09 Januari 2011

HARIAN METRO 8 JANUARI 2011: BUKIT GAMBIR C MENANG ANUGERAH KRT CEMERLANG


Headline: Bukit Gambir C menang anugerah KRT Cemerlang
Publication: HM
Date of publication: Jan 8, 2011
Section heading: Main Section
Page number: 032

LEDANG
: Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Bukit Gambir C di sini, dinobatkan sebagai KRT Cemerlang manakala Jiran Wanita KRT Taman Syed Nasir, Tanjung Agas pula dianugerahkan Jiran Wanita Cemerlang 2010 Peringkat Daerah Ledang, baru-baru ini.

Anugerah disampaikan Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Sumber Manusia, Sains, Teknologi dan Inovasi negeri, M Asojan pada Malam Sekalung Budi KRT Daerah Ledang 2010 anjuran Pejabat Perpaduan Daerah Ledang.

Sebanyak 25 KRT di daerah berkenaan menerima anugerah masing-masing bagi kategori KRT Berpotensi dan KRT Aktif sebagai penghargaan terhadap aktiviti dijalankan sepanjang 2010.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Gambir berkata, kerajaan negeri akan menjadikan 2011 sebagai Tahun Transformasi Rukun Tetangga Johor dan berharap memberi manfaat kepada 600 KRT dengan pelbagai aktiviti.

"Jabatan Perpaduan akan memberi lebih tumpuan kepada program transformasi ini dengan memperluaskan penubuhan Skim Rondaan Sukarela (SRS).

"Walaupun terdapat 25 KRT di Ledang, hanya lima KRT yang menubuhkan SRS dalam membantu pihak berkuasa membanteras jenayah serta menjaga keselamatan kawasan kediaman mereka, semua KRT digalakkan menubuhkan SRS di kawasan masing-masing," katanya di Dewan Serbaguna Bukit Gambir.

Asojan menyeru setiap KRT menubuhkan pasukan SRS yang berdaftar di bawah Jabatan Perpaduan Daerah Ledang.

"KRT yang dianggotai pelbagai kaum serta latar belakang adalah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) paling berjaya menerapkan semangat perpaduan dalam kalangan ahlinya," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan