16 Jun 2013

BH AHAD, 16 JUN 2013: JENGKAUT TERBABAS BERTEMBUNG AMBULANS

Headline: Jengkaut terbabas bertembung ambulans
Publication: BM
Date of publication: Jun 16, 2013
Section heading: Main Section
Page number: 028

Ledang: Sebuah ambulans dalam perjalanan menghantar mangsa kemalangan ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) Muar, remuk akibat bertembung sebuah jengkaut dekat Parit Turun, Bukit Gambir di sini, malam kelmarin.

Dalam kemalangan jam 7.30 malam itu, ambulans Klinik Kesihatan Grisek itu rosak teruk di bahagian kiri.

Pengawal keselamatan kilang berdekatan lokasi yang menyaksikan kejadian itu dan mahu dikenali sebagai Along, 20, berkata jengkaut dari arah Muar ke Bukit Gambir itu hilang kawalan sebelum memasuki lorong kanan dilalui ambulans berkenaan.

Pemandu ambulans cuba mengelak tetapi tidak sempat lalu dirempuh jengkaut berkenaan dan berlaku dentuman kuat.

Pemandu jengkaut itu dilaporkan pitam selepas kejadian dan dihantar ke hospital untuk rawatan kecemasan, katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Pemandu ambulans, Azlan Ab Rahman, 32, bersama seorang pembantu perubatan dalam perjalanan menghantar mangsa kemalangan di Parit Raja, Grisek ke HPSF.

Sebaik tiba di Parit Turun, katanya, jengkaut terbabit memasuki laluannya dan bertembung selepas tidak sempat mengelak.

Saya bersyukur kerana pembantu perubatan yang berada di belakang ambulans bersama pesakit terselamat, katanya.

Pesakit wanita itu bersama pemandu jengkaut yang cedera dihantar ke HPSF oleh ambulans lain yang dikejarkan dari Hospital Tangkak.

METRO AHAD, 16 JUN 2013: JENGKAUT REMPUH AMBULANS

Headline: Jengkaut rempuh ambulans
Publication: MA
Date of publication: Jun 16, 2013
Section heading: Main Section
Page number: 014
Byline / Author: Oleh Hai Rozaman Jalal

Ledang: Nasib seorang mangsa kemalangan jalan raya bagaikan jatuh ditimpa tangga apabila ambulans yang membawanya ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) Muar dekat sini, dirempuh sebuah jengkaut di Parit Turun dekat Bukit Gambir, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 7.30 malam, pemandu ambulans dari Klinik Kesihatan Grisek di sini, Azlan Ab Rahman, 32, tidak dapat mengelak apabila jengkaut itu tiba-tiba hilang kawalan lalu memasuki laluannya.

Menurutnya, ketika kejadian dia dalam perjalanan menghantar mangsa kemalangan di Parit Raja, Grisek ke HPSF bersama seorang pembantu perubatan.

Bagaimanapun, katanya, sebaik tiba di Parit Turun sebuah jengkaut tiba-tiba hilang kawalan lalu meluru ke laluannya.

Saya membunyikan hon bagi menyedarkan pemandu jengkaut itu, namun kenderaan berkenaan tidak mengubah haluan dan merempuh bahagian hadapan ambulans kami.

Nasib baik ketika itu pembantu perubatan menemani pesakit di belakang ambulans kerana saya pasti jika dia di depan, saya pasti dia akan cedera parah.

Saya bersyukur kerana semuanya selamat dan pesakit perempuan serta pemandu jengkaut itu kemudian dihantar ke HPSF menggunakan sebuah ambulans dari Tangkak, katanya.

Sementara itu, jurucakap polis trafik berkata, pihaknya menerima laporan kemalangan itu dan siasatan masih dijalankan.

Berikutan itu, katanya, saksi kejadian diminta tampil bagi membantu siasatan.

02 Jun 2013

BH AHAD, 02 JUN 2013: 'REBUT PELUANG TAMBAH PRODUK HALAL'

Headline: 'Rebut peluang tambah produk halal'
Publication: BM
Date of publication: Jun 2, 2013
Section heading: Main Section
Page number: 016

Ledang: Usahawan pengeluaran produk halal negara ini boleh menerokai pasaran dunia yang kini mencecah RM73 trilion setahun.

Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Hamim Samuri, berkata sehingga kini usahawan negara ini hanya mampu mengeksport RM70 bilion produk halal ke seluruh dunia.

Sehubungan itu, katanya, usahawan Malaysia perlu merebut peluang dengan menambahkan produk halal untuk dieksport terutama ke negara yang mempunyai ramai umat Islam.

Sedia pensijilan halal

Dalam industri produk halal, hanya Kerajaan Malaysia yang mengambil bahagian menyediakan pensijilan halal untuk memastikan produk dikeluarkan terbukti halal.

Di negara lain, produk halal disahkan persatuan ulama atau Islam sedangkan di sini kerajaan yang menyediakan pensijilan halal terbabit, katanya pada majlis kesyukuran dan tahlil sempena pelantikannya sebagai Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri di sini, kelmarin.

Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Serom, Abd Razak Minhat dan Senator Ahamat Yusop.

Hamim yang juga Ahli Parlimen Ledang turut mengalukan mereka yang berminat menjadi usahawan untuk merebut peluang disediakan MITI melalui Program Groom Big.

Program itu inisiatif kerajaan untuk menggalak, memupuk dan membangunkan usahawan perusahaan kecil dan sederhana, katanya.