27 Oktober 2012

HARIAN METRO, 27 OKTOBER 2012: IMAM SHARIF MERIAH SAMBUTAN AIDILADHA KAMPUNG PARIT KASSAN

Headline: Imam Sharif meriah sambutan Aidiladha Kampung Parit Kassan
Publication: HM
Date of publication: Oct 27, 2012
Section heading: Main Section
Page number: 002

LEDANG: Kunjungan Imam Masjid Abbad, Makkah, Al Hafiz Mohammad Sharif Mohammad Imrani ke Surau Parit Kassan, Kampung Parit Hassan, Bukit Gambir di sini, menambah keceriaan persiapan sambutan Aidiladha penduduk kampung itu, petang kelmarin.

Mohammad Sharif atau lebih dikenali sebagai Imam Sharif tiba di surau berkenaan atas jemputan bendahari dua surau berkenaan, Mohd Janis Abu Bakar.

Ketua Kampung Parit Kassan, Mohd Hamzah Basar berkata, penduduk kampung gembira menerima kunjungan mesra Imam Sharif yang bertemu kariah dan beramah mesra.

Katanya, Imam Sharif menjadi imam program Ramadan di Melaka sejak 1999 dan sepanjang Ramadan lalu, beliau mengimamkan solat tarawih di masjid dan surau terpilih di negeri berkenaan.

"Kami bertuah kerana Imam Sharif sudi meluangkan masa dan memenuhi undangan kariah dengan datang ke kampung ini walaupun pada waktu singkat.

"Dalam kunjungan itu, Imam Sharif sempat mengimamkan solat Asar dan menyertai majlis tahlil bersama penduduk kampung di kediaman Mohd Janis," katanya di sini.

Imam Masjid Jamek Parit Kassan, Mohd Taha Husnan berkata, kunjungan kali pertama Imam Sharif yang bertugas sebagai imam dan guru al-Quran di Masjid Abbad, Makkah, ke kampungnya memberi peluang penduduk bertemu dengannya untuk bertanya beberapa perkara berkaitan agama.

Katanya, walaupun kunjungan itu tidak rasmi penduduk kampung gembira dapat beramah mesra bersama beliau yang fasih berbahasa Melayu selain merapatkan silaturahim.

"Kami berharap, dia sudi kembali ke kampung kami menerusi acara keagamaan rasmi yang bakal diadakan kelak," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan