08 Mei 2012

HARIAN METRO 08 MEI 2012: 600 SERTAI KAYUH BASIKAL 1MALAYSIA

Headline: 600 sertai kayuh basikal 1Malaysia
Publication: HM
Date of publication: May 8, 2012
Section heading: Main Section
Page number: 022
Byline / Author: Oleh Hai Rozzaman Jalal

LEDANG: Seramai 600 peminat sukan berbasikal dari seluruh negara menyertai Karnival Kayuhan 1Malaysia Johor sempena sambutan Hari Pekerja di Dataran Dewan Serbaguna Bukit Gambir, baru-baru ini.

Karnival anjuran Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) Johor dengan kerjasama Jawatankuasa Penyelarasan Mukim-mukim (JPMM) Dewan Undangan Negeri (DUN) Gambir itu bertujuan menghargai sambutan Hari Pekerja, selain memupuk gaya hidup sihat dalam kalangan penduduk.

Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Sumber Manusia, Sains, Teknologi Dan Inovasi Johor, M Asojan berkata, semua peserta memulakan kayuhan dari Dataran Dewan Serbaguna Bukit Gambir menuju Dataran Pulau Penarik, Sungai Mati.

"Pelepasan kali kedua menyaksikan peserta bermula dari Sungai Mati ke Tangkak yang dilepaskan Ahli Parlimen Ledang, Datuk Hamim Samuri.

"Mereka berehat di pekan Sagil sebelum Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tangkak, Goh Tee Tee dan Adun Bukit Serampang, Tahir Md Taat melakukan pelepasan terakhir iaitu peserta berkayuh semula ke Bukit Gambir.

"Semua peserta membuat kayuhan sejauh 50 kilometer dengan penuh bersemangat dan karnival diserikan dengan penyertaan bekas pelumba negara, M Kumaresan," katanya yang melakukan pelepasan di Dataran Dewan Serbaguna Bukit Gambir di sini.

Majlis penutupan karnival itu disempurnakan Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman di Dataran Dewan Serbaguna Bukit Gambir di sini.

Asojan berkata, bagi merancakkan karnival itu, pelbagai aktiviti diadakan termasuk lumba basikal, pertunjukan basikal BMX, pertandingan mewarna kanak-kanak, karaoke dan pameran beberapa agensi kerajaan.

Menurutnya, pertandingan lumba basikal diadakan di Jalan Gambir 6 dan 7, Bandar Baru Bukit Gambir yang berjaya menarik perhatian penduduk.

"Kami tidak sangka karnival ini menerima sambutan luar jangkaan termasuk peminat sukan berbasikal dari Selangor, Terengganu, Perak, Perlis dan Melaka.

"Menerusi karnival ini, kami yakin mampu menjalinkan persahabatan antara peserta negeri ini dan luar.

"Berikutan itu, kami berharap dapat mengadakan karnival sama pada masa akan datang," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan