28 Februari 2014

BH 28 FEBRUARI 2014: KOSPEN DIDIK GAYA HIDUP SIHAT

Headline: KOSPEN didik gaya hidup sihat

Publication: BH
Date of publication: Feb 28, 2014
Section heading: Main Section
Page number: 032

Ledang: Program Komuniti Sihat Perkasa Negara (KOSPEN) anjuran Kementerian Kesihatan menjadi pendekatan terbaik menangani peningkatan penyakit tidak berjangkit (NCD).


Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Hamim Samuri, berkata masyarakat dapat mengetahui tahap kesihatan mereka menerusi sukarelawan KOSPEN dari kalangan penduduk kampung yang dilatih menjalankan pemeriksaan saringan.

Katanya, langkah awal menjaga kesihatan dan amalan gaya hidup sihat penting kerana Malaysia adalah antara negara yang mempunyai peratusan populasi dewasa tertinggi menghidap obesiti, diabetes dan hipertensi di rantau Asia.

"Sukarelawan KOSPEN yang dilatih Pejabat Kesihatan Daerah akan menjalankan saringan kesihatan penduduk kampung bagi mengenal pasti tahap awal kesihatan mereka sebelum dirujuk ke hospital jika berisiko tinggi.

Tingkat kesedaran

"Program KOSPEN baik dalam usaha meningkatkan kesedaran membudayakan amalan gaya hidup sihat dalam kalangan masyarakat," katanya berucap pada Program Sukarelawan KOSPEN Kampung Parit Haji Idris, dekat sini.

Kampung Parit Haji Idris terpilih daripada tujuh KOSPEN di daerah ini dan acara berbasikal, berjalan 10,000 langkah dan saringan kesihatan yang dikendalikan sukarelawan terlatih turut diadakan sempena program itu.

Hamim yang juga Ahli Parlimen Ledang berkata, usaha kerajaan mengurangkan subsidi gula wajar bagi membantu rakyat mengamalkan gaya hidup sihat dengan mengurangkan pengambilan gula dalam pemakanan harian.

Katanya, kerajaan membelanjakan kira-kira RM2 bilion setahun bagi merawat pesakit kencing manis yang dihidapi rakyat negara ini akibat pemakanan berasaskan gula yang diambil secara berlebihan.

24 Februari 2014

BH 24 FEBRUARI 2014: BARANG BUKAN KAWALAN TAK BOLEH NAIK HARGA

Headline: Barang bukan kawalan tak boleh naik harga

Publication: BH
Date of publication: Feb 24, 2014
Section heading: Main Section
Page number: 024

Ledang: Kerajaan akan bertindak tegas terhadap pembekal dan peniaga yang sewenang-wenangnya menaikkan harga barangan keperluan harian sehingga membebankan pengguna.


Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Hamim Samuri, berkata walaupun barangan keperluan harian seperti ikan dan sayuran bukan dalam kategori harga kawalan, mereka tidak sepatutnya menaikkan harga tanpa sebab.

Katanya, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan melalui penguat kuasa di setiap cawangan membuat pemantauan harga setiap hari di premis perniagaan khususnya di pasar awam.

"Kerajaan tidak boleh mengawal harga barang keperluan harian ini tetapi boleh memantau kerana pada asasnya peniaga tidak boleh mengambil keuntungan atau menaikkan harga sewenang-wenangnya.

"Kerajaan sentiasa mengambil kira rungutan pengguna mengenai kenaikan harga ikan dan sayuran di pasaran dengan mengenalpasti punca sebenar harganya meningkat," katanya yang juga Ahli Parlimen Ledang selepas meninjau harga barangan keperluan harian di Pasar Awam Tangkak, di sini.

Turut hadir, Ketua Pejabat KPDNKK Cawangan Muar, Md Arifin Baharin dan Setiausaha Majlis Daerah Tangkak (MDT), Sulaiman Ismail.

Hamim berkata, dalam tinjauan itu, beliau berpuas hati apabila peniaga meletakkan tanda harga pada semua barangan yang dijual walaupun cara pelabelan tidak standard.

