08 Februari 2011

BERITA HARIAN 8 FEBRUARI 2011: BAYI LEMAS PADA HARI JADI PERTAMA


Headline: Bayi lemas pada hari jadi pertama
Publication: BH
Date of publication: Feb 8, 2011
Section heading: Main Section
Page number: 009
Byline / Author: Oleh Hai Rozzaman Jalal


LEDANG: Seorang bayi berusia setahun yang baru belajar merangkak ditemui lemas, selepas dipercayai terjatuh ke dalam tangki air PVC di rumahnya di Kampung Parit Kassan, Bukit Gambir, petang kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 4.30 petang itu, Mohamad Azry Shah Kamaronzaman dikatakan merangkak keluar melalui pintu dapur mengikut abangnya yang keluar bermain di luar rumah.

Bapa mangsa, Kamaronzaman Samah, 41, berkata, ketika kejadian beliau berada di tempat kerjanya di Seri Melaka, Sengkang, dekat sini dan bergegas pulang apabila diberitahu mengenai kejadian menimpa anaknya.

Katanya, ketika kejadian, isterinya, Norezan Wok, 37, berada di ruang tamu rumah dan anaknya itu mungkin mengikut abangnya, Mohamad Faizul Shah, 9, keluar dari pintu dapur yang terbuka.

"Menyedari Azry tiada di dalam rumah, isteri saya bergegas keluar mencarinya sebelum menemuinya sudah tidak bernyawa di dalam tangki air berukuran 40 sentimeter (sm) tinggi dan ukur lilit 121 sm di luar rumah kami.

"Sejurus selepas kejadian, Azry dikejarkan ke klinik berhampiran oleh bapa saudaranya tetapi disahkan sudah meninggal dunia, " katanya ketika ditemui di rumahnya, semalam.

Kamaronzaman berkata, beliau tidak menyangka kejadian buruk itu menimpa anak kelimanya itu apatah lagi ia hari ulang tahun kelahirannya yang pertama, namun beliau tetap reda dengan apa yang berlaku.

Bapa saudara mangsa, Mohd Safie Samah, 37, berkata tangki itu berisi air disimpan untuk kegunaan harian berikutan bekalan air paip kerap terputus sejak beberapa hari lalu akibat banjir.

Katanya, mangsa mungkin memanjat baldi diletakkan berhampiran tangki itu lalu terjatuh ke dalamnya.

HARIAN METRO 8 FEBRUARI 2011: DIJEMPUT AJAL PADA HARI JADI


Headline: Dijemput ajal pada hari jadi
Publication: HM
Date of publication: Feb 8, 2011
Section heading: Main Section
Page number: 006
Byline / Author: Oleh Hai Rozzaman Jalal


LEDANG: "Sepatutnya semalam (kelmarin) kami menyambut ulang tahun kelahirannya yang genap setahun, namun Tuhan lebih menyayanginya dan dia pergi dulu meninggalkan kami buat selama-lamanya," kata Kamaronzaman Samah, 41, bapa kepada Mohamad Azry Shah, yang ditemui lemas selepas terjatuh ke dalam tong berisi air di rumah mereka di Kampung Parit Kassan, Bukit Gambir di sini, semalam.

Mengimbas kejadian kira-kira jam 4.30 petang kelmarin, Kamaronzaman yang bekerja sebagai pemandu lori berkata, isterinya, Norezan Wok, 37, berada di ruang tamu manakala anak bongsunya itu dikatakan merangkak mengikut abangnya, Mohamad Faizul Shah, 9.

"Faizul keluar melalui pintu dapur yang terbuka untuk bermain dan tanpa disangka, Azry merangkak mengekorinya.

"Apabila mendapati Azry tiada di dalam rumah, isteri bergegas mencarinya sebelum ditemui lemas dalam tong berisi air berkenaan," katanya.

Menurutnya, Norezan cuba menyelamatkannya namun anak bongsu daripada lima beradik itu gagal diselamatkan dan isterinya kemudian menghubunginya memaklumkan kejadian.

Dia yang berada di tempat kerja di Seri Melaka, Sengkang, dekat sini, bergegas pulang tetapi hanya mampu menatap jasad anak kesayangannya itu.

"Azry dikejarkan ke klinik berhampiran oleh adik saya tetapi dia gagal diselamatkan.

"Kami kini kehilangan penyeri keluarga, apa yang buat kami lebih terharu ialah Azry belum sempat memakai baju baru dibelikan Norezan sebagai hadiah ulang tahun kelahirannya," katanya yang reda dengan kejadian itu.

Bapa saudara Azry, Mohd Safie Samah, 37, berkata tong besar itu berisi air yang disimpan untuk kegunaan harian berikutan bekalan air paip terputus sejak beberapa hari lalu akibat banjir.

"Azry mungkin memanjat baldi yang terletak berhampiran tong itu lalu terjatuh ke dalamnya, dia mungkin hendak bermain dengan air dalam tong itu," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ledang, Superintendan Harun Idris ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

"Tiada unsur jenayah dalam kejadian dan jenazah mangsa dibawa ke Hospital Tangkak untuk bedah siasat sebelum dituntut ahli keluarga.

"Mangsa kemudian dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kundur, pagi tadi (semalam)," katanya.

BERITA HARIAN 07 FEBRUARI 2011: JUITA TAMPIL BANTU 140 KELUARGA