HAI ROZZAMAN JALAL | BERITA HARIAN
BUKIT GAMBIR: Kemeriahan Aidilfitri yang disambut oleh umat Islam berakhir dan kini tiba pula giliran penganut Hindu meraikan perayaan Deepavali.
Seperti kebanyakan para pemimpin lain, amalan mengadakan Rumah Terbuka mampu mengukuhkan lagi perpaduan kaum selain meraikannya bersama masyarakat setempat.
Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Sumber Manusia, Sains, Teknologi dan Inovasi negeri, M Asojan tidak ketinggalan mengadakan majlis Rumah Terbuka Deepavali di Dewan Serbaguna Bukit Gambir.
Asojan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Gambir berkata, rumah terbuka yang diadakannya dengan kerjasama Jawatankuasa Penyelaras Mukim-mukim (JPMM) DUN Gambir itu juga bertujuan mengeratkan lagi perpaduan semua kaum dalam kawasan itu.
“Kehadiran pelbagai kaum di rumah terbuka ini mampu menyerlahkan semangat perpaduan sebagaimana yang disarankan oleh Perdana Menteri melalui gagasan 1Malaysia.
“Sejak menjadi wakil rakyat di sini bermakna lima kali rumah terbuka Deepavali saya dan keluarga adakan untuk dirayakan bersama-sama penduduk setempat di kawasan ini,” katanya.
Hadir sama pada majlis itu, Ahli Parlimen Ledang, Hamim Samuri, Pentadbir Tanah Daerah Ledang, Ab Han Ramin, Penghulu Mukim Grisek, Ishak Abu Bakar serta pemimpin-pemimpin parti komponen Barisan Nasional dalam Parlimen Ledang.
Lebih 2000 orang mengunjungi rumah terbuka itu yang turut menyediakan pelbagai juadah seperti nasi beriani, tosei, putumayam, cendol dan aiskrim di samping dihiburkan dengan nyanyian.
Sementara itu Hamim menyifatkan penganjuran rumah terbuka seumpama itu dapat mengukuhkan perpaduan di kalangan masyarakat berbilang kaum khususnya di sekitar DUN Gambir dan Parlimen Ledang amnya.
Katanya lagi masyarakat di peringkat akar umbi berpeluang bertemu dengan pemimpin mereka sambil beramah mesra dan menyuarakan masalah yang dihadapi.
::BERITA HARIAN::22OKTOBER2009::
Tiada ulasan:
Catat Ulasan