Katanya, cara pelabelan tanda harga perlu dikemaskini bagi membolehkan pengguna dapat melihat tanda harga dengan jelas selain memudahkan mereka membuat pilihan sebelum membeli.

14 Februari 2014

HARIAN METRO, 14 FEBRUARI 2014: BERTEMU SELEPAS 20 TAHUN

Headline: Bertemu selepas 20 tahun

Publication: HM
Date of publication: Feb 14, 2014
Section heading: Variasi
Page number: 012
Byline / Author: Oleh Hai Rozzaman Jalal


SERAMAI 40 bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Gambir, Ledang mengadakan Reunion X-SMBG 87/88 untuk mengumpulkan rakan persekolahan yang lama terpisah.

Mereka yang hadir ialah bekas pelajar sekolah itu dari 1987 hingga 1988.

Penyelaras program, Zainuden Ahmad, 42, berkata, idea program itu dicetuskan rakannya, Norshilawati Husin bagi menjejak rakan lama melalui laman sosial dan telefon.

"Ada yang berpisah lebih 20 tahun kerana berpindah atau bertugas di luar Bukit Gambir.

"Pertemuan ini sebagai permulaan untuk menemukan semula rakan sekolah SMBG dan keluarga masing-masing.

"Bukan mudah untuk mengumpulkan mereka kerana masing-masing terikat dengan tugas dan komitmen keluarga.

"Tetapi apabila bertemu, kami melepaskan rindu dengan mengimbau zaman persekolahan," katanya yang menjadikan pekarangan rumahnya di Kampung Simpang 5 Pekan sebagai lokasi pertemuan itu.

Beberapa aktiviti diadakan sempena pertemuan itu antaranya tahlil ringkas untuk ibu bapa, bekas guru serta rakan yang meninggal dunia, pelantikan ahli jawatankuasa, sembang santai dan karaoke.

Rakannya, Lizah Tamyiz pula berkata, pertemuan kali pertama itu amat menyeronokkan kerana dapat berjumpa rakan lama yang terpisah lebih 20 tahun.

"Pertemuan pertama ini juga membolehkan kami melantik Norshilawati sebagai pengerusi bagi merangka pertemuan lebih besar nanti," katanya.

06 Februari 2014

BH 06 FEBRUARI 2014: CABARAN ASPIRASI RENTAP TAKRAW TARIK BAKAT MUDA

Headline: Cabaran Aspirasi Rentap Takraw tarik bakat muda
Publication: BH
Date of publication: Feb 6, 2014
Section heading: Main Section
Page number: 044
Byline / Author: Oleh Hai Rozzaman Jalal

Ledang: Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Ledang bersama Kelab Sukan dan Rekreasi Komuniti Ledang akan menganjurkan program Cabaran Aspirasi Rentap Takraw, 1 Mac ini.

Ketua Pemuda UMNO Ledang, Sahrihan Jani, berkata pertandingan itu diadakan bagi menarik golongan muda dalam Parlimen Ledang yang meminati permainan tradisi itu menyertai cabaran tersebut.

Katanya, pertandingan itu dibuka kepada dua kategori iaitu remaja bawah 18 tahun dan senior yang akan diadakan di Dewan Serbaguna Anjung Batu 2, Tangkak.

"Tiada yuran penyertaan dikenakan bagi kategori remaja manakala kategori senior bayaran RM20 dikenakan," katanya.

Hadiah wang tunai

Sahrihan berkata, pihaknya menawarkan hadiah wang tunai selain trofi bagi pemenang kategori senior dan remaja dengan tarikh tutup penyertaan dan pengundian akan diadakan pada 22 Februari jam 5 petang di Dewan Serbaguna Anjung Batu 2, Tangkak.

"Mana-mana pasukan yang ingin menyertai pertandingan dan mahu mendapatkan keterangan lanjut boleh menghubungi Rizal Sharif (010-7177091) atau Norizan Azali (013-6200202)," katanya.

05 Februari 2014

BH2 05 FEBRUARI 2014: CABARAN TANGANI KEBAKARAN TANAH GAMBUT


Headline: Cabaran tangani kebakaran tanah gambut
Publication: BH
Date of publication: Feb 5, 2014
Section heading: BH2
Page number: 002
Byline / Author: Oleh Hai Rozzaman Jalal
Seramai 40 anggota bomba dan penyelamat berkampung di Kampung Sengkang Batu 20, dekat Bukit Gambir, di Johor, sejak 17 Januari lalu.

Mereka adalah anggota Balai Bomba dan Penyelamat Bukit Gambir, Tangkak, Zon Muar, Labis, Segamat Putra dan Segamat Jalan Abdullah, yang bertungkus-lumus memadam kebakaran kebun tanah gambut seluas 40 hektar.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bukit Gambir, A Hamid Awaludin, berkata mereka terpaksa menggunakan beberapa kaedah dan pendekatan baru bagi mengawal dan memadam api yang memusnahkan kebun kelapa sawit, pisang, jambu dan belukar milik penduduk setempat.

Katanya, setakat ini, kira-kira 40 peratus daripada keseluruhan 40 hektar kebun yang terbakar itu berjaya dipadamkan walaupun ia menyebabkan asap tebal. Keadaan itu bagaimanapun tidak menjejaskan penempatan penduduk yang terletak jauh dari kawasan kebakaran.

Guna pendekatan baharu

A Hamid berkata, usaha memadam kebakaran sedang giat dijalankan, termasuk menggunakan beberapa pendekatan baharu bagi mengawal kebakaran daripada terus merebak.

"Semburan secara terus pada bara api selain menggunakan alat perenjis air antara kaedah yang digunakan.

"Kami turut membuat takungan sebagai sumber air, malah ia juga akan meresap dan melembapkan tanah, sekali gus membantu memadamkan bara api dalam tanah yang berpotensi terbakar semula," katanya.

Selain itu, katanya, parit berdekatan turut disekat dan dibina empangan bagi memastikan sumber air tidak berkurangan.

Katanya, beberapa lokasi kebakaran baharu turut dikesan berikutan keadaan cuaca panas dan berangin menyebabkan api sukar dikawal.

10 jam setiap hari

"Kerja memadam dilakukan selama sepuluh jam setiap hari bermula 8 pagi hingga 6 petang berikutan kawasan tanah gambut yang terbakar itu sukar dipadamkan.

"Kami menggunakan enam van, sebuah lori, tiga kenderaan utiliti sukan (SUV) dan enam pam air untuk kemudahan logistik memandangkan jentera bomba tidak boleh memasuki kawasan kebakaran," katanya.

A Hamid berkata, kawasan berkenaan adalah satusatunya lokasi titik panas di daerah itu dan pernah terbakar pada 2011, dipercayai akibat cuaca panas serta pembakaran terbuka dilakukan penduduk kampung.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gambir, M Asojan, berkata pembakaran secara terbuka berisiko untuk merebak ke kawasan berhampiran dan sekiranya tidak dapat dikawal, ia boleh menyebabkan kerugian harta benda.

Katanya, semua pihak perlu memberikan kerjasama dan mengelakkan daripada melakukan pembakaran terutama di kawasan kebun dalam keadaan cuaca panas dan berangin ketika ini.

"Akibat perbuatan segelintir penduduk yang membuat pembakaran terbuka, kira-kira 40 hektar kebun milik penduduk di Sengkang Batu 20 ini hangus terbakar apabila api merebak ke kawasan tanah gambut.

"Meskipun kebakaran itu masih terkawal dan jauh dari penempatan penduduk, saya nasihatkan penduduk supaya tidak melakukan sebarang pembakaran terbuka bagi mengelakkan kebakaran besar," katanya.

Asojan turut memuji semangat kental anggota bomba yang terbabit dalam operasi itu dan yakin dengan keupayaan pihak bomba mengawal kebakaran dengan kemudahan serta peralatan sedia ada.