Date of publication: Jan 22, 2011
Section heading: Main Section
Page number: 039
Byline / Author: Oleh Hai Rozzaman Jalal
LEDANG: Pengalaman diperoleh sepanjang 34 tahun berkecimpung dalam bidang pendidikan terlalu berharga dan hatinya pula berat untuk meninggalkan tugas yang sudah sebati dengan jiwa.
Namun atas tuntutan persaraan, Munah Abd Majid, 58, Guru Besar Sekolah Kebangsaan Parit Kasan (SKPK), Bukit Gambir di sini, terpaksa melepaskan tugas itu.
Kelmarin, sempena persaraannya, Munah dibawa menaiki jip khas diiringi 12 ahli pemilik Skuter Bukit Gambir mengelilingi sekitar Kampung Parit Kassan dan memberikan lambaian terakhir kepada murid dan warga SKPK yang berbaris di sepanjang jalan keluar sekolah itu.
Munah dalam ucapannya menyatakan terharu dengan sambutan diberikan dan berterima kasih kerana semua pihak memberi kerjasama sepanjang beliau bertugas di SKPK terutama masyarakat setempat yang sentiasa menyokong aktiviti dijalankan.
"Walaupun tidak sempat menduduki bangunan baru yang hampir siap, saya berharap ia dijadikan lambang kemegahan dan kejayaan sekolah serta masyarakat untuk mempertingkatkan lagi kecemerlangan akademik dan kokurikulum.
"Pada masa sama, guru jangan takut berdepan cabaran dalam bidang pendidikan yang semakin berubah termasuk sentiasa mengamalkan sikap menyayangi anak murid, selain perlu meningkatkan ilmu pengetahuan supaya tidak ketinggalan demi mendidik anak bangsa.
"Saya mula terbabit dalam profesion perguruan selepas ditawarkan mengikuti latihan di Maktab Perguruan Temenggong Ibrahim, Johor Bahru pada 1975.
"Sekolah Menengah Jementah adalah sekolah pertama tempat saya memulakan perkhidmatan pada 1978," katanya yang juga anak kedua daripada 10 beradik.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan