Date of publication: Sep 17, 2010
Section heading: Sentral
Page number: 006
Byline / Author: Oleh Hai Rozzaman Jalal
LEDANG: Amalan berkunjung dari rumah ke rumah sambil melakukan marhaban dan bermaaf-maafan masih sinonim di kalangan masyarakat luar bandar setiap kali sambutan Aidilfitri.
Bagi meneruskan tradisi itu, penduduk Kampung Parit Jarum Darat, Bukit Gambir di sini, tidak ketinggalan menghidupkan suasana Aidilfitri di kampung itu dengan mengadakan kunjungan ke rumah penduduk pada hari raya pertama dan kedua.
Ketua UMNO cawangan kampung itu, Saad Adnan, berkata amalan berkunjung atau ziarah menziarahi sempena Aidilfitri menjadi aktiviti utama penduduk bagi meneruskan kesinambungan itu untuk mengelakkan budaya itu hilang begitu saja.
Beliau berkata, kumpulan marhaban terdiri daripada semua peringkat umur khususnya golongan belia berpeluang mengunjungi rumah penduduk kampung dan bertemu dengan golongan lebih tua untuk bermaaf-maafan.
"Kumpulan marhaban kami mengunjungi 84 rumah di kampung ini sambil berselawat dan bermaaf-maafan dengan tujuan mengeratkan lagi silaturahim antara golongan muda dengan penduduk lebih tua.
"Kebanyakan golongan muda tidak tinggal di kampung kerana bekerja di bandar atau masih belajar, justeru, Aidilfitri ini memberi kesempatan kepada mereka untuk berkumpul dan berkunjung ke rumah sanak saudara di kampung," katanya.
Saad berkata, kumpulan marhaban diketuainya turut membawa tabung derma ke rumah dikunjungi bagi mengisi dana kewangan surau kampung itu.
Turut mengadakan kunjungan marhaban sempena Aidilfitri ialah kariah Surau 2, Kampung Parit Kassan yang melakukan aktiviti itu pada hari raya kedua dan ketiga dengan mengunjungi 90 rumah dalam kariah berkenaan.
Timbalan Pengerusinya, Zakaria Haiyun, berkata kunjungan dari rumah ke rumah sempena Aidilfitri dapat menjalin hubungan akrab sesama penduduk di kariah berkenaan selain bermaaf-maafan dengan golongan yang lebih tua.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan