17 September 2010

BERITA HARIAN 17 SEPTEMBER 2010: MARHABAN SERIKAN SAMBUTAN AIDILFITRI


Headline: Marhaban serikan sambutan Aidilfitri
Publication: BH
Date of publication: Sep 17, 2010
Section heading: Sentral
Page number: 006
Byline / Author: Oleh Hai Rozzaman Jalal


LEDANG: Amalan berkunjung dari rumah ke rumah sambil melakukan marhaban dan bermaaf-maafan masih sinonim di kalangan masyarakat luar bandar setiap kali sambutan Aidilfitri.

Bagi meneruskan tradisi itu, penduduk Kampung Parit Jarum Darat, Bukit Gambir di sini, tidak ketinggalan menghidupkan suasana Aidilfitri di kampung itu dengan mengadakan kunjungan ke rumah penduduk pada hari raya pertama dan kedua.

Ketua UMNO cawangan kampung itu, Saad Adnan, berkata amalan berkunjung atau ziarah menziarahi sempena Aidilfitri menjadi aktiviti utama penduduk bagi meneruskan kesinambungan itu untuk mengelakkan budaya itu hilang begitu saja.

Beliau berkata, kumpulan marhaban terdiri daripada semua peringkat umur khususnya golongan belia berpeluang mengunjungi rumah penduduk kampung dan bertemu dengan golongan lebih tua untuk bermaaf-maafan.

"Kumpulan marhaban kami mengunjungi 84 rumah di kampung ini sambil berselawat dan bermaaf-maafan dengan tujuan mengeratkan lagi silaturahim antara golongan muda dengan penduduk lebih tua.

"Kebanyakan golongan muda tidak tinggal di kampung kerana bekerja di bandar atau masih belajar, justeru, Aidilfitri ini memberi kesempatan kepada mereka untuk berkumpul dan berkunjung ke rumah sanak saudara di kampung," katanya.

Saad berkata, kumpulan marhaban diketuainya turut membawa tabung derma ke rumah dikunjungi bagi mengisi dana kewangan surau kampung itu.

Turut mengadakan kunjungan marhaban sempena Aidilfitri ialah kariah Surau 2, Kampung Parit Kassan yang melakukan aktiviti itu pada hari raya kedua dan ketiga dengan mengunjungi 90 rumah dalam kariah berkenaan.

Timbalan Pengerusinya, Zakaria Haiyun, berkata kunjungan dari rumah ke rumah sempena Aidilfitri dapat menjalin hubungan akrab sesama penduduk di kariah berkenaan selain bermaaf-maafan dengan golongan yang lebih tua.

HARIAN METRO 16 SEPTEMBER 2010: TRAGEDI KONVOI RAYA


Headline: Tragedi konvoi raya
Publication: HM
Date of publication: Sep 16, 2010
Section heading: Main Section
Page number: 032

LEDANG: Konvoi raya bermotosikal sekumpulan pelajar tahfiz berakhir dengan tragedi apabila seorang daripada mereka maut, manakala seorang lagi cedera parah akibat dirempuh sebuah lori di pekan Bukit Gambir, dekat sini, petang semalam.

Dalam kejadian kira-kira 4.30 petang itu, mangsa yang terkorban menunggang motosikal Modenas Kriss dikenali sebagai Muhammad Aliuddin Alidan, 17, dari Kampung Muhibbah, Batu Pahat dan belajar di Sekolah Maahad Tahfiz Al Muhammadi, Parit Medan dekat Kundang Ulu.

Muhammad Aliuddin meninggal dunia di tempat kejadian akibat parah di kepala, manakala rakannya, Nafis Mohamad, 17, cedera parah dan dihantar ke Hospital Tangkak.

Rakan mangsa, Ashiq Kamal, 16, berkata, ketika kejadian, mereka seramai tujuh orang menaiki empat motosikal secara konvoi untuk membuat kunjungan hari raya di rumah rakan di Bukit Gambir.

Katanya, mereka bertolak dari Peserai, Batu Pahat, sejak pagi sebelum singgah beraya di rumah rakan mereka di Parit Sulong dan Parit Haji Idris dekat Bukit Gambir.

Katanya, motosikal dinaiki mangsa cuba memotong di sebelah kiri jalan menyebabkan mangsa diseret lori berkenaan.

BERITA HARIAN 16 SEPTEMBER 2010: MAUT REMPUH LORI


Headline: Maut rempuh lori
Publication: BH
Date of publication: Sep 16, 2010
Section heading: Main Section
Page number: 008

LEDANG: Seorang pelajar lelaki berusia 17 tahun yang dalam perjalanan untuk beraya di rumah rakannya di Kampung Parit Raja, dekat Gersik maut manakala rakannya parah selepas motosikal yang mereka naiki merempuh sebuah lori di Pekan Bukit Gambir, dekat sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 4.30 petang itu, mangsa yang meninggal dunia adalah penunggang motosikal dikenali sebagai Muhammad Aliuddin Alidan, dari Kampung Muhibbah, Batu Pahat dan belajar di Sekolah Maahad Tahfiz Al Muhammadi, Parit Medan dekat Kundang Ulu.

Mangsa meninggal dunia di tempat kejadian selepas cedera parah di kepala. Rakannya, Nafis Mohamad juga berusia 17 tahun cedera parah.