29 Oktober 2012

HARIAN METRO, 29 OKTOBER 2012: 48 LEMBU DIKORBAN

Headline: 48 lembu dikorban
Publication: HM
Date of publication: Oct 29, 2012
Section heading: Main Section
Page number: 022

LEDANG: Sebanyak 48 lembu dikorbankan pada majlis Korban Perdana dan Sumbangan Wang Zakat 2012 anjuran Umno Bahagian Ledang dan SME Bank di Kampung Sialang, Tangkak, semalam.

Program tahunan anjuran Biro Kebajikan Umno Bahagian Ledang itu disertai penduduk Kampung Sialang dan kampung berhampiran yang bergotong-royong melapah dan mengagihkan daging.

Pengerusi penganjur, Datuk Abdul Rahim Talib berkata, 31 daripada 48 lembu disembelih pada program berkenaan manakala selebihnya diagihkan kepada pengurusan masjid, surau dan jabatan kerajaan di Parlimen Ledang.

Katanya, tahun ini pihaknya menerima sumbangan lembu untuk program korban daripada syarikat korporat dan individu di mana daging berkenaan diagihkan kepada golongan fakir miskin dan kurang berkemampuan.

"Kami berterima kasih kepada pihak yang memberi sumbangan lembu untuk program korban perdana ini dan berharap jumlah lembu dikorbankan tahun depan akan bertambah sebagai tanda syukur atas nikmat dan rezeki dikurniakan Allah," katanya pada majlis berkenaan.

Program dirasmikan Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman dihadiri Ahli Parlimen Ledang, Hamim Samuri; Pengarah Pusat Pembangunan Usahawan SME Bank, Dr Sheikh Ghazali Sheikh Abod; Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tangkak, Goh Tee Tee; Pegawai Daerah Ledang, Ab Han Ramin dan Ketua Kampung Sialang, Mohd Yusof Ahmad.

Abdul Rahim berkata, SME Bank menyumbangkan tujuh ekor lembu untuk dikorbankan di Masjid Kampung Sialang, selain menyerahkan wang zakat berjumlah RM25,000 kepada lima kampung sekitar.

Katanya, daging korban itu diagihkan kepada penerima di kampung berhampiran menerusi ketua kampung atau ketua cawangan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan