10 Januari 2011

HARIAN METRO 10 JAN 2011: VAN BERPUSING LEPAS TERBALIK


Headline: Van berpusing lepas terbalik
Publication: HM
Date of publication: Jan 10, 2011
Section heading: Main Section
Page number: 018
Byline / Author: Oleh Hai Rozzaman Jalal


LEDANG: Tiga kakitangan sebuah syarikat kawalan keselamatan berdepan detik cemas apabila van dinaiki terbabas lalu terbalik di Jalan Bukit Gambir-Sagil berhampiran Kampung Parit Kassan, Jumaat lalu.

Dalam kejadian jam 12 tengah hari itu, pemandu van, Nurul Akmal Mohd Hazin, 24, patah bahu manakala juruteknik mesin juruwang automatik (ATM) syarikat berkenaan, Mohd Ridzuan Paiman, 22, cedera di kepala akibat terkena serpihan kaca.

Akmal dan Mohd Ridzuan dihantar ke Hospital Tangkak (HT) untuk diberikan rawatan manakala pengawal keselamatan, Muhamad Izwan Othman, 27, tidak mengalami kecederaan.

Menurut Izwan, ketika kejadian, dia duduk di belakang pemandu dan tidak menyedari bagaimana insiden berlaku.

"Kejadian berlaku amat pantas, tiba-tiba van yang dipandu terbalik lalu berpusing berkali-kali sebelum tersadai di bahu jalan.

"Saya hanya mendengar rakan mengerang kesakitan. Dengan bantuan penduduk kampung, saya mengeluarkan Akmal serta Ridzuan," katanya, semalam.

Orang ramai menghubungi polis serta ambulans yang tiba tidak lama kemudian.

Menurut Izwan, mereka dalam perjalanan dari Bukit Gambir ke Kolej Matrikulasi Johor, Tangkak untuk menyelenggara ATM di sana.

Katanya, mereka bersyukur kerana van berkenaan tidak merempuh tiang elektrik atau terjunam ke sungai berhampiran.

"Jika ia berlaku, kami bertiga pasti mengalami kecederaan lebih parah atau mungkin lebih daripada itu," katanya.

Sementara itu, seorang penoreh yang hanya dikenali sebagai Dali, berusia lingkungan 30-an berkata, dia sedang menoreh apabila terdengar dentuman kuat di seberang jalan.

"Saya sangkakan pekerja sayur di seberang jalan sedang memunggah sayuran ke lori dan keluar untuk melihatnya.

"Bagaimanapun, saya terkejut mendapati ada van terbalik dan tidak lama kemudian, polis tiba untuk mengawal kawasan kemalangan," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan