Date of publication: Nov 9, 2010
Section heading: Sentral
Page number: 008
LEDANG: Masyarakat di negeri ini perlu berwaspada dan tidak terpengaruh dengan cubaan sesetengah pihak yang ingin berkuasa dengan cara memecahbelahkan perpaduan sedia ada.
Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman, berkata masyarakat perlu memelihara dan memperkukuhkan perpaduan di samping meneruskan suasana hidup aman yang dipupuk sejak 53 tahun lalu.
Katanya, usaha pihak tertentu untuk memecah-belahkan perpaduan di kalangan masyarakat berbilang kaum di negeri ini semata-mata ingin mencapai apa yang diimpikan tidak akan berjaya, jika masyarakat bersatu padu.
"Kita perlu pelihara perpaduan dan serentak dengan itu jangan terpengaruh dengan pihak yang hendak merubah negeri ini dengan cara memecah-belahkan masyarakat.
"Dalam suasana muhibah dan perpaduan yang kuat, jangan cuba terjebak dengan cubaan sesetengah pihak ingin menguasai negeri ini dengan cara yang tidak sihat bagi merealisasikan impian mereka," katanya berucap merasmikan Majlis Penyampaian Bungkusan Kepada Keluarga Miskin Sempena Perayaan Deepavali Peringkat Daerah Ledang di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim, Tangkak, di sini baru-baru ini.
Majlis anjuran Badan Amal Tenaga Isteri Wakil-wakil Rakyat Johor (JUITA) itu turut dihadiri Yang Dipertuanya, Datin Paduka Prof Dr Jamilah Jamilah Ariffin; Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Sumber Manusia, Sains, Teknologi dan Inovasi Johor, M Asojan; Ketua Perhubungan MIC Johor, Datuk K S Balakrishnan; Ahli Parlimen Ledang, Hamim Samuri dan Pegawai Daerah Ledang, Amran Abdul Rahman.
Abdul Ghani berkata, perpaduan yang erat antara kaum di negeri ini membolehkan semua masyarakat dapat bersama meraikan perayaan yang disambut sepanjang tahun.
Katanya, rakyat Johor seharusnya menghargai cara hidup harmoni yang diamalkan setiap kaum kerana mereka dapat menikmati kesejahteraan dan dapat meraikan perayaan seperti Deepavali dengan lebih ceria.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan