20 September 2012

HARIAN METRO 20 SEPTEMBER 2012: JIRAN TERIAK NAMPAK API

Headline: Jiran teriak nampak api
Publication: HM
Date of publication: Sep 20, 2012
Section heading: Main Section
Page number: 024
Byline / Author: Oleh Fairul Asmaini Mohd Pilus; Hai Rozzaman Jalal

LEDANG: "Saya hanya menyedari rumah terbakar apabila jiran menjerit selepas melihat api dan kepulan asap di bilik tengah rumah," kata Salimah Samin, 76, yang kehilangan tempat tinggal apabila rumahnya di Kampung Datuk Ngah, Sengkang Batu 20, Bukit Gambir, di sini, musnah dalam kebakaran pada jam 6.30 petang, kelmarin.

Salimah yang tinggal bersama suaminya, Bakar Mustapha, 85, gagal menyelamatkan barangan dan dokumen penting apabila api marak menjilat keseluruhan rumah papan berkenaan.

Bagaimanapun, pasangan warga emas itu bersyukur kerana terselamat.

Kerugian pula dianggarkan berjumlah RM60,000

Salimah berkata, ketika kejadian, dia bersama suaminya sedang berehat di beranda rumah.

"Apabila melihat api marak membakar bahagian tengah rumah, saya sempat mematikan suis elektrik utama manakala suami cuba memadamkan api, tetapi saya menghalangnya bagi mengelakkan kejadian lebih buruk.

"Kurang 15 minit kemudian, keseluruhan rumah musnah dijilat api," katanya yang menumpang sementara di rumah Ketua Umno Cawangan Kampung Datuk Ngah, Mohd Yasir Mohed.

Menurut Salimah, anak saudaranya yang turut menyedari kejadian menghubungi Balai Bomba dan Penyelamat Bukit Gambir yang tiba lima minit kemudian.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bukit Gambir, Mohd Shazarul Afidz Mohd Khairuddin berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 6.42 petang dan bergegas ke tempat kejadian dengan dua jentera bersama 12 anggota serta pegawai.

Katanya, apabila tiba di lokasi, rumah berkenaan sudah 60 peratus dimamah api.

"Struktur rumah yang diperbuat daripada papan menyebabkan api marak dengan cepat, namun kami mengawal keseluruhan kebakaran pada jam 7.30 petang dan punca kebakaran masih dalam siasatan," katanya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Gambir, M Asojan yang dimaklumkan kebakaran berkenaan turut melawat mangsa dan meninjau lokasi kejadian.

"Bakar dan Salimah tidak perlu risau berkaitan di mana mereka mahu tinggal selepas ini kerana nama mereka sudah dipilih untuk menerima bantuan di bawah Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT)," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan