07 Julai 2014

BH, 07 JULAI 2014: MB TAK PERLU TUNDUK DESAKAN PEMIMPIN PKR

MB tak perlu tunduk desakan pemimpin PKR

Publication: BH
Date of publication: Jul 7, 2014
Section heading: Main Section
Page number: 009



Ledang: Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim tidak perlu tunduk kepada desakan segelintir pemimpin PKR yang meminta beliau meletak jawatan sebagai Menteri Besar Selangor.

Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Hamim Samuri, berkata Abdul Khalid harus bertanggungjawab terhadap amanah diberikan rakyat yang memilih beliau dalam pilihan raya.

Katanya, PKR tidak perlu campur tangan dalam urusan dan hal ehwal pentadbiran Selangor malah kepentingan rakyat Selangor seharusnya diutamakan.

"Isu dalaman PKR yang sedang huru-hara akibat pemilihan parti itu jangan diheret ke dalam pentadbiran kerajaan Selangor. Masalah PKR perlu diselesaikan di peringkat dalaman parti dan isu pertukaran Menteri Besar bukan satu perkara yang boleh diubah sesuka hati," katanya.

Hamim yang juga Ahli Parlimen Ledang berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Mesyuarat Pembangunan dan Prapelancaran Inap Desa Sagil di Pejabat Daerah Ledang, di sini, semalam.