04 November 2010

HARIAN METRO 03 NOV 2010: JUITA PELAWA IBU TUNGGAL IKUTI KURSUS


Headline: Juita pelawa ibu tunggal ikuti kursus
Publication: HM
Date of publication: Nov 3, 2010
Section heading: Main Section
Page number: 030

LEDANG: Badan Amal Tenaga Isteri Wakil-wakil Rakyat Negeri Johor (Juita) mempelawa ibu tunggal di negeri ini mengikuti kursus anjurannya bagi mempertingkatkan kemahiran untuk meningkatkan ekonomi diri serta keluarga.

Yang Dipertuanya, Datin Paduka Prof Dr Jamilah Ariffin berkata, melalui program Juitaku Sayang, ibu tunggal yang tidak mempunyai punca pendapatan tetap akan diberi kursus kemahiran dengan kerjasama Yayasan Pembangunan Keluarga Negeri Johor bagi membolehkan mereka berdikari.

"Juita menganjurkan kursus kemahiran dan latihan untuk ibu tunggal sejak 2003 membabitkan bidang jahitan, penyediaan makanan dan minuman, penjagaan bayi serta urutan refleksologi.

"Dengan kemahiran itu, ibu tunggal boleh mengembangkannya untuk menjana pendapatan keluarga serta membolehkan mereka keluar daripada kelompok kemiskinan," katanya.

Beliau ditemui pada majlis Penyampaian Bungkusan Kepada Keluarga Miskin Sempena Perayaan Deepavali Peringkat Daerah Ledang, di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim, Tangkak, baru-baru ini.

Majlis dirasmikan Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman dan dihadiri Pengerusi Jawatan kuasa Perpaduan, Sumber Manusia, Sains, Teknologi dan Inovasi Johor, M Asojan; Ketua Perhubungan MIC Johor, Datuk K S Balakrishnan; Ahli Parlimen Ledang, Hamim Samuri dan Pegawai Daerah Ledang, Amran Abdul Rahman.

Jamilah berkata, pendekatan itu turut diberikan kepada anak ibu tunggal yang memerlukan kemahiran bagi membantu keluarga mereka menambah pendapatan selain untuk diri sendiri.

Sementara itu, seramai 100 keluarga miskin dan kurang upaya menerima sumbangan duit raya berjumlah RM200 serta barangan keperluan harian juga pakaian daripada Juita.

Ia membabitkan 70 keluarga miskin di kalangan kaum India serta 30 lagi membabitkan kaum Melayu, Cina serta Orang Asli.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan