28 Disember 2010

BERITA HARIAN 28 DISEMBER 2010: MONYET CEROBOH

Headline: Monyet ceroboh
Publication: BH
Date of publication: Dec 28, 2010
Section heading: Sentral
Page number: 001
Byline / Author: Oleh Hai Rozzaman Jalal


LEDANG: Kehadiran berpuluh-puluh ekor monyet liar membimbangkan penduduk Kampung Parit Kassan dan beberapa kampung berdekatan, terutama golongan suri rumah apabila haiwan itu sering menceroboh persekitaran kediaman untuk mencari makanan.

Lebih membimbangkan apabila haiwan itu tidak lari ketika dihalau oleh wanita malah ada kalanya mengancam keselamatan mereka menyebabkan suri rumah kini berasa takut dengan kehadiran monyet liar itu.

Selain menyelongkar sampah untuk mencari makanan, monyet itu turut merosakkan tanaman penduduk, merosakkan lampu jalan dan ada ketikanya menceroboh masuk ke dalam rumah dan melarikan barangan dapur.

Suri rumah, Bariah Taib, 68, berkata kehadiran monyet liar itu tidak mengira waktu sama ada pagi, tengah hari atau petang untuk mendapatkan makanan di belakang rumah penduduk sama ada sisa makanan mahupun tanaman seperti pisang, ubi atau buah-buahan.

Katanya, walaupun dihalau hingga ke beberapa lapis kebun, haiwan itu tetap datang lagi untuk mencari makanan berikutan kebanyakan habitatnya telah ditebang dan ditanam semula menyebabkannya merayau hingga ke kediaman penduduk.

"Rasa bimbang untuk meninggalkan rumah jika anak atau jiran tiada untuk mengawasi kehadiran monyet itu khuatir haiwan liar itu akan memasuki rumah dan menyelongkar barangan dapur.

"Monyet liar ini tidak takut dengan orang perempuan, apabila dihalau ada ketikanya ia akan seperti menyergah kita menyebabkan saya takut dan bimbang monyet itu mencederakan kita," katanya di sini, semalam.

Pengerusi Surau 3 Parit Kassan, Zamri Ahmad, berkata lampu jalan berhampiran rumahnya baru-baru ini turut rosak apabila komponen lampu berkenaan bersepai menyebabkannya tidak menyala angkara monyet liar.

Katanya, monyet liar bertenggek di atas lampu jalan sambil memusing komponen lampu berkenaan hingga sebahagiannya tertanggal atau terpusing ke arah lain.

"Apabila komponen lampu jalan tertanggal, ia tidak menyala menyebabkan kawasan persekitaran jalan kampung berkenaan gelap pada waktu malam.

"Walaupun monyet liar yang bertenggek di atas lampu jalan dan talian elektrik dihalau oleh penduduk kampung, namun ia akan datang semula hingga menyebabkan kebimbangan kepada penduduk," katanya.

Tinjauan Edisi Johor mendapati monyet liar gemar bertenggek di atas talian elektrik berpenebat dan terdapat beberapa lampu jalan yang berubah arah kedudukannya angkara haiwan liar itu yang duduk di atas lampu berkenaan.

Penduduk kampung, Muslim Jasmin, 71, sanggup mengeluarkan sedikit modal untuk membeli patung harimau semata-mata untuk menakut-nakutkan monyet liar yang berkeliaran di sekitar rumahnya dan ternyata usaha itu berjaya mengusir haiwan liar berkenaan daripada merosakkan tanaman dan menghampiri kediamannya.