06 September 2011

HARIAN METRO 6 SEPTEMBER 2011: 60 MURID TAK DAPAT BELAJAR


Headline: 60 murid tak dapat belajar
Publication: HM
Date of publication: Sep 6, 2011
Section heading: Main Section
Page number: 024
Byline / Author: Oleh Hai Rozzaman Jalal

LEDANG: Kira-kira 60 murid darjah satu dan empat Sekolah Agama Bandar Tangkak dekat sini, tidak dapat menggunakan bilik darjah berikutan perbuatan khianat perompak yang dipercayai membakar kelas berkenaan, pagi kelmarin.

Keadaan itu menyebabkan semua murid berkenaan tidak dapat memulakan sesi persekolahan selepas cuti Aidilfitri bermula minggu lalu.

Dalam kejadian kira-kira jam 11.30 pagi itu, kebakaran disedari orang ramai yang ternampak asal tebal ketika berada di Pasar Tani Tangkak, bersebelahan sekolah itu.

Guru Hal Ehwal Murid, Siti Salwa Othman, 41, berkata dia mendapat panggilan telefon daripada orang awam menyatakan bangunan sekolah terbakar sebelum bergegas ke lokasi kejadian.

Katanya, apabila tiba di sekolah, dia mendapati kelas di tingkat atas Blok B sekolah berkenaan terbakar hingga memusnahkan meja guru, papan hitam, siling dan bilik stor menyimpan peralatan.

"Kami bersyukur kejadian itu berlaku ketika cuti persekolahan dan kebakaran dapat dikawal dari merebak ke bangunan lain.

"Seramai 983 murid mengikuti pembelajaran sesi pagi dan petang di sekolah ini dan bilik darjah yang terbakar itu digunakan murid darjah satu dan empat sesi petang," katanya ketika ditemui di sekolah itu, kelmarin.

Siti Salwa tidak menolak kemungkinan kebakaran berpunca daripada perbuatan khianat, kerana terdapat kesan peralatan bilik darjah digeledah selain pokok bunga dirosakkan.

Turut melawat lokasi, Ahli Parlimen Ledang, Hamim Samuri; Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tangkak, Goh Tee Tee dan pegawai dari Pejabat Pendidikan Agama Ledang.

Sementara itu, jurucakap Balai Bomba dan Penyelamat Tangkak berkata, pihaknya menerima panggilan daripada orang awam mengenai kebakaran pada jam 11.37 pagi.

Katanya, sebuah jentera dengan empat anggota diketuai Pegawai Bomba Kanan II, Yusof Muniron dikejarkan ke lokasi dan berjaya memadamkan kebakaran tiga minit kemudian.

"Kami percaya, api berpunca daripada longgokan kertas yang terbakar di meja guru dan bilik stor menyimpan peralatan hingga menyebabkan bumbung, siling dan dinding bangunan pecah serta tidak selamat digunakan," katanya.

Menurutnya, punca sebenar dan anggaran kerugian akibat kebakaran itu masih dalam siasatan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan