meneruskan Program Promosi Hari Khamis yang diperkenalkan sejak tahun lalu yang disertai 31 pengusaha bagi mempromosikan barangan dijual kepada orang ramai dengan harga rendah.

Usaha itu dilakukan hasil kejayaan menarik ramai pengunjung apabila menawarkan pelbagai produk baru kepada pelanggan dengan harga berpatutan.

Ahli Jawatankuasa Biro Promosinya, Royhamirul Elias berkata, promosi setiap Khamis itu sebahagian usaha menarik lebih ramai pengguna berbelanja dan mendapatkan barangan keperluan harian selain perkhidmatan disediakan di premis berkenaan.

Menurutnya, tahun ini promosi itu diubah suai berbanding tahun lalu apabila beberapa peniaga mengambil bahagian setiap minggu, tetapi kali ini hanya satu premis memperkenalkan barangan dan dijual kepada orang ramai dengan harga lebih murah berbanding biasa.

"Premis yang memperkenalkan produk mereka sempena promosi itu akan memberikan diskaun kepada pelanggan selain menaja beberapa baucar sebagai hadiah kuiz diadakan.

"Pengunjung yang memenangi baucar boleh menukarkannya di premis yang menaja promosi pada hari berkenaan dan dimaklumkan beberapa premis lain akan menawarkan diskaun membabitkan barangan terpilih," katanya.

Katanya, promosi itu akan diadakan sepanjang tahun sebagai usaha menarik lebih ramai pengunjung berbelanja selain membantu memperkenalkan perniagaan yang beroperasi di bangunan itu.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Sumber Manusia, Sains, Teknologi Dan Inovasi Johor, M Asojan berkata, peniaga perlu kreatif dan berdaya saing bagi mempromosikan barangan mereka bagi menghadapi persaingan peniaga asing.

06 Mac 2012

HARIAN METRO 05 MAC 2012: MASJID JAMEK AL TAKZIM SIAP


Headline: Masjid Jamek Al Takzim siap
Publication: HM
Date of publication: Mar 5, 2012
Section heading: Main Section
Page number: 025

LEDANG: Lebih 600 penduduk Kampung Simpang 5 Darat, Bukit Gambir gembira apabila masjid baru bernilai RM1.7 juta, Masjid Jamek Al Takzim yang dibina sejak Februari tahun lalu siap sepenuhnya.

Pengerusi masjid, Mohd Noh Abd Montalib, 71, berkata, dengan siapnya rumah ibadat itu, ia mampu memberi keselesaan kepada jemaah untuk beribadat serta menjalankan kegiatan keagamaan.

Katanya, masjid itu juga menjadi mercu tanda warga kampung berkenaan yang sebelum ini menggunakan rumah ibadat dibina daripada kayu.

"Ruang solat Masjid Jamek Al Takzim ini mampu menampung 500 jemaah pada satu-satu masa," katanya.