21 Januari 2011

HARIAN METRO 21 JANUARI 2011: PEMILIK TANAH PAYA GAGAL USAHA TANAH



Headline: Pemilik tanah paya gagal usaha tanah
Publication: HM
Date of publication: Jan 21, 2011
Section heading: Metro Plus
Page number: 001
Byline / Author: Oleh Hai Rozzaman Jalal


LEDANG: Masalah sistem saliran yang gagal diatasi sejak empat tahun lalu di Kampung Datuk Ngah, Sengkang, Batu 20 di sini, menjadi penghalang kepada 272 pemilik tanah paya untuk mengusahakan tanah masing-masing.

Perkara itu menyebabkan pemilik tanah berputih mata kerana biarpun sudah banyak kali berusaha untuk mengusahakannya dengan tanaman kelapa sawit, ia tetap gagal akibat masalah berkenaan.

Hingga kini, hanya 43 pemilik tanah yang berpeluang mengusahakan tanaman kelapa sawit selepas mengeluarkan perbelanjaan tinggi bagi menaik taraf sistem saliran.

Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Sumber Manusia, Sains, Teknologi dan Inovasi negeri, M Asojan berkata, tanah yang terletak di sebahagian kawasan Tadahan Air Ulu Ring, Gersik itu mula diusahakan segelintir penduduk Kampung Datuk Ngah sejak 10 tahun lalu.

Beliau berkata, di atas keprihatinan Kerajaan Persekutuan dan negeri, pada 2006, seramai 272 penduduk kampung itu dikurniakan hak milik tanah seluas 283 hektar daripada keseluruhan tanah seluas 420 hektar di kawasan itu.

"Bagaimanapun, keadaan saliran yang kurang baik menyebabkan kawasan berkenaan sering dinaiki air kerana ia gagal mengalir ke Sungai Ring.

"Masalah itu dirujuk kepada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Johor dan agensi berkenaan memperuntukkan RM100,000 dalam masa terdekat bagi kerja mengorek sistem perparitan sepanjang enam kilometer di sana, selain menyelenggara saliran sedia ada," katanya.

Beliau ditemui pada majlis Perjumpaan Khas Bersama Pemilik Tanah Paya Kampung Datuk Ngah, baru-baru ini.

Turut hadir Jurutera JPS Ledang, Wan Norshuhada Wan Khairuddin; Pegawai Pertanian Daerah Ledang, Jamaludin Md Zin; Penghulu Mukim Gersik, Ishak Abu Bakar; Ketua Kampung Sengkang Batu 20, Adi Omar; Ketua Umno Cawangan, Kapten (B) Mohd Yasir Mohed dan Pengerusi Sementara Pemilik Tanah Paya kampung itu, Omar Ahmad.

Menurut Asojan, parit yang hendak dikorek juga perlu disesuaikan dengan keadaan saliran sedia ada di mana ia tidak boleh lebih dalam daripada Sungai Ring.

"Saya juga meminta kerjasama JPS menjalankan pembersihan parit dan sungai di kawasan berkenaan secara berkala, manakala Jabatan Pertanian mengadakan sesi perjumpaan dengan kumpulan belia kampung bagi mengenal pasti mereka yang berminat menjadi petani.

"Kami berharap ia menjadi satu permulaan baru bagi pemilik tanah yang tidak sabar untuk mengusahakan tanah berkenaan," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan