24 Februari 2014

BH 24 FEBRUARI 2014: BARANG BUKAN KAWALAN TAK BOLEH NAIK HARGA

Headline: Barang bukan kawalan tak boleh naik harga

Publication: BH
Date of publication: Feb 24, 2014
Section heading: Main Section
Page number: 024

Ledang: Kerajaan akan bertindak tegas terhadap pembekal dan peniaga yang sewenang-wenangnya menaikkan harga barangan keperluan harian sehingga membebankan pengguna.


Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Hamim Samuri, berkata walaupun barangan keperluan harian seperti ikan dan sayuran bukan dalam kategori harga kawalan, mereka tidak sepatutnya menaikkan harga tanpa sebab.

Katanya, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan melalui penguat kuasa di setiap cawangan membuat pemantauan harga setiap hari di premis perniagaan khususnya di pasar awam.

"Kerajaan tidak boleh mengawal harga barang keperluan harian ini tetapi boleh memantau kerana pada asasnya peniaga tidak boleh mengambil keuntungan atau menaikkan harga sewenang-wenangnya.

"Kerajaan sentiasa mengambil kira rungutan pengguna mengenai kenaikan harga ikan dan sayuran di pasaran dengan mengenalpasti punca sebenar harganya meningkat," katanya yang juga Ahli Parlimen Ledang selepas meninjau harga barangan keperluan harian di Pasar Awam Tangkak, di sini.

Turut hadir, Ketua Pejabat KPDNKK Cawangan Muar, Md Arifin Baharin dan Setiausaha Majlis Daerah Tangkak (MDT), Sulaiman Ismail.

Hamim berkata, dalam tinjauan itu, beliau berpuas hati apabila peniaga meletakkan tanda harga pada semua barangan yang dijual walaupun cara pelabelan tidak standard.

Katanya, cara pelabelan tanda harga perlu dikemaskini bagi membolehkan pengguna dapat melihat tanda harga dengan jelas selain memudahkan mereka membuat pilihan sebelum membeli.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan