25 Oktober 2012

HARIAN METRO, 25 OKTOBER 2012: SARAN PEKEBUN KECIL DAPATKAN SKIDIC

Headline: Saran pekebun kecil dapatkan Skidic
Publication: HM
Date of publication: Oct 25, 2012
Section heading: Main Section
Page number: 051

LEDANG: Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), menyarankan pekebun kecil dan syarikat perladangan sawit di negeri ini merebut peluang mendapatkan Skim Diskaun Cantas (Skidic), bagi membeli mesin menuai buah sawit bermotor dikenali sebagai `Cantas'.

Ketua Wilayah Selatan MPOB, Zulkifli Shawal, berkata kerajaan menyediakan skim diskaun itu kepada pekebun kecil dan syarikat perladangan sawit bagi menjimatkan mereka menggunakan teknologi menuai tandan sawit dan memotong pelepah sawit bermotor.

Katanya, melalui skim itu kerajaan memperuntukkan sebanyak RM5.3 juta bagi memberi peluang kepada pekebun kecil membeli mesin Cantas dengan diskaun RM1,000 setiap unit.

Menurutnya, tawaran mendapatkan Skidic berakhir hujung tahun ini atau sehingga peruntukan disediakan kerajaan habis diagihkan.

"Setakat ini, sebanyak RM2.3 juta diskaun sudah diberikan kepada pemohon dan baki RM3.1 juta lagi boleh dipohon berdasarkan 'siapa cepat dia dapat'.

"Pekebun kecil sawit perlu merebut peluang ini dengan memohon Skidic untuk membeli mesin Cantas berharga antara RM2,500 hingga RM4,400 seunit," katanya ketika merasmikan Program Jom Guna Cantas Wilayah Selatan Zon Ledang anjuran MPOB di Kompleks Mohd Janis Sdn Bhd, Bukit Gambir di sini, semalam.

Hadir sama, Felo Penyelidik Kanan NKEA MPOB, Adzmi Hassan; Ketua Kumpulan Unit Perundingan dan Implementasi Projek MPOB, Zulkifli Abd Manaf; Ketua Pejabat MPOB Cawangan Tangkak, Ab Rahman Mohamed dan Pengarah Urusan Mohd Janis Sdn Bhd, Mohd Janis Abu Bakar.

Seramai 150 peserta terdiri daripada peniaga, penuai, koperasi dan pekebun kecil sawit menghadiri program pengenalan dan demonstrasi penggunaan mesin berkenaan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan