03 Mac 2011

HARIAN METRO 02 MAC 2011: SOLAT JUMAAT KALI TERAKHIR


Headline: Solat Jumaat kali terakhir
Publication: HM
Date of publication: Mar 2, 2011
Section heading: Main Section
Page number: 025
Byline / Author: Oleh Hai Rozzaman Jalal

LEDANG: Penduduk Kampung Simpang 5 Darat, Bukit Gambir dekat sini, bakal memiliki masjid baru bernilai RM2.05 juta menggantikan masjid lama berusia 76 tahun.

Berikutan itu, Jumaat lalu menjadi tarikh bersejarah kepada penduduk kampung itu kerana kali terakhir menunaikan solat Jumaat sebelum masjid berkenaan dirobohkan.

Pengerusi Jawatankuasa Masjid Jamek Simpang 5 Darat, Mohd Noh Abd Montalib, 70, berkata, masjid itu dibina pada 1935 secara gotong-royong oleh 40 peneroka kampung itu diterajui Allahyarham Idris Abd Rahim.

"Masjid dibina daripada kayu itu mungkin yang tertua di daerah ini dan mengikut sejarah, tiang seri rumah ibadat itu dihasilkan daripada kayu hutan yang diambil sejauh lima kilometer dari hutan berhampiran.

"Ia terpaksa dirobohkan bagi memberi laluan kepada pembinaan masjid baru di tapak asal untuk keselesaan jemaah beribadat termasuk menunaikan solat Jumaat," katanya, semalam.

Menurutnya, masjid berkenaan digunakan kira-kira 220 keluarga dari tiga kampung iaitu Simpang 5 Darat, Parit Bunga Raya Hujung dan Parit Pulai Darat untuk menunaikan solat Jumaat.

Katanya, bagi melahirkan kesyukuran dengan pembinaan masjid baru, penduduk mengadakan kenduri selepas menunaikan solat Jumaat kali terakhir di masjid berkenaan.

Majlis turut dihadiri Kadi Daerah Ledang, Sulaiman Maidin; Penghulu Mukim Grisek, Ishak Abu Bakar; Ketua Kampung, Misnan Abd Jalal dan imam masjid, Jopri Ab Samat.

"Peruntukan membina masjid baru diperoleh daripada kerajaan Persekutuan yang menyalurkan RM1 juta, kerajaan negeri (RM550,000) dan RM500,000 lagi sumbangan Jabatan Agama Islam Johor (Jaij).

"Buat sementara, Balai Raya Simpang 5 Darat akan dijadikan lokasi solat Jumaat sementara masjid baru disiapkan," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan