16 September 2011

BERITA HARIAN 15 SEPTEMBER 2011: SYAWAL TEMU 30 RAKAN LAMA


Headline: Syawal temu 30 rakan lama
Publication: BH
Date of publication: Sep 15, 2011
Section heading: Main Section
Page number: 029
Byline / Author: Oleh Hai Rozzaman Jalal


LEDANG: Kehadiran Aidilfitri dimanfaatkan sekumpulan bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tun Mamat dekat Tangkak di sini, untuk menjalinkan semula keakraban yang terputus selepas meninggalkan sekolah itu sekitar 1987.

Untuk itu, seramai 30 bekas pelajar SMK Tun Mamat bersama keluarga masing-masing mengadakan pertemuan pertama kali itu di rumah rakan mereka, Suyar Basir, dekat Kampung Sagil Parit 1 di sini.

Suyar, 41, berkata beliau bersama rakannya menganjurkan pertemuan itu bagi merapatkan lagi hubungan sesama mereka di samping mengimbau kembali kenangan di zaman persekolahan.

Beliau berkata, ada antara mereka tidak bertemu lebih 24 tahun selepas tamat persekolahan dan membawa haluan masing-masing.

"Atas inisiatif beberapa rakan yang tinggal di sekitar Tangkak dan Sagil, kami menjejaki semula rakan yang terpisah dan tinggal di luar daerah ini.

"Kami gembira kerana berkat Aidilfitri kali ini, kami dapat berkumpul dan berkenal-kenalan semula disebabkan ada antara kami yang tidak mengenali antara satu sama lain berikutan perubahan fizikal masing-masing," katanya pada perjumpaan itu.

Suyar berkata, usaha menjejaki rakan persekolahan itu dibuat melalui laman sosial Facebook, selain menghubungi melalui telefon yang diperoleh daripada rakan lain.

Pengerusi pertemuan itu, Baharudin Barosa, 41, berkata perjumpaan julung kali itu dianggap berjaya apabila mendapat sambutan menggalakkan daripada bekas pelajar yang turut membawa keluarga masing-masing.

Katanya, perjumpaan bekas pelajar SMK Tun Mamat 1987 itu akan dijadikan program tahunan dan berharap lebih ramai lagi yang dapat menyertainya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan