06 September 2012

HARIAN METRO 06 SEPTEMBER 2012: NGO MAHU KDN TEGAS

Headline: NGO mahu KDN tegas
Publication: HM
Date of publication: Sep 6, 2012
Section heading: Main Section
Page number: 040
Byline / Author: Oleh Hai Rozzaman Jalal

LEDANG: Seramai 80 individu mewakili 14 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di daerah ini mengadakan perhimpunan aman di depan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ledang semalam, bagi membantah tindakan biadab peserta Janji Bersih yang sanggup menghina dan memijak gambar pemimpin negara serta Jalur Gemilang.

Sebelum itu, wakil NGO berkenaan membuat laporan polis mengecam perbuatan biadab berkenaan dan mahu tindakan tegas diambil terhadap individu bertanggungjawab bagi mengelak perkara sama berulang pada masa depan.

NGO itu membabitkan Gabungan NGO Melayu Negeri Johor Daerah Ledang; Persatuan Bekas Polis Malaysia; Persatuan Bekas Tentera Malaysia (PBTM); Persatuan Kelab-kelab Belia Malaysia (MAYC) Negeri Johor; Gerakan Belia 4B Ledang; Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) dan Pertubuhan Kebajikan dan Dakwah Islamiah Malaysia (Pekida).

Turut serta Pertubuhan Seni Silat Sendeng Malaysia Negeri Johor; Majlis Belia Daerah Ledang; Gerakan Belia 4B Zon Sagil; Persatuan Belia Kesang Tasek; Pertubuhan Tiga Enam Tiga; Pergerakan Pemuda Umno Bahagian Ledang dan Pergerakan Pemuda Umno Cawangan Kesang Tasek.

Timbalan Pengerusi Persatuan Bekas Polis Malaysia Daerah Ledang, Huzahim Zaaba berkata, pihaknya mengecam tindakan biadab peserta perhimpunan itu dan mahu Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengambil tindakan tegas melalui proses undang-undang.

"Kami membantah sekeras-kerasnya perbuatan tidak bermoral itu sekali gus menunjukkan sifat tidak bertamadun pelakunya," katanya.

Bagi Ahli Jawatankuasa Perkasa Daerah Ledang, Basri Siron, tindakan lebih tegas perlu diambil terhadap pihak terbabit supaya tidak berulang pada masa depan.

"Kami tidak setuju tindakan pembangkang yang mahu menukar Jalur Gemilang dan akan terus mempertahankan kedaulatan Jalur Gemilang," katanya.

Wakil MAYC Kawasan Ledang, Abdel Rahim S Garieb turut menyokong dan berikrar yang pihaknya akan mempertahankan Jalur Gemilang dan tidak akan sekali-kali membenarkan ia ditukar.

"Jalur Gemilang akan terus menjadi bendera negara ini dan kami akan melawan jika ada pihak cuba menukarnya," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan