18 Januari 2011

HARIAN METRO 18 JAN 2011: SAMBUNG TRADISI 1996


Headline: Sambung tradisi 1996
Publication: HM
Date of publication: Jan 18, 2011
Section heading: Main Section
Page number: 019
Byline / Author: Oleh Hai Rozzaman Jalal


LEDANG: Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Mukim Tangkak di sini, menggerakkan semula Program Membudayakan al-Quran di masjid dan surau di mukim itu selepas dihentikan sementara sempena Ramadan dan Aidilfitri tahun lalu.

Program sejak 1996 yang diadakan setiap Rabu selepas solat Maghrib itu bertujuan meramaikan individu celik al-Quran serta memahami kandungan kitab suci itu.

Penghulu Kanan Daerah Ledang, Safiee Amat, 53, berkata, pada 2010, rombongan JKKK Mukim Tangkak menjelajah ke setiap masjid dalam mukim itu.

"Ia diteruskan di surau kampung serta taman perumahan mengikut giliran setiap minggu. Selain mendidik masyarakat mencintai al-Quran, program ini juga mengeratkan silaturahim di kalangan penduduk setempat.

"Kami berharap program tidak berakhir pada hari itu, sebaliknya diteruskan penduduk," katanya.

Safiee memuji kesungguhan ketua kampung dan JKKK yang bekerjasama dengan kariah setiap rumah ibadat digilirkan setiap minggu bagi mengadakan program berkenaan.

Beliau berharap jawatankuasa masjid dan surau di setiap kampung atau taman perumahan dapat mengimarahkan institusi berkenaan sebaik-baiknya dan menjadikan al-Quran sebagai panduan kehidupan seharian.

Sementara itu, Ahli JKKK Kampung Solok, Mohd Noh Mohamed, 50, berkata, golongan muda perlu mengambil kesempatan menyertai program itu kerana dapat membentuk peribadi muslim sejati.

"Al-Quran perlu dijadikan pegangan dan program ilmu seperti ini patut dihadiri golongan muda kerana boleh digunakan sebagai pedoman untuk mereka mengemudi kehidupan serta mencorak kepimpinan masa depan negara," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan