30 Januari 2011

HARIAN METRO 29 JANUARI 2011: 25 WANITA SERTAI KURSUS JENAZAH


Headline: 25 wanita sertai kursus jenazah
Publication: HM
Date of publication: Jan 29, 2011
Section heading: Main Section
Page number: 033


LEDANG: Pengetahuan berkaitan pengurusan jenazah perlu ada pada diri setiap individu bagi memudahkan urusan pengebumian jika berlaku kematian di kalangan anggota masyarakat di tempat masing-masing.

Sehubungan itu, 25 ahli Pakatan Yasin Wanita Surau Dua, Parit Kassan menyertai kursus pengurusan jenazah di bawah bimbingan Guru Besar Sekolah Agama Simpang 5 Pekan, Aminah Sardi, di Balai Raya Kampung Parit Kassan, baru-baru ini.

Penyelaras program, Siti Mahani Dailam, 47, berkata, objektif kursus untuk menambah ilmu pengetahuan dan kefahaman lebih mendalam berkaitan pengurusan jenazah dan kaedah menyempurnakannya.

Katanya, persatuan itu mengambil inisiatif mengadakan kursus berkenaan memandangkan jika berlaku kematian, hanya beberapa individu saja yang menguruskannya bermula daripada memandikan jenazah sehingga proses kafan.

Menurut Mahani, kursus itu membabitkan wanita muda dan dewasa bagi membentuk pelapis.

22 Januari 2011

HARIAN METRO 22 JANUARI 2011: SELAMAT BERSARA


Headline: Selamat bersara
Publication: HM
Date of publication: Jan 22, 2011
Section heading: Main Section
Page number: 039
Byline / Author: Oleh Hai Rozzaman Jalal


LEDANG: Pengalaman diperoleh sepanjang 34 tahun berkecimpung dalam bidang pendidikan terlalu berharga dan hatinya pula berat untuk meninggalkan tugas yang sudah sebati dengan jiwa.

Namun atas tuntutan persaraan, Munah Abd Majid, 58, Guru Besar Sekolah Kebangsaan Parit Kasan (SKPK), Bukit Gambir di sini, terpaksa melepaskan tugas itu.

Kelmarin, sempena persaraannya, Munah dibawa menaiki jip khas diiringi 12 ahli pemilik Skuter Bukit Gambir mengelilingi sekitar Kampung Parit Kassan dan memberikan lambaian terakhir kepada murid dan warga SKPK yang berbaris di sepanjang jalan keluar sekolah itu.

Munah dalam ucapannya menyatakan terharu dengan sambutan diberikan dan berterima kasih kerana semua pihak memberi kerjasama sepanjang beliau bertugas di SKPK terutama masyarakat setempat yang sentiasa menyokong aktiviti dijalankan.

"Walaupun tidak sempat menduduki bangunan baru yang hampir siap, saya berharap ia dijadikan lambang kemegahan dan kejayaan sekolah serta masyarakat untuk mempertingkatkan lagi kecemerlangan akademik dan kokurikulum.

"Pada masa sama, guru jangan takut berdepan cabaran dalam bidang pendidikan yang semakin berubah termasuk sentiasa mengamalkan sikap menyayangi anak murid, selain perlu meningkatkan ilmu pengetahuan supaya tidak ketinggalan demi mendidik anak bangsa.

"Saya mula terbabit dalam profesion perguruan selepas ditawarkan mengikuti latihan di Maktab Perguruan Temenggong Ibrahim, Johor Bahru pada 1975.

"Sekolah Menengah Jementah adalah sekolah pertama tempat saya memulakan perkhidmatan pada 1978," katanya yang juga anak kedua daripada 10 beradik.

21 Januari 2011

HARIAN METRO 21 JANUARI 2011: PEMILIK TANAH PAYA GAGAL USAHA TANAH



Headline: Pemilik tanah paya gagal usaha tanah
Publication: HM
Date of publication: Jan 21, 2011
Section heading: Metro Plus
Page number: 001
Byline / Author: Oleh Hai Rozzaman Jalal


LEDANG: Masalah sistem saliran yang gagal diatasi sejak empat tahun lalu di Kampung Datuk Ngah, Sengkang, Batu 20 di sini, menjadi penghalang kepada 272 pemilik tanah paya untuk mengusahakan tanah masing-masing.

Perkara itu menyebabkan pemilik tanah berputih mata kerana biarpun sudah banyak kali berusaha untuk mengusahakannya dengan tanaman kelapa sawit, ia tetap gagal akibat masalah berkenaan.

Hingga kini, hanya 43 pemilik tanah yang berpeluang mengusahakan tanaman kelapa sawit selepas mengeluarkan perbelanjaan tinggi bagi menaik taraf sistem saliran.

Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Sumber Manusia, Sains, Teknologi dan Inovasi negeri, M Asojan berkata, tanah yang terletak di sebahagian kawasan Tadahan Air Ulu Ring, Gersik itu mula diusahakan segelintir penduduk Kampung Datuk Ngah sejak 10 tahun lalu.

Beliau berkata, di atas keprihatinan Kerajaan Persekutuan dan negeri, pada 2006, seramai 272 penduduk kampung itu dikurniakan hak milik tanah seluas 283 hektar daripada keseluruhan tanah seluas 420 hektar di kawasan itu.

"Bagaimanapun, keadaan saliran yang kurang baik menyebabkan kawasan berkenaan sering dinaiki air kerana ia gagal mengalir ke Sungai Ring.

"Masalah itu dirujuk kepada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Johor dan agensi berkenaan memperuntukkan RM100,000 dalam masa terdekat bagi kerja mengorek sistem perparitan sepanjang enam kilometer di sana, selain menyelenggara saliran sedia ada," katanya.

Beliau ditemui pada majlis Perjumpaan Khas Bersama Pemilik Tanah Paya Kampung Datuk Ngah, baru-baru ini.

Turut hadir Jurutera JPS Ledang, Wan Norshuhada Wan Khairuddin; Pegawai Pertanian Daerah Ledang, Jamaludin Md Zin; Penghulu Mukim Gersik, Ishak Abu Bakar; Ketua Kampung Sengkang Batu 20, Adi Omar; Ketua Umno Cawangan, Kapten (B) Mohd Yasir Mohed dan Pengerusi Sementara Pemilik Tanah Paya kampung itu, Omar Ahmad.

Menurut Asojan, parit yang hendak dikorek juga perlu disesuaikan dengan keadaan saliran sedia ada di mana ia tidak boleh lebih dalam daripada Sungai Ring.

"Saya juga meminta kerjasama JPS menjalankan pembersihan parit dan sungai di kawasan berkenaan secara berkala, manakala Jabatan Pertanian mengadakan sesi perjumpaan dengan kumpulan belia kampung bagi mengenal pasti mereka yang berminat menjadi petani.

"Kami berharap ia menjadi satu permulaan baru bagi pemilik tanah yang tidak sabar untuk mengusahakan tanah berkenaan," katanya.

18 Januari 2011

HARIAN METRO 18 JAN 2011: SAMBUNG TRADISI 1996


Headline: Sambung tradisi 1996
Publication: HM
Date of publication: Jan 18, 2011
Section heading: Main Section
Page number: 019
Byline / Author: Oleh Hai Rozzaman Jalal


LEDANG: Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Mukim Tangkak di sini, menggerakkan semula Program Membudayakan al-Quran di masjid dan surau di mukim itu selepas dihentikan sementara sempena Ramadan dan Aidilfitri tahun lalu.

Program sejak 1996 yang diadakan setiap Rabu selepas solat Maghrib itu bertujuan meramaikan individu celik al-Quran serta memahami kandungan kitab suci itu.

Penghulu Kanan Daerah Ledang, Safiee Amat, 53, berkata, pada 2010, rombongan JKKK Mukim Tangkak menjelajah ke setiap masjid dalam mukim itu.

"Ia diteruskan di surau kampung serta taman perumahan mengikut giliran setiap minggu. Selain mendidik masyarakat mencintai al-Quran, program ini juga mengeratkan silaturahim di kalangan penduduk setempat.

"Kami berharap program tidak berakhir pada hari itu, sebaliknya diteruskan penduduk," katanya.

Safiee memuji kesungguhan ketua kampung dan JKKK yang bekerjasama dengan kariah setiap rumah ibadat digilirkan setiap minggu bagi mengadakan program berkenaan.

Beliau berharap jawatankuasa masjid dan surau di setiap kampung atau taman perumahan dapat mengimarahkan institusi berkenaan sebaik-baiknya dan menjadikan al-Quran sebagai panduan kehidupan seharian.

Sementara itu, Ahli JKKK Kampung Solok, Mohd Noh Mohamed, 50, berkata, golongan muda perlu mengambil kesempatan menyertai program itu kerana dapat membentuk peribadi muslim sejati.

"Al-Quran perlu dijadikan pegangan dan program ilmu seperti ini patut dihadiri golongan muda kerana boleh digunakan sebagai pedoman untuk mereka mengemudi kehidupan serta mencorak kepimpinan masa depan negara," katanya.

10 Januari 2011

HARIAN METRO 10 JAN 2011: VAN BERPUSING LEPAS TERBALIK


Headline: Van berpusing lepas terbalik
Publication: HM
Date of publication: Jan 10, 2011
Section heading: Main Section
Page number: 018
Byline / Author: Oleh Hai Rozzaman Jalal


LEDANG: Tiga kakitangan sebuah syarikat kawalan keselamatan berdepan detik cemas apabila van dinaiki terbabas lalu terbalik di Jalan Bukit Gambir-Sagil berhampiran Kampung Parit Kassan, Jumaat lalu.

Dalam kejadian jam 12 tengah hari itu, pemandu van, Nurul Akmal Mohd Hazin, 24, patah bahu manakala juruteknik mesin juruwang automatik (ATM) syarikat berkenaan, Mohd Ridzuan Paiman, 22, cedera di kepala akibat terkena serpihan kaca.

Akmal dan Mohd Ridzuan dihantar ke Hospital Tangkak (HT) untuk diberikan rawatan manakala pengawal keselamatan, Muhamad Izwan Othman, 27, tidak mengalami kecederaan.

Menurut Izwan, ketika kejadian, dia duduk di belakang pemandu dan tidak menyedari bagaimana insiden berlaku.

"Kejadian berlaku amat pantas, tiba-tiba van yang dipandu terbalik lalu berpusing berkali-kali sebelum tersadai di bahu jalan.

"Saya hanya mendengar rakan mengerang kesakitan. Dengan bantuan penduduk kampung, saya mengeluarkan Akmal serta Ridzuan," katanya, semalam.

Orang ramai menghubungi polis serta ambulans yang tiba tidak lama kemudian.

Menurut Izwan, mereka dalam perjalanan dari Bukit Gambir ke Kolej Matrikulasi Johor, Tangkak untuk menyelenggara ATM di sana.

Katanya, mereka bersyukur kerana van berkenaan tidak merempuh tiang elektrik atau terjunam ke sungai berhampiran.

"Jika ia berlaku, kami bertiga pasti mengalami kecederaan lebih parah atau mungkin lebih daripada itu," katanya.

Sementara itu, seorang penoreh yang hanya dikenali sebagai Dali, berusia lingkungan 30-an berkata, dia sedang menoreh apabila terdengar dentuman kuat di seberang jalan.

"Saya sangkakan pekerja sayur di seberang jalan sedang memunggah sayuran ke lori dan keluar untuk melihatnya.

"Bagaimanapun, saya terkejut mendapati ada van terbalik dan tidak lama kemudian, polis tiba untuk mengawal kawasan kemalangan," katanya.

BERITA MINGGU 09 JANUARI 2011: VAN BAWA 20 KARUNG DUIT TERBALIK, TIGA SELAMAT


Headline: Van bawa 20 karung duit terbalik, tiga selamat
Publication: BM
Date of publication: Jan 9, 2011
Section heading: Main Section
Page number: 008

LEDANG
: Tiga petugas syarikat kawalan keselamatan menempuh saat cemas apabila van dinaiki mereka yang membawa 20 karung wang tunai terbabas serta berpusing beberapa kali sebelum terbalik di Jalan Bukit Gambir-Sagil dekat Parit Kassan, di sini kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 12 tengah hari itu, Nurul Akmal Mohd Hazin, 24, yang memandu van patah bahu, manakala juruteknik mesin ATM syarikat itu, Mohd Ridzuan Paiman, 22, cedera di kepala terkena serpihan kaca.

Kedua-dua mangsa dihantar ke Hospital Tangkak, manakala pengawal keselamatan, Muhamad Izwan Othman, 27, tidak cedera. Sepasukan anggota Balai Polis Bukit Gambir tiba sejurus kemalangan untuk mengawal lokasi terbabit.

Muhamad Izwan berkata, beliau duduk di belakang pemandu apabila tiba-tiba kenderaan itu hilang kawalan lalu berpusing enam kali dan terbalik di tepi jalan.

"Kami dalam perjalanan dari Bukit Gambir ke Kolej Matrikulasi Johor dekat Tangkak bagi menyelenggara mesin ATM. Kami bernasib baik apabila van tidak merempuh tiang elektrik atau jatuh ke dalam sungai," katanya.

09 Januari 2011

HARIAN METRO 8 JANUARI 2011: BUKIT GAMBIR C MENANG ANUGERAH KRT CEMERLANG


Headline: Bukit Gambir C menang anugerah KRT Cemerlang
Publication: HM
Date of publication: Jan 8, 2011
Section heading: Main Section
Page number: 032

LEDANG
: Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Bukit Gambir C di sini, dinobatkan sebagai KRT Cemerlang manakala Jiran Wanita KRT Taman Syed Nasir, Tanjung Agas pula dianugerahkan Jiran Wanita Cemerlang 2010 Peringkat Daerah Ledang, baru-baru ini.

Anugerah disampaikan Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Sumber Manusia, Sains, Teknologi dan Inovasi negeri, M Asojan pada Malam Sekalung Budi KRT Daerah Ledang 2010 anjuran Pejabat Perpaduan Daerah Ledang.

Sebanyak 25 KRT di daerah berkenaan menerima anugerah masing-masing bagi kategori KRT Berpotensi dan KRT Aktif sebagai penghargaan terhadap aktiviti dijalankan sepanjang 2010.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Gambir berkata, kerajaan negeri akan menjadikan 2011 sebagai Tahun Transformasi Rukun Tetangga Johor dan berharap memberi manfaat kepada 600 KRT dengan pelbagai aktiviti.

"Jabatan Perpaduan akan memberi lebih tumpuan kepada program transformasi ini dengan memperluaskan penubuhan Skim Rondaan Sukarela (SRS).

"Walaupun terdapat 25 KRT di Ledang, hanya lima KRT yang menubuhkan SRS dalam membantu pihak berkuasa membanteras jenayah serta menjaga keselamatan kawasan kediaman mereka, semua KRT digalakkan menubuhkan SRS di kawasan masing-masing," katanya di Dewan Serbaguna Bukit Gambir.

Asojan menyeru setiap KRT menubuhkan pasukan SRS yang berdaftar di bawah Jabatan Perpaduan Daerah Ledang.

"KRT yang dianggotai pelbagai kaum serta latar belakang adalah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) paling berjaya menerapkan semangat perpaduan dalam kalangan ahlinya," katanya.

