25 Ogos 2012

HARIAN METRO 25 OGOS 2012: 3,000 PENDUDUK HADIRI RUMAH TERBUKA YB LEDANG

Headline: 3,000 penduduk hadiri rumah terbuka YB Ledang
Publication: HM
Date of publication: Aug 25, 2012
Section heading: Main Section
Page number: 031


LEDANG: Lebih 3,000 penduduk pelbagai bangsa dan agama sekitar daerah ini menghadiri majlis rumah terbuka Ahli Parlimen Ledang, Hamim Samuri di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim Tangkak di sini, semalam.

Kesanggupan penduduk bersama-sama memeriahkan majlis itu membuktikan keamanan dan keharmonian dikecapi negara sejak Merdeka lebih 50 tahun lalu, membolehkan pelbagai bangsa hidup dalam keadaan baik dan saling menghormati.

Hamim ketika ditemui berkata, konsep rumah terbuka memberi peluang kepada rakyat berbilang kaum bertemu pemimpin serta berkenalan dengan pengunjung lain.

"Dengan cara ini, pengunjung bukan saja dapat bertemu pemimpin malah berkenalan dengan pengunjung lain sambil menikmati juadah disediakan seperti nasi beryani, ketupat, roti canai dan cendol sagu rumbia.

"Konsep rumah terbuka ini perlu diteruskan membabitkan semua perayaan besar negara ini bagi mengeratkan hubungan masyarakat majmuk.

"Mungkin bagi penduduk biasa, cukuplah dengan hidangan kepada rakan sekerja bagi mengeratkan silatulrahim dan mengenali jiran dengan lebih dekat," katanya.

Katanya, generasi muda mengadakan kumpulan marhaban dengan mengunjungi rumah orang tua bagi mengeratkan hubungan dua generasi itu.

Menurutnya, terdapat empat empat kumpulan marhaban terdiri golongan dewasa, wanita, belia dan beliawanis yang akan berkunjung dari rumah ke rumah untuk berselawat dan bermaaf-maafan.

Katanya, tradisi berkunjung rumah ke rumah atau `baraan' masih kekal di kampungnya dan ia dianggap sebagai pengikat silaturahim golongan muda dan tua.

04 Ogos 2012

HARIAN METRO 04 OGOS 2012: TUAH PENIAGA BEBOLA KAYA

Headline: Tuah peniaga bebola kaya
Publication: HM
Date of publication: Aug 4, 2012
Section heading: Main Section
Page number: 051
Byline / Author: Oleh Hai Rozzaman Jalal
LEDANG: Ramadan kali ini cukup bermakna kepada peniaga dan pengunjung Pasar Tani Ramadan di Kompleks Pasar Tani Kekal di Bukit Gambir di sini, apabila Sultan Johor, Sultan Ibrahim ibni Almarhum Sultan Iskandar berkenan mencemar duli berkunjung ke bazar itu, kelmarin.

Kunjungan baginda ke Pasar Tani Ramadan itu untuk membeli juadah berbuka sambil bertemu rakyat jelata.

Baginda meluangkan masa setengah jam melawat sekitar bazar itu sambil diiringi Pegawai Daerah Ledang, Ab Han Ramin; Pentadbir Tanah Daerah, Haironnazli Esa; dan Pegawai Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) Muar dan Ledang, Abd Malek Ramli.

Pengunjung yang mengetahui kunjungan Sultan Ibrahim menunggu seawal 4.30 petang semata-mata mahu bertemu baginda.

Peniaga bebola kaya, Halim A Rahman, 39, berkata, dia teruja dan bertuah apabila Sultan Ibrahim singgah di gerainya bertanya dan melihat cara pembuatan makanan berkenaan sebelum membeli juadah itu.

Selepas melawat bazar itu, baginda berangkat ke Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) Sri Jaya, Bukit Serampang bertemu penduduk dan mengagihkan bubur lambuk.

Sementara itu, Urus setia Pasar Tani Ramadan Bukit Gambir, Muhammad Najib Samsudin berkata, 50 peniaga menjual pelbagai juadah berbuka puasa di bazar berkenaan.

"Kami menyediakan 64 lot perniagaan di bazar ini. Sejak awal Ramadan, bazar ini sentiasa penuh dikunjungi pengunjung yang terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat.

"Selain mendapatkan juadah berbuka puasa, pengunjung turut berbelanja barangan basah, sayur-sayuran dan barangan dapur yang dijual di kompleks ini," katanya.

Menurutnya, pengurusan dan peniaga di kompleks itu melahirkan perasaan gembira, terharu dan menjunjung kasih atas kesudian Sultan Ibrahim melawat Pasar Tani Ramadan serta bermesra dengan pengunjung.

03 Ogos 2012

HARIAN METRO 03 OGOS 2012: RESAH MANDI DEBU

Headline: Resah mandi debu
Publication: HM
Date of publication: Aug 3, 2012
Section heading: Main Section
Page number: 032
Byline / Author: Oleh Hai Rozzaman Jalal

LEDANG: Keresahan penduduk Kampung Parit Kassan, Bukit Gambir di sini, yang berdepan masalah pencemaran habuk dan debu akibat kerja mengangkut tanah merah sejak sebulan lalu mendapat perhatian pihak berkuasa berkaitan.

Difahamkan, tanah berkenaan diangkut dari sebuah kuari sebelum dibawa ke tapak projek pembangunan berhampiran.

Berikutan masalah itu, penduduk mendakwa terpaksa membersihkan habuk dan debu di rumah mereka setiap hari dan berharap masalah itu diselesaikan segera kerana Aidilfitri bakal menjelang tidak lama lagi.

Penduduk, Zakaria Haiyun, 52, berkata, sikap kontraktor yang tidak menyiram jalan keluar masuk selain gagal membersihkan tanah tercicir menyebabkan kesihatan penduduk terjejas selain rumah dicemari habuk.

"Setiap hari, saya terpaksa menutup tingkap dan pintu bagi mengelak debu berterbangan dalam rumah. Kesan tapak kaki pula akan kelihatan di lantai selepas dipijak akibat debu.

"Akibat pencemaran itu, anak saya kini menghidap semput dan berharap masalah ini diselesaikan kontraktor secepat mungkin," katanya ketika pertemuan antara penduduk bersama kontraktor projek pembangunan berkenaan, baru-baru ini.

Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Gambir, M Asojan; Penghulu Mukim Grisek, Ishak Abu Bakar; Setiausaha Aduan Rakyat Facebook Parlimen Ledang dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Gambir, Ramli Abd Rahman; Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Parit Kassan, Mohd Hamzah Basar dan timbalannya, Mohd Janis Abu Bakar.

Seorang lagi penduduk dikenali sebagai Nor, 30, pula mendakwa lori membawa muatan tanah itu dipandu laju tanpa mempedulikan keselamatan penduduk terutama ibu bapa yang menjemput anak pulang dari sekolah.

"Tindakan sewajarnya perlu diambil pihak berkaitan dan jangan tunggu hingga berlaku perkara tidak diingini menimpa penduduk," katanya.

Sementara itu, Asojan berkata, dalam perbincangan itu, kontraktor terbabit setuju memenuhi permintaan penduduk.

01 Ogos 2012

HARIAN METRO 01 OGOS 2012: SERTAI KARNIVAL RAYA EK!

Headline: Sertai Karnival Raya Ek!
Publication: HM
Date of publication: Aug 1, 2012
Section heading: Main Section
Page number: 035

LEDANG: Pengusaha dan usahawan industri kecil dan sederhana (IKS) di daerah ini dipelawa menyertai Karnival Raya Ek! anjuran Persatuan Pengusaha Kecil Sederhana Bumiputera (PPKSB) Ledang bermula 3 hingga 18 Ogos depan di pekarangan Pusat Perniagaan Anjung Batu, Tangkak.

Karnival sempena Aidilfitri itu memberi peluang kepada usahawan Bumiputera memasarkan produk mereka.

Setiausaha penganjur, Nurul Farhana Abdullah berkata, karnival berlangsung dua minggu anjuran bersama Majlis Pembangunan Pertanian Parlimen Ledang, Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) Jabatan Pertanian Daerah Ledang dan Pertubuhan Peladang Kawasan Ledang.

Katanya, karnival itu bertujuan mempromosikan Pusat IKS Ledang kepada penduduk tempatan dan luar daerah selain memberi peluang perniagaan kepada usahawan sekitar daerah ini.

"Karnival itu satu aktiviti persatuan dalam usaha memperkenalkan produk IKS dikeluarkan pengusaha Bumiputera di daerah ini kepada orang ramai khususnya penduduk Ledang.

"Ahli terdiri pengusaha makanan seperti kerepek, kek, biskut dan barangan IKS menjadikan Pusat IKS Ledang ini sebagai pusat sehenti memasarkan produk yang mereka hasilkan," katanya di sini.

Katanya, pengusaha dan usahawan yang mahu mendapatkan ruang niaga boleh menghubungi penganjur di talian  06-9784054  atau  010-8926689  (Hanna) dan  019-6075913  (Suhaimi).