Oleh Hai Rozzaman Jalal
am@hmetro.com.my
PIBG anjur program khatan beramai-ramai
LEDANG: Setiap kali musim
cuti sekolah, sudah pasti kawasan kampung atau perumahan digamit dengan
paluan kompang dan semburan air bomba bagi meraikan kumpulan kanak-kanak
untuk berkhatan secara beramai-ramai.
Tradisi rumpun Melayu itu perlu diteruskan bukan saja kerana ia
menjimatkan perbelanjaan ibu bapa, malah lebih menceriakan majlis yang
diadakan dan pada masa sama, mengeratkan silaturahim antara penduduk.
Baru-baru ini, seramai 16 murid Sekolah Kebangsaan (SK) Sengkang
Bukit Gambir di sini, berusia antara 9 hingga 12 tahun mengambil
bahagian dalam majlis berkhatan beramai-ramai anjuran Persatuan Ibu Bapa
dan Guru (PIBG) sekolah itu.
Aktiviti bagi mengembalikan semula budaya dan adat Melayu tidak bercanggah dengan syariat Islam
Yang Dipertua PIBG, Sharif Mohamed berkata, program itu dapat
mengeratkan hubungan masyarakat setempat terutama guru dan ibu bapa
membabitkan penyertaan anak dan aktiviti gotong-royong dianjurkan.
“Kami mahu mengembalikan semula budaya dan adat Melayu yang tidak
bercanggah dengan syariat Islam melalui majlis berkhatan beramai- ramai.
“Penyertaan ibu bapa dalam program ini dapat menjimatkan kos membuat
kenduri doa selamat di mana mereka mengadakannya secara berkelompok di
sekolah,” katanya pada majlis itu di Dewan Sri Bestari, sekolah itu,
baru-baru ini.
Perasmian majlis disempurnakan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun)
Gambir, M Asojan, dan turut dihadiri Guru Besar sekolah itu, Basir
Konit; Guru Penolong Kanan (GPK) 1, Jailani Ahamad; GPK Hal Ehwal Murid,
Noraini Md Dom dan ibu bapa peserta.
Sharif berkata, semua murid dikhatankan oleh Dr Mohd Jalil Sharif
dari Pusat Perubatan Keluarga dan lebih menarik, Mohd Jalil adalah bekas
murid sekolah berkenaan.
“Kejayaan Mohd Jalil membuka tiga klinik di Bukit Gambir, Labis dan
Jementah dekat sini, diharapkan menjadi contoh kepada murid sekolah ini
supaya berjaya dalam apa jua bidang diceburi kelak,” katanya.
Sebelum dikhatankan, semua peserta dimandikan dalam upacara bersiram hasil kerjasama anggota Bomba dan Penyelamat Bukit Gambir.
Sementara itu, Asojan berkata, program berkhatan beramai-ramai itu
dapat mengembalikan nostalgia lama masyarakat Melayu yang sering
berkhatan di rumah secara berkelompok.
Katanya, kerjasama semua pihak menjayakan program itu amat penting kerana ia dapat merapatkan silaturahim masyarakat setempat.
Menurutnya, kerajaan sentiasa memberikan tumpuan kepada pembangunan
pendidikan di semua peringkat bagi melahirkan modal insan berjaya dalam
pelbagai bidang.
SUMBER: HARIAN METRO (METROPLUS), 07 DISEMBER 2012