09 Januari 2013

BH JOHOR, 09 JANUARI 2013: KUIH TRADISIONAL SUMBER REZEKI

 Puzaiah menunjukkan rempeyek yang sudah siap dibungkus di rumahnya di Kampung Simpang 3, Bukit Serampang, Ledang.
[ FOTO HAI ROZZAMAN JALAL / BH ]

 » Suri rumah tambah pendapatan keluarga menerusi jualan kecil-kecilan

 "Saya turut menghantar sendiri kuih yang siap dibungkus ke kedai runcit dan warung di sekitar FELDA ini dan Kampung Durian Chondong”

Oleh Hai Rozzaman Jalal
bhjb@bharian.com.my

Ledang: Minat seorang suri rumah membuat kuih tradisional sejak 15 tahun lalu yang dipasarkan secara kecil-kecilan, berjaya membantu menambah pendapatan keluarga.

Generasi kedua FELDA Sri Jaya, dekat Bukit Serampang, Puzaiah Ibrahim, 57, pada mulanya membuat kuih tradisional seperti rempeyek, tumpi dan maruku bagi memenuhi masa lapangnya.

Permintaan meningkat
Katanya, berikutan permintaan terhadap kuih tradisional yang meningkat setiap hari, beliau menjadikannya sebagai kerjaya sepenuh masa, selain mempunyai empat pembantu.

“Saya turut menghantar sendiri kuih yang siap dibungkus ke kedai runcit dan warung di sekitar FELDA ini serta Kampung Durian Chondong.

“Selain itu, saya turut menerima tempahan pada Aidilfitri dan Aidiladha serta majlis perkahwinan sehingga tidak menang tangan. Saya turut menerima tempahan dari Muar, Segamat, Melaka, Seremban dan Selangor,” katanya.

Puzaiah atau lebih mesra dengan panggilan Mak Yah berkata, bermula dengan menjalankan semua kerja berseorangan, beliau kini mempunyai pekerja sendiri bagi memenuhi tempahan pelanggan.

Promosi mulut ke mulut

Katanya, hasil promosi mulut ke mulut termasuk saudara dan jiran yang pernah membeli kuihnya menjadikan produknya dikenali ramai dan mendapat sambutan baik.

“Saya tidak membuat sebarang promosi. Mungkin saudara-mara terdekat yang pernah membeli kuih rempeyek atau tumpi ada bercerita kepada jiran atau rakan mereka sebelum mereka turut membuat tempahan.

“Lebih menggembirakan apabila ada pelanggan dari Seremban yang membuat tempahan secara pukal setiap minggu sebelum mereka membuat pembungkusan sendiri untuk dipasarkan di sana,” katanya.