08 Januari 2011

HARIAN METRO 08 JAN 2011: PELANGGAN SAPU BERSIH


Headline: Pelanggan sapu bersih
Publication: HM
Date of publication: Jan 8, 2011
Section heading: Main Section
Page number: 033
Byline / Author: Oleh Hai Rozzaman Jalal


LEDANG: Lebih 100 hamper dan barangan elektrik yang disediakan Biro Promosi Jawatankuasa Peniaga Kompleks Pasar Tani Kekal Bukit Gambir, 'disapu bersih' oleh pelanggan yang memenangi cabutan bertuah sempena penutupan Promosi Hari Khamis dan Hari Mesra Pelanggan kompleks berkenaan, baru-baru ini.

Selain itu, sebuah basikal dan empat baucar penginapan dua hari satu malam di Institut Latihan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) Port Dickson, Negeri Sembilan, dijadikan hadiah bonus sebagai penghargaan atas sokongan pelanggan yang berbelanja di kompleks itu setiap hari.

Pengerusi penganjurnya, Abdul Razak Mohd Sam berkata, program itu kemuncak kepada promosi diadakan setiap Khamis serta Hari Mesra Pelanggan sepanjang tahun 2010 bagi menggalakkan orang ramai berkunjung dan mendapatkan barangan keperluan harian.

"Kami memberikan kupon cabutan bertuah kepada pelanggan yang berbelanja sejak November hingga Disember 2010.

"Pelanggan diberi kupon berbeza, mereka yang berbelanja RM30 mendapat kupon merah dan berpeluang memenangi hamper manakala pelanggan berbelanja lebih RM50 diberikan kupon kuning serta berpeluang memenangi barangan elektrik," katanya, semalam.

Turut hadir, Pengarah Fama Johor, Faridulatrash Mohd Mokri dan Pengurus Kompleks, Narudin Sulaiman.

Menurutnya, pelanggan Pasar Tani Kekal itu bukan hanya terdiri penduduk sekitar Bukit Gambir, malah ada yang datang dari Pagoh, Panchor, Bukit Serampang, Sungai Mati dan Tangkak.

"Banyak pilihan makanan segar di pasar ini seperti sayuran, ikan, daging dan produk keluaran perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

"Ia dijual pada harga berpatutan dan kami harap lebih ramai pengunjung datang mendapatkan pelbagai hasil petani," katanya.

Sementara itu, penyelaras promosi program itu, Royhamirol Elias berkata, promosi itu melonjakkan imej pasar tani berkenaan di samping menarik pelanggan berkunjung bagi melihat kelainannya.

"Program cabutan bertuah ini dapat mengeratkan lagi hubungan antara peniaga dengan pelanggan dan ia satu daripada tarikan serta penghargaan kepada semua," katanya.

HARIAN METRO 07 JANUARI 2011: CUNGKIL BAKAT PEMAIN BOLA SAWAH RING


Headline: Cungkil bakat pemain bola Sawah Ring
Publication: HM
Date of publication: Jan 7, 2011
Section heading: Metro Plus
Page number: 016


KEJOHANAN Bola sepak 7 Sebelah Tertutup Kampung Sawah Ring di sini, baru-baru ini, diadakan bagi mencungkil bakat baru sukan berkenaan.

Ia dianjurkan bersama Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Sawah Ring, Pergerakan Pemuda Umno Cawangan Kampung Sawah Ring, Kampung Baru dan Kampung Gaung Kepar.

Objektif lain kejohanan adalah untuk membentuk skuad bola sepak Sawah Ring sebagai persediaan menyertai pertandingan pada masa akan datang.

Ketua Pergerakan Pemuda Umno Bahagian Ledang, Zaidi Ab Majid, berkata melalui sukan, ia dapat menanamkan sikap persaingan secara sihat tanpa ada sekatan atau batasan yang boleh menimbulkan perasaan irihati juga dendam.

"Semangat kerjasama dapat dipupuk di kalangan belia di mana dengan adanya semangat kerja berpasukan, matlamat yang diimpikan boleh dicapai.

"Semangat kesukanan yang dibentuk melalui pertandingan bola sepak ini boleh diterjemahkan ke dalam kepemimpinan dalam masyarakat dengan kerjasama erat setiap individu," katanya ketika merasmikan kejohanan itu di padang Sekolah Kebangsaan Sawah Ring.

Dalam kejohanan itu, Alam FC muncul johan selepas menewaskan Kick FC dan masing-masing membawa pulang hadiah berupa piala dan wang tunai RM200 serta RM150.

Pasukan Belia Sawah Ring FC mendapat tempat ketiga dengan hadiah piala dan wang tunai RM100, manakala Zairul Zainal dinobatkan pemain terbaik, Mohd Zaim Zaqwan Yusof (penjaring terbanyak) dan Mohd Firdaus Nordin memegang gelaran pemain harapan.

HARIAN METRO 7 JANUARI 2011: BIMBING HORMAT IBU BAPA, SOLAT SEMPURNA


Headline: Bimbing hormat ibu bapa, solat sempurna
Publication: HM
Date of publication: Jan 7, 2011
Section heading: Metro Plus
Page number: 002


LEDANG: Selain mendapat kenalan baru, peserta yang menyertai Kem Motivasi Anak Soleh di Tangkak di sini, baru-baru ini, diajar kaedah menghormati ibu bapa dan bimbingan berkaitan solat yang sempurna.

Peserta, Muhammad Khairul Hafizy Roslan, berkata sebelum mengikuti kem berkenaan dia tidak menjaga solat dan ada kalanya terlalai.

"Bagaimanapun, selepas menyertai kem motivasi ini, saya berazam untuk menjaga solat lima waktu selain patuh kepada ibu bapa.

"Saya juga akan lebih kerap membaca al-Quran kerana terlalu banyak kebaikan yang bakal diperoleh untuk bekalan di akhirat," katanya yang berasal dari Masjid Tanah, Melaka.

Hafizy antara 60 peserta berusia 9 hingga 15 tahun yang menyertai kem motivasi berkenaan selama tiga minggu sempena cuti sekolah.

Kem motivasi yang bertemakan Ke Arah Pembentukan Akhlak al-Quran itu disertai pelajar sekolah rendah dan menengah dari Muar, Batu Pahat, Johor Bahru, Kuala Lumpur dan Melaka.

Pengarah kem, Kasma Mohd Said, berkata objektif program itu untuk membentuk peribadi Muslim sejati dengan menyemaikan sifat mulia ke dalam jiwa setiap peserta di samping memupuk kesedaran terhadap kepentingan al-Quran.

"Tiga modul diperkenalkan sepanjang program iaitu Apakah Makna Islam, Kenali Allah dengan Asmaul Husna dan Gagal Mujahadah Tergadai Maruah yang berkaitan dosa besar.

"Sepanjang tiga minggu, peserta turut menyertai pertandingan tahfiz al-Quran dan hadis, sukaneka, ceramah serta kursus solat selain pembentangan modul oleh peserta sendiri dalam setiap bengkel," katanya.

Menurut Kasma, peserta dibimbing untuk melakukan solat tahajud setiap malam supaya diberi hidayah daripada Allah dan dibuka pintu hati mereka bagi mengikuti program berkenaan.

Sementara itu, penasihat kem, Mohd Arifi Mat Husin, berkata program berkenaan diharap dapat melahirkan individu yang sentiasa mentaati perintah Allah swt dan ibu bapa.

"Pembentukan anak soleh bukan perkara mudah, malah ia perlu melalui proses bimbingan yang berterusan dalam bidang keagamaan dan kerohanian.

"Selain itu, berdasarkan maklum balas ibu bapa, kami akan menganjurkan kem motivasi ini pada setiap cuti persekolahan," katanya.