Date of publication: Nov 2, 2011
Section heading: Main Section
Page number: 029
LEDANG: Usaha mendekati warga tua, orang kelainan upaya (OKU) dan ibu tunggal menerusi program Pautan Kasih oleh Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Sawah Ring di Mukim Grisek di sini, mampu dijadikan medan untuk menyelami permasalahan dihadapi golongan berkenaan.
Pengerusinya, Hussin Mohamed berkata, program itu juga dapat merapatkan silaturahim kepemimpinan kampung dengan penduduk setempat apatah lagi dengan penyertaan jabatan kerajaan yang turut meninjau permasalahan dihadapi golongan berkenaan.
"Kami dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) Daerah Ledang mengadakan program ini bagi mendekati kumpulan sasar bagi beramah mesra selain menyalurkan bantuan kepada mereka.
"Program ini membolehkan JKKK dan Kemas menyelami serta mengetahui masalah dihadapi golongan berkenaan untuk tindakan susulan," katanya, semalam.
Turut hadir, Penyelia Kemas Daerah Ledang, Haliza Jabit dan Setiausaha JKKK, Wira Pairan.
Menurut Hussin, melalui program itu, pihaknya berjaya mengenal pasti 10 penduduk yang perlu diberikan bantuan sara hidup berupa barangan keperluan harian.
"Sudah menjadi tanggungjawab kami mengenal pasti mereka yang perlu dibantu. Kami turut berterima kasih kepada agensi kerajaan dan pihak berkaitan yang banyak menghulurkan bantuan kepada individu memerlukan itu," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan