28 September 2012

HARIAN METRO 28 SEPTEMBER 2012: HELAH PERAGUT BERTANYA

Headline: Helah peragut bertanya
Publication: HM
Date of publication: Sep 28, 2012
Section heading: Main Section
Page number: 004

LEDANG: "Lelaki itu bertanya sama ada saya mengenali Aziz. Tiba-tiba, rakannya turun dari motosikal dan merentap rantai emas berharga RM3,000 yang saya beli bagi menggantikan rantai pusaka yang dilarikan pencuri dua bulan lalu," kata Saminam Md Alias, 71, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 11.45 pagi itu, Saminam membasuh lantai beranda rumahnya di Kampung Parit Kassan, Bukit Gambir, di sini, sebelum didatangi dua lelaki berusia 20-an yang menunggang sebuah motosikal Honda EX5.

Seorang daripada lelaki terbabit menghampiri Saminam dan bertanyakan perihal Aziz.

Menurutnya, ketika kejadian, suaminya, Musian Abu, 78, berada di bilik air dan baru pulang dari menziarah jiran yang kematian bapa.

"Lelaki itu turut meminta saya menunjukkan lokasi rumah Aziz. Saya memaklumkan tidak kenal dengan nama individu dicarinya.

"Tiba-tiba rakan lelaki terbabit turun daripada motosikal lalu menarik tangan kanan yang sedang memegang penyapu sambil merentap rantai leher saya," katanya ketika ditemui di rumahnya.

Saminam berkata, kedua-dua penjenayah terbabit gagal dikejar dan dia melaporkan kejadian di Balai Polis Bukit Gambir.

20 September 2012

HARIAN METRO 20 SEPTEMBER 2012: JIRAN TERIAK NAMPAK API

Headline: Jiran teriak nampak api
Publication: HM
Date of publication: Sep 20, 2012
Section heading: Main Section
Page number: 024
Byline / Author: Oleh Fairul Asmaini Mohd Pilus; Hai Rozzaman Jalal

LEDANG: "Saya hanya menyedari rumah terbakar apabila jiran menjerit selepas melihat api dan kepulan asap di bilik tengah rumah," kata Salimah Samin, 76, yang kehilangan tempat tinggal apabila rumahnya di Kampung Datuk Ngah, Sengkang Batu 20, Bukit Gambir, di sini, musnah dalam kebakaran pada jam 6.30 petang, kelmarin.

Salimah yang tinggal bersama suaminya, Bakar Mustapha, 85, gagal menyelamatkan barangan dan dokumen penting apabila api marak menjilat keseluruhan rumah papan berkenaan.

Bagaimanapun, pasangan warga emas itu bersyukur kerana terselamat.

Kerugian pula dianggarkan berjumlah RM60,000

Salimah berkata, ketika kejadian, dia bersama suaminya sedang berehat di beranda rumah.

"Apabila melihat api marak membakar bahagian tengah rumah, saya sempat mematikan suis elektrik utama manakala suami cuba memadamkan api, tetapi saya menghalangnya bagi mengelakkan kejadian lebih buruk.

"Kurang 15 minit kemudian, keseluruhan rumah musnah dijilat api," katanya yang menumpang sementara di rumah Ketua Umno Cawangan Kampung Datuk Ngah, Mohd Yasir Mohed.

Menurut Salimah, anak saudaranya yang turut menyedari kejadian menghubungi Balai Bomba dan Penyelamat Bukit Gambir yang tiba lima minit kemudian.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bukit Gambir, Mohd Shazarul Afidz Mohd Khairuddin berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 6.42 petang dan bergegas ke tempat kejadian dengan dua jentera bersama 12 anggota serta pegawai.

Katanya, apabila tiba di lokasi, rumah berkenaan sudah 60 peratus dimamah api.

"Struktur rumah yang diperbuat daripada papan menyebabkan api marak dengan cepat, namun kami mengawal keseluruhan kebakaran pada jam 7.30 petang dan punca kebakaran masih dalam siasatan," katanya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Gambir, M Asojan yang dimaklumkan kebakaran berkenaan turut melawat mangsa dan meninjau lokasi kejadian.

"Bakar dan Salimah tidak perlu risau berkaitan di mana mereka mahu tinggal selepas ini kerana nama mereka sudah dipilih untuk menerima bantuan di bawah Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT)," katanya.

06 September 2012

HARIAN METRO 06 SEPTEMBER 2012: NGO MAHU KDN TEGAS

Headline: NGO mahu KDN tegas
Publication: HM
Date of publication: Sep 6, 2012
Section heading: Main Section
Page number: 040
Byline / Author: Oleh Hai Rozzaman Jalal

LEDANG: Seramai 80 individu mewakili 14 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di daerah ini mengadakan perhimpunan aman di depan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ledang semalam, bagi membantah tindakan biadab peserta Janji Bersih yang sanggup menghina dan memijak gambar pemimpin negara serta Jalur Gemilang.

Sebelum itu, wakil NGO berkenaan membuat laporan polis mengecam perbuatan biadab berkenaan dan mahu tindakan tegas diambil terhadap individu bertanggungjawab bagi mengelak perkara sama berulang pada masa depan.

NGO itu membabitkan Gabungan NGO Melayu Negeri Johor Daerah Ledang; Persatuan Bekas Polis Malaysia; Persatuan Bekas Tentera Malaysia (PBTM); Persatuan Kelab-kelab Belia Malaysia (MAYC) Negeri Johor; Gerakan Belia 4B Ledang; Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) dan Pertubuhan Kebajikan dan Dakwah Islamiah Malaysia (Pekida).

Turut serta Pertubuhan Seni Silat Sendeng Malaysia Negeri Johor; Majlis Belia Daerah Ledang; Gerakan Belia 4B Zon Sagil; Persatuan Belia Kesang Tasek; Pertubuhan Tiga Enam Tiga; Pergerakan Pemuda Umno Bahagian Ledang dan Pergerakan Pemuda Umno Cawangan Kesang Tasek.

Timbalan Pengerusi Persatuan Bekas Polis Malaysia Daerah Ledang, Huzahim Zaaba berkata, pihaknya mengecam tindakan biadab peserta perhimpunan itu dan mahu Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengambil tindakan tegas melalui proses undang-undang.

"Kami membantah sekeras-kerasnya perbuatan tidak bermoral itu sekali gus menunjukkan sifat tidak bertamadun pelakunya," katanya.

Bagi Ahli Jawatankuasa Perkasa Daerah Ledang, Basri Siron, tindakan lebih tegas perlu diambil terhadap pihak terbabit supaya tidak berulang pada masa depan.

"Kami tidak setuju tindakan pembangkang yang mahu menukar Jalur Gemilang dan akan terus mempertahankan kedaulatan Jalur Gemilang," katanya.

Wakil MAYC Kawasan Ledang, Abdel Rahim S Garieb turut menyokong dan berikrar yang pihaknya akan mempertahankan Jalur Gemilang dan tidak akan sekali-kali membenarkan ia ditukar.

"Jalur Gemilang akan terus menjadi bendera negara ini dan kami akan melawan jika ada pihak cuba menukarnya," katanya.