19 November 2010

HARIAN METRO 19 NOV 2010: 31 LEMBU DISEMBELIH


Headline: 31 lembu disembelih
Publication: HM
Date of publication: Nov 19, 2010
Section heading: Main Section
Page number: 028
Byline / Author: Oleh Hai Rozzaman Jalal


LEDANG: Sebanyak 31 lembu disembelih dalam program korban Umno Bahagian Ledang dan dagingnya diagihkan kepada golongan fakir miskin di setiap cawangan dalam usaha meneruskan tradisi tahunannya sempena Aidiladha.

Program Korban Perdana 2010 anjuran Biro Kebajikan Umno Bahagian Ledang itu diadakan di Masjid Jamek Kampung Parit Pulai di mana Umno Cawangan Parit Pulai sebagai tuan rumah.

Pengerusi Biro Kebajikan, Abdul Rahim Talib berkata, program Korban Perdana itu disempurnakan perasmiannya oleh Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman selaku Ketua Bahagian.

Katanya, 25 lembu disembelih dan dilapah di kawasan masjid kampung itu oleh jawatankuasa biro dengan dibantu penduduk Kampung Parit Pulai serta cawangan berhampiran.

"Enam lembu dihantar ke beberapa lokasi lain antaranya Tanjung Agas, Sungai Mati, Masjid Jamek Bandar Tangkak dan Ibu Pejabat Polis Daerah Ledang untuk dilaksanakan ibadat korban di kawasan itu.

"Daging korban yang telah siap dibungkus diagihkan kepada penerima dari kalangan golongan fakir miskin di 138 cawangan di Ledang manakala 35 penerima pula di kalangan keluarga kurang berkemampuan di Kampung Parit Pulai dan sekitarnya," katanya pada program itu.

Hadir sama Ahli Parlimen Ledang, Hamim Samuri; Pegawai Daerah Ledang, Amran Abd Rahman; Ahli Dewan Negara, Senator Ahamat Yusop dan Ketua Kampung Parit Pulai, Mohd Som Leman.

Abdull Rahim berkata, dengan keadaan ekonomi yang stabil di mana harga komoditi getah dan kelapa sawit pada paras amat baik, lebih ramai penduduk kampung dapat melaksanakan ibadat korban tahun ini.

Katanya, Umno Bahagian Ledang berterima kasih kepada individu dan korporat yang turut sama melakukan ibadat korban secara berkelompok itu dan berharap bilangannya akan bertambah pada masa akan datang.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan