08 Januari 2011

HARIAN METRO 08 JAN 2011: PELANGGAN SAPU BERSIH


Headline: Pelanggan sapu bersih
Publication: HM
Date of publication: Jan 8, 2011
Section heading: Main Section
Page number: 033
Byline / Author: Oleh Hai Rozzaman Jalal


LEDANG: Lebih 100 hamper dan barangan elektrik yang disediakan Biro Promosi Jawatankuasa Peniaga Kompleks Pasar Tani Kekal Bukit Gambir, 'disapu bersih' oleh pelanggan yang memenangi cabutan bertuah sempena penutupan Promosi Hari Khamis dan Hari Mesra Pelanggan kompleks berkenaan, baru-baru ini.

Selain itu, sebuah basikal dan empat baucar penginapan dua hari satu malam di Institut Latihan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) Port Dickson, Negeri Sembilan, dijadikan hadiah bonus sebagai penghargaan atas sokongan pelanggan yang berbelanja di kompleks itu setiap hari.

Pengerusi penganjurnya, Abdul Razak Mohd Sam berkata, program itu kemuncak kepada promosi diadakan setiap Khamis serta Hari Mesra Pelanggan sepanjang tahun 2010 bagi menggalakkan orang ramai berkunjung dan mendapatkan barangan keperluan harian.

"Kami memberikan kupon cabutan bertuah kepada pelanggan yang berbelanja sejak November hingga Disember 2010.

"Pelanggan diberi kupon berbeza, mereka yang berbelanja RM30 mendapat kupon merah dan berpeluang memenangi hamper manakala pelanggan berbelanja lebih RM50 diberikan kupon kuning serta berpeluang memenangi barangan elektrik," katanya, semalam.

Turut hadir, Pengarah Fama Johor, Faridulatrash Mohd Mokri dan Pengurus Kompleks, Narudin Sulaiman.

Menurutnya, pelanggan Pasar Tani Kekal itu bukan hanya terdiri penduduk sekitar Bukit Gambir, malah ada yang datang dari Pagoh, Panchor, Bukit Serampang, Sungai Mati dan Tangkak.

"Banyak pilihan makanan segar di pasar ini seperti sayuran, ikan, daging dan produk keluaran perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

"Ia dijual pada harga berpatutan dan kami harap lebih ramai pengunjung datang mendapatkan pelbagai hasil petani," katanya.

Sementara itu, penyelaras promosi program itu, Royhamirol Elias berkata, promosi itu melonjakkan imej pasar tani berkenaan di samping menarik pelanggan berkunjung bagi melihat kelainannya.

"Program cabutan bertuah ini dapat mengeratkan lagi hubungan antara peniaga dengan pelanggan dan ia satu daripada tarikan serta penghargaan kepada semua," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan