08 Mac 2012

HARIAN METRO 08 MAC 2012: PROMOSI KHAMIS DITERUSKAN


Headline: Promosi Khamis diteruskan
Publication: HM
Date of publication: Mar 8, 2012
Section heading: Main Section
Page number: 033

LEDANG: Pengurusan Kompleks Pasar Tani Kekal Bukit Gambir di sini, meneruskan Program Promosi Hari Khamis yang diperkenalkan sejak tahun lalu yang disertai 31 pengusaha bagi mempromosikan barangan dijual kepada orang ramai dengan harga rendah.

Usaha itu dilakukan hasil kejayaan menarik ramai pengunjung apabila menawarkan pelbagai produk baru kepada pelanggan dengan harga berpatutan.

Ahli Jawatankuasa Biro Promosinya, Royhamirul Elias berkata, promosi setiap Khamis itu sebahagian usaha menarik lebih ramai pengguna berbelanja dan mendapatkan barangan keperluan harian selain perkhidmatan disediakan di premis berkenaan.

Menurutnya, tahun ini promosi itu diubah suai berbanding tahun lalu apabila beberapa peniaga mengambil bahagian setiap minggu, tetapi kali ini hanya satu premis memperkenalkan barangan dan dijual kepada orang ramai dengan harga lebih murah berbanding biasa.

"Premis yang memperkenalkan produk mereka sempena promosi itu akan memberikan diskaun kepada pelanggan selain menaja beberapa baucar sebagai hadiah kuiz diadakan.

"Pengunjung yang memenangi baucar boleh menukarkannya di premis yang menaja promosi pada hari berkenaan dan dimaklumkan beberapa premis lain akan menawarkan diskaun membabitkan barangan terpilih," katanya.

Katanya, promosi itu akan diadakan sepanjang tahun sebagai usaha menarik lebih ramai pengunjung berbelanja selain membantu memperkenalkan perniagaan yang beroperasi di bangunan itu.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Sumber Manusia, Sains, Teknologi Dan Inovasi Johor, M Asojan berkata, peniaga perlu kreatif dan berdaya saing bagi mempromosikan barangan mereka bagi menghadapi persaingan peniaga asing.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan