07 Julai 2011

BERITA HARIAN 07 JULAI 2011: PENDUDUK KHUATIR POKOK TIMPA RUMAH

Headline: Penduduk khuatir pokok timpa rumah
Publication: BH
Date of publication: Jul 7, 2011
Section heading: Main Section
Page number: 018


LEDANG: Lebih 1,000 penduduk Taman Serom Utama dekat Sungai Mati di sini, bimbang dengan keselamatan mereka berikutan terdapat pokok peneduh yang ditanam berhampiran jalan serta rumah kediaman mereka semakin membesar dan dikhuatiri tumbang.

Mereka meminta pihak berkuasa tempatan (PBT) menebang pokok besar berkenaan bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingini seperti pokok tumbang jika berlaku hujan ribut yang boleh mengancam keselamatan penduduk.

Setiausaha Badan Kebajikan Penduduk Taman Serom Utama, Mustafa Othman, 45, berkata pokok yang ditanam sebagai peneduh itu semakin membesar dan dahannya merimbun ke jalan serta talian elektrik.

Katanya, kedudukan pokok terbabit yang berhampiran rumah penduduk dan jalan terutama di Jalan Satria 2A, Satria 5A, Satria 7A dan Satria 16 itu turut memberi kesan terhadap struktur jalan dan kediaman mereka.

"Ada rumah penduduk yang lantainya pecah, manakala jalan rosak angkara akar pokok berkenaan yang menjalar ke kawasan kediaman dan menyebabkan struktur jalan merekah.

"Kawasan yang teruk di Jalan Satria 2A di mana jalan berkenaan rosak manakala dahan pokok berkenaan menghala ke jalan yang menimbulkan kebimbangan pengguna dan penduduk yang melaluinya, " katanya.

Mustafa berkata, permohonan kepada PBT bagi menebang pokok berkenaan telah dikemukakan pada April lalu namun sehingga kini masih belum ada perkembangannya.

Ahli Jawatankuasa Badan Kebajikan Penduduk, Shamsudin Abu Bakar, 39, berkata dahan yang merimbun turut menutupi lampu jalan di sepanjang laluan berkenaan menyebabkan kawasan itu gelap pada waktu malam.

Katanya, terdapat juga dahan yang bergesel dengan talian elektrik dan perlu dicantas bagi mengelakkan berlaku litar pintas yang berbahaya kepada pengguna atau penduduk yang tinggal berhampiran.

"Penduduk sentiasa berada dalam kebimbangan terutama apabila hujan lebat serta ribut khuatir pokok berkenaan tumbang dan menimpa kediaman mereka.

"Kami berharap pihak yang berkenaan dapat mencantas dahan yang menutupi lampu jalan atau merimbun di talian elektrik dan menebang pokok peneduh yang semakin membesar demi keselamatan penduduk," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan